Saya membuka pintu bilik vithvaan secara perlahan. Saya pun tidak faham, apa yang mendorong saya membuat perbuatan yang tidak senonoh ini. Vithvaan biasanya akan lama di dalam bilik mandi. Ini dijadikan peluang. Manalah tahu, jika saya temui apa-apa di dalam biliknya. Tak payahlah saya menaruh harapan setiap hari.
Tidak banyak barang miliknya di bilik ini. Ada beg pakaian, naathasvaram dan beberapa buah buku, pen, pensel dan telefon di
atas meja tulis. Tergantung seluar di belakang pintu. Saya mengeluarkan
dompetnya. Mungkin ada gambar. Saya meneliti satu per satu di setiap selitan di
dalam dompet itu. Cuma ada beberapa kepingan wang kertas India, Malaysia dan
resit-resit pembelian sahaja.
Kemudian saya menghampiri meja tulisnya.
***
Ramba, Oorvasi dan Menaka. Itulah nama kami, tiga
beradik. Agak pelik, bukan? Entah aku pun tidak faham, mengapa bapa memilih
nama-nama ini untuk kami bertiga. Kami yang lahir selang setahun sejak tahun
1995, sepatutnya dinamakan dengan nama-nama modern yang berbunyi Sanskrit atau Hindi.
Ini tidak.
Tatkala kami di ambang kedewasaan, kami baru
mendapat pencerahan daripada ibu. Kami terkejut dengan keterangannya. Kami
dinamakan sempena apsara-apsara dari kayangan
yakni dari syorgaloka. Mereka masing-masing
rupawan dan menghambakan diri untuk seni dan tarian. Mereka menggembirakan
warga syorgaloka. Saya mati-mati
ingat bapa menamakan kami sempena nama artis-artis India ketika itu.
Kecomelan kami yang teramat, membuat bapa menamakan
kami sebagai Ramba, Oorvasi dan Menaka. Begitulah kata ibu. Kecantikan kami
bertiga diperturunkan dari ibu. Cuma kelangsingan dan ketinggian, kami mewarisi
melalui bapa.
Dan kami bertiga pun kekal cantik hingga kini dan
telah pun mempelajari barathanatyam sejak kecil. Ini juga kami mewarisi
daripada ibu. Ibu juga menurunkan seni tari klasik ini kepada anak-anak kecil
sejak dahulu. Ibu menjana pendapatan dari situ.
Kami tidak ada adik-beradik lelaki. Jika ada, sudah
pasti dia menjadi miruthanga vithvaan yang hebat seperti bapa.
Mungkin ibu bapa kami tidak mahu berzuriat lagi. Sukar
juga bagi mereka, jika anak bongsu dilahirkan sebagai bayi perempuan lagi. Saya
tidak berani tanya perihal itu dengan ibu.
Oh, saya sudah lupa. Nama sayalah dinamakan sebagai
Ramba. Saya lebih suka versi yang disebut sebagai Rambai. Begitu juga dengan
adik bongsu, Menaka. Dia lebih menyukai nama Menakai. Dan saya jugalah anak
sulung antara tiga gadis rupawan ini.
Walaupun kami lahir di rahim ibu yang sama, saya
mempunyai perasaan dan mungkin perasan yang sayalah paling jelita. Ya, saya pun
tidak tahu sama ada perasaan sama ini dimiliki oleh Oorvasi dan Menaka.
Saya pun tidak faham mengapa perlu timbul perasaan begini.
Mungkin mereka berdua turut mempunyai perasaan sama seperti ini, cuma
masing-masing tidak tonjolkan. Tak tahulah.
Kami tiga beradik hidup aman dan damai sejak kecil.
Tidak pernah bergaduh atau berebut untuk sesuatu pun, sehinggalah dia datang.
Bapa sebagai miruthangga vithvaan sentiasa
menghadiri upacara perkahwinan dan acara-acara di kuil diiringi naathasvara
vithvaan. Hentakan miruthangam tanpa tiupan naathasvaram,
akan pincanglah irama. Naathasvara vithvaan yang lebih tua daripada bapa
itu berasal dari Tamil Nadu, India. Oleh kerana ada masalah penting yang timbul
dalam keluarganya, pada suatu hari vithvaan itu telah kembali ke India.
