Jika anda mahu menghasilkan cerpen yang menampilkan unsur plot twist, ada beberapa lagi panduan yang boleh saya kongsi berdasarkan pengalaman sendiri—sebagai tambahan kepada panduan yang dikongsi sebelum ini.
Ada tiga bentuk plot twist yang boleh dilakukan. Perlu saya tekankan dan ingatkan sekali lagi bahawa teknik plot twist bukan hanya mengubah sebahagian kecil pada kisah, cerita, atau cerpen itu. Sebaliknya, pada saat plot twist didedahkan, ia haruslah mengubah pemahaman, persepsi, dan perspektif pembaca terhadap keseluruhan cerita.
Sebagai contoh, dalam cerpen “Sal Buka Tudung”, sebaik plot twist didedahkan, keseluruhan pemahaman pembaca terhadap kisah yang disajikan patut berubah. Kalaulah hanya sedikit perubahan berlaku, ia tidak boleh diaggap sebagai teknik plot twist yang benar-benar berjaya.
Bentuk plot twist pertama ialah di mana identiti sebenar watak tertentu didedahkan. Secara tiba-tiba dan di luar jangkaan, pembaca mendapat tahu bahawa identiti, motif, dan latar belakang watak itu adalah benar-benar berbeza berbanding apa yang pembaca sangka, jangka, dan percaya selama ini—sejak memulakan pembacaan.
Dalam pada
itu, sebagaimna saya sebut dalam bahagian
lalu, segala pendedahan itu mestilah lojik, munasabah, masuk akal,
rasional, dan makes sense. Syarat itu
tetap terpakai dan perlu ditangani dengan bijak oleh penulis.
Contoh cerpen yang memanfaatkan teknik plot twist membabitkan pendedahan identiti watak ialah “Tukang Kebun Migran” (Putaria, 2020) dan versi Inggeris bertajuk “The Migrant Gardener” (The Painted Cat, 2023). Jika anda sudah membaca cerpen ini, sudilah berkongsi pengalaman.
Bentuk kedua ialah motif sebenar watak didedahkan. Pada mulanya, pembaca yakin dan percaya bahawa watak tertentu bertindak demikian kerana tujuan atau motif tertentu. Akan tetapi, plot twist mendedahkan bahawa motif atau tujuan sebenar adalah amat berbeza.
Sekali lagi, motif sebenar yang didedahkan wajib lojik, munasabah, dan masuk akal. Maknanya, selepas plot twist mendedahkan motif sebenar, apabila pembaca membaca semula cerita itu, pembaca akan sedar dan setuju bahawa motif sebenar yang didedahkan itu memang lojik; hanya pembaca yang “tertipu” dan memikirkan motif yang berlainan sejak mula.
Contoh
cerpen yang memanfaatkan teknik plot twist
pendedahan motif ialah “Hadiah Untuk Tuan” dan “Demi Sebuah Legasi” (Putaria, 2020).
Bentuk ketiga pula teknik plot twist di mana latar masa kejadian berubah di luar jangkaan. Sebagai contoh, pembaca beranggapan kisah yang sedang dibaca itu berlaku pada zaman penjajahan Jepun (1942-1945), tetapi rupa-rupanya berlaku pada tahun 1969.
Sebaik sahaja latar masa didedahkan, keseluruhan pemahaman dan tanggapan pembaca tentang kisah yang dipaparkan itu berubah sepenuhnya. Sekadar contoh, apabila membaca bagaimana watak kaum Cina diseksa dan dibunuh dengan kejam, kita mengandaikan perbuatan itu dilakukan tentera Jepun pada tahun 1942.
Kemudian, rupa-rupanya peristiwa pembunuhan kejam itu berlaku pada tahun 1969 dan tidak melibatkan tentera Jepun! Dalam sekelip mata, keseluruhan cerita sudah berubah. Latar masa zaman penjajahan Jepun yang dibayangkan oleh pembaca sejak mula, tiba-tiba bertukar kepada latar masa tahun 1969. Watak tentera Jepun yang dibayangkan menganiaya watak kaum Cina juga sudah bertukar.
