“Pada hari Khamis, 16 Julai 1925, saya pergi ke pekan Taiping untuk menonton tayangan filem pada waktu petang (matinee). Kemudian, saya pergi ke pasar untuk membeli sedikit barangan dan minum kopi.”
Demikian diceritakan seorang lelaki Malabari-Muslim bernama Abdul bin Mohamed yang bekerja sebagai formen di Kamunting Tin Dredge sewaktu memberi keterangan di Mahkamah Polis, Taiping berhubung kes pembunuhan Veer Singh.
“Selepas itu, saya mengayuh basikal pulang ke Kamunting. Sekitar pukul sembilan empat puluh lima malam, saya lalu di Batu 2, Jalan Batu Kurau. Pada waktu itu, saya ternampak lima atau enam orang Punjabi-Sikh berjalan ke arah Kamunting,” katanya.
Salah seorang lelaki yang diakui dilihat oleh Abdul bin Mohamed ialah Kishan Singh (tertuduh pertama) yang bekerja di Tekka Mines, Taiping. Saksi itu nampak kumpulan lelaki Punjabi terbabit membawa kayu.
“Saya meneruskan kayuhan. Kemudian, saya ternampak seorang lagi lelaki Punjabi-Sikh berjalan dari arah bertentangan. Saya tidak tahu namanya tapi saya pernah melihatnya di Kamunting dan saya tahu dia menjadi jaga (pengawal keselamatan) di Tekka Mines. Lelaki itu memakai kain sarung dan kot khaki.”
Menurut Abdul bin Mohamed lagi, tidak lama kemudian, dia terdengar suara orang menjerit. Antara perkataan yang kedengaran ialah “pukul” dan “mati”.
“Tapi saya tak ambil pusing. Saya sangka mereka semua hanya berlawak dan bergembira sebaik bertemu. Saya tak ambil tahu. Lagi pun, kami berlainan keturunan, agama, dan bahasa ibunda. Saya tak mahu masuk campur urusan orang lain,” lelaki Malabari-Muslim itu menegaskan.
Hanya beberapa hari lalu, Abdul bin Mohamed mendapat tahu daripada kawan-kawan bahawa satu kes pembunuhan seorang lelaki Punjabi sedang dibicarakan di mahkamah.
“Saya terkejut apabila sedar bahawa mangsa yang terbunuh ialah lelaki Punjabi yang saya nampak pada malam kejadian. Baru saya tahu bahawa namanya Veer Singh. Saya segera pergi ke balai polis untuk melaporkan apa yang saya lihat dan dengar pada malam itu,” saksi itu menjelaskan.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah Alang bin Unus yang tinggal di ladang milik Kapitan Ah Yong berdekatan Batu 2, Jalan Batu Kurau (kini Jalan Kubu Gajah-Taiping). Katanya, pada malam kejadian, dia terbangun daripada tidur apabila terdengar bunyi seperti orang menjerit.
“Saya rasa sekitar pukul sepuluh malam sebab kereta api baru sahaja berlalu waktu itu. Pada sebelah pagi, 17 Julai, seorang konstabel polis keturunan Punjabi datang ke rumah saya dan bertanya kalau-kalau saya terdengar apa-apa bunyi pada malam sebelumnya. Saya sudah ceritakan semua yang saya tahu. Saya tidak tahu apa-apa lagi tentang kejadian itu,” katanya.
Mat Sahis bin Uda Burma pula pengawas hutan (forest guard) di Ulu Sepetang. Sewaktu memberi keterangan di mahkamah, dia memaklumkan bahawa dia telah pergi ke pekan Taiping pada petang hari Khamis, 16 Julai 1925 untuk menonton wayang di pawagam.
“Tayangan filem tamat pada waktu tengah malam dan saya terus menunggang basikal untuk pulang ke Ulu Sepetang. Pada sekitar pukul satu setengah tengah malam, semasa melalui Batu 8, Jalan Batu Kurau, saya ternampak sesuatu di tengah jalan. Saya fikir, mungkin longgokan rumput atau batang kayu. Jadi, saya tidak ambil kisah. Hanya pada pagi hari Jumaat, saya dengar tentang penemuan satu mayat di tempat itu,” katanya.
