Siapa Bunuh Veer Singh? – Bahagian 4

Nama saya Khor Seng Yew @ Chan Seng Yew. Saya tinggal di Jelai, Batu 18, Jalan Batu Kurau, Perak. Saya pemilik kereta sewa (teksi) dengan nombor pendaftaran H744.

Pada Khamis, 16 Julai 1925, sekitar pukul 10 malam, kereta saya ditempah seorang lelaki Sikh. Dia berkata, dia mahu pergi ke Ulu Sepetang dan kemudian datang semula ke Assam Kumbang.

Lelaki itu berkata, ada beberapa orang kawannya sedang menunggu dan saya perlu ambil mereka juga dalam perjalanan. Saya bersetuju, lalu memulakan perjalanan.

Apabila tiba di Batu 2, Jalan Batu Kurau, lelaki Sikh itu mengarahkan saya berhenti. Saya nampak empat lagi lelaki Sikh datang ke arah kereta. Lelaki yang menyewa kereta mengarahkan saya supaya tidak bergerak dari kerusi pemandu, atau pandang belakang, atau cuba keluar dari kereta.

Saya mula risau tetapi saya tidak ada pilihan. Engin kereta masih hidup selama hampir 15 minit kereta berhenti di tempat itu. Saya tidak pasti apa yang sebenarnya mereka lakukan di bahagian belakang kereta saya.

Selepas itu, kesemua lelaki Sikh itu masuk ke dalam kereta. Saya nampak mereka memegang kayu dan pisau. Lelaki yang menempah kereta saya duduk di kerusi penumpang hadapan manakala empat orang lagi duduk di kerusi belakang.

Saya sudah dapat membayangkan bahawa sesuatu yang tidak baik sedang berlaku. Saya ketakutan sebab mereka banyak kali mengugut saya supaya tidak menceritakan apa-apa kepada sesiapa.

Saya diarah memandu kereta. Apabila sampai berdekatan banglo milik seorang lelaki Eropah, saya diarah menghentikan kereta sekali lagi. Salah seorang lelaki Sikh kata, dia mahu keluar dan membuang sesuatu.

Selepas seketika, saya mengikut arahan dan memandu sehingga kami sampai di Batu 8, Jalan Batu Kurau. Di sana, saya disuruh berhenti sekali lagi. Empat penumpang Sikh keluar dari kereta dan mereka berbual tentang sesuatu di bahagian belakang kereta saya.

Saya pula sudah diberi amaran keras supaya tidak mematikan engin dan jangan cuba keluar dari kereta. Saya memang ketakutan kerana dapat mengagak mereka terlibat dalam sesuatu perkara yang tidak baik.

Selepas beberapa lama, saya diarah memandu kereta menuju ke Ulu Sepetang. Apabila sampai di cabang jalan menghala ke Pondok Tanjung dan Batu Kurau, mereka segera memberi arahan supaya saya berpusing dan memandu pulang ke Assam Kumbang.

Saya masih ingat, sewaktu memandu melintas kawasan Batu 8, Jalan Batu Kurau berdekatan Ladang Windsor, saya ternampak satu mayat manusia di bahagian kanan jalan raya. Tentulah saya takut dan risau.

Lelaki Sikh itu memberi arahan kepada saya supaya menghentikan kereta selepas persimpangan jalan kereta api, iaitu berdekatan Assam Kumbang Tin Dredging Company.

Kesemua lelaki Sikh itu turun dari kereta. Orang yang menempah kereta saya membuat bayaran dan sekali lagi memberi amaran kepada saya supaya tidak menceritakan apa-apa kepada sesiapa.

Saya terus memandu ke Taiping dan tinggalkan kereta di luar rumah seorang mandur Jabatan Kerja Raya (JKR) yang saya kenal. Kemudian, saya tumpang tidur di rumah seorang lelaki Melayu yang saya kenal.

Saya ditahan polis pada tengah hari Sabtu, 18 Julai. Saya dibawa ke lokap dan dibenarkan keluar dengan ikat jamin, tetapi ditangkap semula dua hari kemudian dan berada dalam tahanan polis selama seminggu sebelum dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Hanya pada masa itu saya berani menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Saya rasa amat lega apabila dapat tahu kelima-lima lelaki Sikh itu sudah ditangkap polis. Kelima-lima tertuduh inilah yang menyewa kereta saya pada hari kejadian.

Mereka mengugut saya pada malam itu. Mereka juga mengulangi ugutan selepas turun dari kereta. Mereka kata, mereka akan mencari saya dan membunuh saya kalau saya menceritakan apa-apa kepada sesiapa. Itulah sebabnya saya ketakutan dan tidak berani beritahu sesiapa mengenai apa yang berlaku pada malam itu.

Saya hanya berani mendedahkan perkara sebenar dan membuat pengakuan kepada polis selepas melihat kelima-lima lelaki Sikh itu dalam tahanan polis di lokap. Saya berani ceritakan hal sebenar sebab polis sudah tangkap mereka.

Saya yakin bahawa mayat yang ditemui di atas jalan raya itu sebenarnya dibawa menggunakan kereta saya. Semasa kereta saya berhenti di Batu 8, saya sangat yakin bahawa mayat itu diturunkan atau dikeluarkan dari bawah kereta saya.

Sebelum itu, semasa memandu kereta, saya dapat merasakan seperti sedang menarik atau mengheret sesuatu di bawah atau di belakang kereta. Hanya selepas berhenti di Batu 8, kereta saya berjalan lancar. Jadi, saya yakin bahawa kelima-lima tertuduh menggunakan kereta saya untuk membawa mayat mangsa.

Benarkah itu yang berlaku pada malam kejadian? Ikuti cerita beberapa lagi saksi dalam Bahagian Lima [di sini].

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]