Dalam beberapa minggu kemudian datanglah seorang naathasvara
vithvaan muda, yang sungguh tampan, kacak dan bergaya. Susuk tubuh, warna
kulit dan rambut ikal mayang yang tersisir rapi hingga ke paras bahu mencengkam
jiwa muda jelita ini tanpa perlu dipaksa-paksa.
Seperti vithvaan tua, vithvaan muda
ini pun ditempatkan di bilik bawah dalam rumah agam kami. Maka, timbullah
unsur-unsur yang baharu yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Ya, seperti saya, rupa-rupanya Oorvasi dan Menaka
juga turut menaruh hati pada vithvaan muda ini. Mereka berdua juga
sering tersenyum dan menjeling bila sahaja bertembung dengan vithvaan muda.
Ini menimbulkan rasa iri hati dalam diri saya.
Sejak itulah perubahan mendadak berlaku sesama
kami. Kami tiga beradik sudah kurang bergurau senda. Cuma bertegur apabila
perlu sahaja. Sudah tidak seperti dahulu lagi.
Vithvaan ini amat jarang
berbual bersama kami. Jika saya ternampak dia berbual bersama Oorvasi dan
Menaka, perasaan cemburu akan membuak-buak dalam diri. Mungkin mereka juga akan
rasa seperti itu apabila vithvaan mengucapkan sesuatu pada saya.
Jika tidak ada program di dalam daerah atau di luar
daerah kami, vithvaan banyak menghabiskan masa di dalam bilik sahaja. Selalu kedengaran sayup-sayup lagu dan muzik
klasik dari dalam biliknya. Kadang-kadang vithvaan akan menyanyikan lagu
klasik India. Alangkah merdu suaranya.
Mengapa naathasvara vithvaan itu mengelak
daripada kami bertiga? Adakah kejelitaan kami masih tidak memenuhi citarasanya.
Hendak kata dia itu angkuh, tidak juga. Setiap kali bila bertembung dengannya, vithvaan
itu pasti menguntumkan senyuman. Saya akan pastikan dia tidak berbuat
sedemikian pada Oorvasi dan Menaka.
Pada waktu-waktu kami berlima makan, makan malam
bersama, jika berkesempatan, saya dapati vithvaan itu boleh pula
beramah-mesra bersama bapa dan ibu seperti sudah kenal lama. Mungkin dia menjaga
adab apabila bersama kami.
Bagaimana saya boleh mencurahkan perasaan cinta
pada vithvaan ini yang sudah berputik sejak pandang kali pertama. Adakah
nanti Oorvasi dan Menaka akan turut mencurahkan perasaan mereka? Amat risau dibuatnya.
Ibu dan bapa kami walaupun amat patuh adat dan
kebudayaan Hindu, itu bukan bermaksud mereka mengongkong kami. Jika tidak, manakan
mereka akan benarkan vithvaan muda ini tinggal bersama kami.
Saya perlu nyatakan perasaan saya terhadap vithvaan,
sebelum Oorvasi dan Menaka bertindak demikian.
Sebelum saya mencurahkan perasaan saya, saya perlu
selidik terlebih dahulu. Mana tahu vithvaan sudah pun berpunya di India.
Setiap pagi vithvaan akan mandi agak lama
juga di bilik mandi di luar biliknya di bawah. Peluang itu saya perlu gunakan
sebaik mungkin. Mungkin ada gambar kekasihnya di dalam telefon bimbit atau di dalam
dompetnya.
Tidak ada apa-apa gambar di dalam dompetnya. Saya
ke meja tulis. Saya tidak usik telefonnya. Dia menggunakan kata kekunci. Pasti
saya tak akan dapat buka.
Ada pelbagai jenis pensel di atas mejanya. Ada
berjenis-jenis pensel, seperti HB, 2B dan 6B. Apa vithvaan buat dengan
banyak jenis pensel ini?
Saya menyelongkar buku-buku bacaan. Kebanyakannya
novel-novel penulis dari India. Di bawah itu terdapat sebuah buku lakaran
nipis. Saya membuka sehelai demi sehelai. Kebanyakan gambar burung dan gambar
Kuil. Sungguh cantik.
Alangkah terkejutnya saya apabila membuka helaian
lakaran yang kelima.
Naathasvara vithvaan telah melukiskan gambar ibu!
[M. Mahendran dilahirkan di
Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa
Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan
cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen Tamil. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh
dibaca di sini.]