Penolong Pesuruhjaya Polis Perak Utara, ACP Louis Arnold George Morris turut dipanggil ke kandang saksi untuk memberi keterangan. Beliau menghuraikan bagaimana pada Jumaat, 17 Julai 1925, selepas mendapat maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki Punjabi, beliau bersama beberapa detektif memandu sepanjang Jalan Batu Kurau untuk cuba mengesan kereta yang dipercayai terlibat.
“Hasil siasatan dan maklumat yang berjaya dikumpul, saya membuat kesimpulan bahawa kereta sewa dengan nombor pendaftaran H744 dipandu semula ke Jelai pada pagi Jumaat itu. Saya mengarahkan pemilik kereta iaitu seorang lelaki Cina supaya membawa keretanya ke Balai Polis Taiping pada keesokan hari,” ulasnya sambil menambah bahawa pemandu kereta itu berjaya mengecam tiga orang tertuduh pada sesi kawad cam yang diadakan.
Seorang lagi orang awam yang dipanggil memberi keterangan di hadapan Magistret T. S. Adams ialah seorang pengawal keselamatan bernama Wazia Singh yang berkerja di bengkel milik orang Eropah bernama Naish di Kamunting.
“Pada 16 Julai lalu, saya berkerja dari enam petang hingga tengah malam. Pada waktu itu, saya nampak Veer Singh berjalan dari arah Taiping menuju ke Kamunting pada sekitar pukul enam setengah petang. Saya memang kenal dia. Tidak lama kemudian, saya nampak dia sekali lagi semasa dia lalu di depan bengkel bersama Konstabel Bachan Singh,” katanya.
Wazia Singh turut menceritakan bagaimana dia ada nampak Kishan Singh (tertuduh pertama) duduk di dalam sebuah kereta bersama beberapa lagi lelaki Punjabi.
“Kereta itu datang dari arah banglo Mister Naish, jadi saya pergi keluar dari bengkel untuk lihat siapa yang datang. Saya ada pegang lampu di tangan. Jadi, saya nampak muka Kishan Singh dengan jelas. Saya tanya dia, apa yang mereka buat di sana tetapi dia tidak jawab. Kereta sewa itu segera beredar dari sana,” pengawal keselamatan itu menceritakan.
Saksi terakhir yang dipanggil pada hari keempat ialah R. M. Blair, pakar kimia dari Jabatan Kimia, Kuala Lumpur. Menurutnya, pada Isnin, 20 Julai 1925, sekitar pukul 9:30 pagi, dia menerima sekeping kertas lap (blotting paper), sehelai kain sarung putih yang kotor, dan sehelai kain putih yang kotor daripada Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess.
“Saya menjalankan ujian kimia ke atas kesemua bahan kes itu dan mengesahkan bahawa darah pada ketiga-tiga barangan itu memang darah manusia,” katanya.
Perbicaraan selama empat hari di Mahkamah Polis, Taiping menyaksikan kehadiran orang ramai, khasnya penduduk keturunan Punjabi beragama Sikh, yang benar-benar mahu mengikuti perkembangan kes.
Selepas mendengar keterangan daripada kesemua saksi, Majistret T. S. Adams membuat keputusan bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk menuduh dan membicarakan kelima-lima lelaki terbabit atas tuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian Veer Singh.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh. Majistret tidak membenarkan ikat jamin bagi Kishan Singh, Tara Singh, Surat Singh, Bhagel Singh, dan Thatar Singh sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Jenayah Perak, Ipoh pada September 1925.
Hanya di sana
nanti, kelima-lima tertuduh akan diberi peluang untuk membela diri dan
menceritakan versi mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku sebelum dan pada tarikh
16 Julai 1925. Bacalah: [Ulasan Mahendran] - [Ulasan Rushida] [Baca pula: Siapa Bunuh Nagamuttu?]
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]