Ramanathapuram, 31.05.2024
Tepat jam 8.30 pagi (waktu India); India lewat dua
setengah jam dari waktu Malaysia, pesawat kami Air Asia mendarat di Lapangan
Terbang Tiruchirappalli dengan membuat debaran penuh di jantung saya. Gegaran
dan cara pesawat menjunam semasa mendarat mendorong saya menjadi begitu.
Selepas pemeriksaan yang sungguh ketat di Lapangan
Terbang Thiruchirappalli oleh pihak polis dan askar, saya dan Raymond menyorong
bagasi masing-masing ke luar mencari jurupandu kami, Raaji. Raaji sudah pun
menunggu kami di luar pintu masuk. Bagasi kami dimasukkan ke dalam bonet kereta
Toyota Etios berwarna putih. Kereta ala Perodua Bezza kita.
Kami masuk ke dalam kereta dan mulakan perjalanan.
Saya melihat keadaan sekeliling dengan penuh rasa takjub. Sudah beribu kali
ditonton keadaan India dan Tamil Nadu khasnya, dalam filem-filem Tamil sebelum
ini. Namun, inilah kali pertama tanah ini dipijak dan semua sedang berlaku di
depan mata.
“Semua orang India!” Itulah perkataan pertama ujud
di benak dan di mulut saya. Ramai sungguh manusia di atas jalan raya. Motor dan
kereta bersimpang-siur. Setiap kali, jurupandu kami membunyikan hon untuk minta
laluan. Beliau memotong semua kenderaan
dengan tangkas dan santai. Begitu juga dengan pemandu lain, mudah sahaja
memberi laluan untuk jurupandu kami. Cara Raaji memandu, amat mencemaskan saya.
Raaji membawa kami ke sebuah restoran di bandar
Tiruchhirappalli atau lebih dikenali sebagai bandar Thiruchi, untuk sarapan.
Sajian dipanggil Mini Tiffin dihidangkan dalam bentuk set. Idli,
ponggal, tose, vadai dan kesari serta kopi. Memang terangkat saya. Chutney
dan saambarnya begitu sedap. Harga makanan sebanyak itu untuk seorang
bernilai lebih kurang RM7. Memang murah dan berbaloi.
Setelah perut kenyang. Raaji masukkan kad sim Airtel
ke dalam telefon bimbit kami untuk digunakan selama empat hari. Data
telefon saya berfungsi kembali dan secara automatik terpapar waktu India. Jam
tangan saya tetap berwaktu Malaysia.
Seperti dirancang, Raymond mengarahkan Raaji ke
Ramanathapuram. Raymond ingin melawat adik sepupu perempuan Theeba serta dua
orang anaknya.
Dalam perjalan ke Ramanathapuram, sepanjang jalan
kelihatan berderet pokok-pokok Nungu. Pokoknya seakan pokok kelapa sawit
tetapi tinggi lampai. Saya dan Raymond teringin untuk makan buah nungu
itu.
Tidak berapa jauh dalam perjalanan kami, kelihatan
dua orang pemuda di tepi jalan sedang duduk dengan longgokan buah nungu.
Raaji memberhentikan kereta di tepi jalan. Raymond minta potongkan buah itu.
Pemuda itu memotong dengan tangkas dan memasukkan ulas-ulas nungu itu ke
dalam beg plastik setelah dibayar.
Ulas buah nungu itu kelihatan seakan-akan isi
rambutan leper tanpa biji. Rasanya tidak berapa manis dan saya tidak begitu
gemar.
Selepas itu kami ke sebuah kuil kecil Navagraham
yang didirikan dalam air laut di Devipattinam. Ia kelihatan seolah-olah
tenggelam di dalam air. Cuma nampak bahagian kepala kesemua sembilan Navagraham
tersebut. Mungkin semasa dibina, paras air masih jauh lagi.
Kemudian kami bergerak terus ke bandar kecil, di
mana sepupu Raymond tinggal. Menurut Raaji mereka yang melawat India,
kebiasaannya melawat kuil, tempat-tempat peranginan dan ke pusat membeli-belah
sahaja. Jarang-jarang ada yang melawat saudara-mara.
Kami sampai di sebuah pekan kecil. Rumah sepupu
Raymond terletak berhampiran kedai-kedai di situ.
Walaupun rumah Theeba agak kecil dan dikongsi oleh
enam buah keluarga, di tingkat atas dan di sebelah-menyebelah. Rumah berwarna
hijau itu tetap nampak molek dan kemas.
Kami dihidangkan dengan makanan nabati seperti saambar, ubi kentang
masala, sayur kobis, masakan cendawan dan tayiru. Sungguh lazat. Teh
masala yang dihidangkan sungguh menepati citarasa saya.
Raymond memberi buah tangan berupa beg sekolah dan
coklat yang dibawa dari Malaysia kepada kedua anak belasan tahun, Theeba.
Mereka nampak sungguh riang.
Setelah hampir dua jam di situ, kami bertiga menuju
ke Rameshwaram. (bersambung)
(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]