Ulasan Cerpen “Ramba, Oorvasi dan Menaka”

Selain daripada perenggan awal cerpen yang perlu ada cangkuk naratif (narrative hook) untuk menarik minat pembaca, tajuk cerpen juga boleh menjadi daya penarik.

Bagi pembaca kaum India, tajuk “Ramba, Oorvasi dan Menaka” bagi cerpen M. Mahendran yang tersiar di portal Sastera Kavyan pada 27 Mac 2024 pasti menarik perhatian.

Hal ini demikian kerana selain merupakan nama digunakan pelakon filem di India, ketiga-tiganya ada kaitan dengan kisah dongeng, mitos, epik, dan purana yang sebati dalam jiwa komuniti India, khasnya di negara India, Malaysia, dan Singapura.

Mengikut mitos Hindu, Ramba (Rambha), Menaka, dan Tilottama ialah apsara di kayangan (Indraloka, Svargaloka) dan berkhidmat kepada Dewa Indra. Aprasa bernama Oorvasi (Urvashi) pula terhasil daripada kuasa meditasi watak Nara-Narayana (avatara Dewa Vishnu), lalu dihadiahkan kepada Dewa Indra.

Namun begitu, apabila membaca cerpen tulisan Mahendran, kita akan menyedari bahawa watak Ramba, Oorvasi, dan Menaka bukan apsara dari Indraloka. Sebaliknya, mereka tiga adik-beradik yang lahir dalam keluarga miruthangga vithvaan (மிருதங்க வித்துவான்) iaitu pakar bermain gendang tradisional India.

Kita sebagai pembaca disajikan dengan aspek budaya iaitu alat muzik tradisional India. Apa yang menarik perhatian saya, unsur berkenaan tidak sekadar “ditampal” atau “ditempel” tetapi terjalin kemas dalam plot atau jalan cerita.

Watak Ramba sebagai pencerita (“Saya”) menceritakan apa yang berlaku apabila seorang pemain naathasvara (நாதசுவரம்) yang “muda, tampan, kacak dan bergaya” dari India datang untuk tinggal di rumah mereka.

Sebagaimana dapat dijangka, ketiga-tiga anak gadis itu mula tertarik kepada pemuda berkenaan. Pemain naathasvara itu pula langsung tidak mengendahkan mereka. Sebaliknya, semasa makan malam, dia berbual mesra dengan ibu bapa ketiga-tiga gadis itu.

Ramba mengesyaki pemuda itu mungkin sudah ada kekasih di negara India. Tetapi hasil penyiasatannya menemukan bahan bukti yang memeranjatkan.

Mahendran berjaya menyusun dan menganyam cerita dengan kemas. Hasilnya, kita berpeluang menikmati sebuah kisah yang agak santai tetapi diselitkan pelbagai unsur yang meninggalkan kesan berpanjangan pada jiwa dan minda.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]