Contoh
cerpen yang boleh saya berikan ialah “Kakak dan Kegelapan” dan “Paramapatham” dalam Putaria (2020) serta “Darurat di Pulau Cinta” (Lakaran Diri, 2022). Dalam
ketiga-tiga contoh ini, cerita kekal sama tetapi latar masa tiba-tiba berubah;
sekali gus mengubah perspektif pembaca.
Harap maklum bahawa teknik plot twist dianggap tidak berjaya jika: Satu, pembaca sudah boleh menjangkakan atau mengagaknya. Dua, jika kisah selepas plot twist itu tidak lojik, tidak munasabah, tidak meyakinkan, dan tisak masuk akal. Tiga, kisah selepas plot twist tidak ada apa-apa kaitan dan kesinambungan dengan kisah sebelum itu.
Pada masa sama, plot twist perlu berlaku benar-benar di luar jangkaan pembaca. Maknanya, penulis perlu bijak menyusun plot dan bukan sekadar bercerita bertele-tele. Perancangan amat penting. Penulis juga wajib membaca semula cerita itu berkali-kali dengan penuh kritis bagi memastikan teknik plot twist yang digunakan benar-benar berkesan.
Dalam hal ini, ada tiga petua yang sering saya amalkan. Mungkin teknik plot twist yang saya gunakan boleh membantu anda.
Pertama, teknik misdirection atau sengaja menunjukkan arah atau jalan yang salah kepada pembaca. Penulis secara bijak membuatkan pembaca berfikir bahawa insiden A akan berlaku sedangkan apa yang akan berlaku ialah B. Pembaca begitu yakin bahawa watak C yang bersalah sedangkan sebenarnya watak D yang bersalah.
Akan
tetapi, sentiasa ingat bahawa sebaik sahaja plot
twist berlaku, unsur lojik, munasabah, masuk akal, dan makes sense tetap terpelihara. Misalnya, penulis sengaja “menyesatkan”
pembaca supaya berfikir watak C yang bersalah. Apabila didedahkan watak D yang
bersalah, segala motif dan bukti memang lojik dan sebenarnya sudah berada di
depan mata pembaca sejak awal.
Teknik misleading yang sering digunakan oleh Jeffery Deaver ialah red herring dan memberi petunjuk (clue) yang sengaja bertujuan mengalih perhatian dan tanggapan pembaca supaya membayangkan hal yang berlainan daripada apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Seperti biasa, apabila plot twist didedahkan, segalanya menjadi sangat lojik dan munasabah. Pembaca akan sedar dan mengakui bahawa mereka sendiri yang “terpedaya” dengan teknik red herring yang ditangani secara bijak oleh penulis.
Kedua, teknik breadcrumbs iaitu petunjuk-petunjuk kecil (small clues) yang yang diselitkan secara bijak dan terancang oleh penulis dalam cerita. Semasa membaca, pembaca mungkin tidak menyedarinya.
Akan tetapi, sebaik plot twist didedahkan, pembaca sedar bahawa perspektif baharu itu memang amat lojik kerana petunjuk, pembayang, dan bahan bukti memang sudah dinyatakan secara amat halus sejak awal. Apabila cerpen sama dibaca semula, barulah pembaca akan “nampak” kepentingan petunjuk-petunjuk kecil yang diselitkan dalam cerita.
Semasa
bacaan kali pertama, pembaca “terlepas pandang” atau menganggap ia tidak
penting dan tiada makna khusus. Hanya kemudian—selepas plot twist didedah—pembaca sedar kepentingan bukti-bukti kecil itu
yang digelar breadcrumbs.
Ketiga, struktur atau susunan plot (jalan cerita). Tidak ada syarat atau peraturan yang menetapkan di mana plot twist perlu/boleh diletakkan. Cuma, secara lojik, tentulah tidak diletak pada bahagian awal cerita!
Biasanya, plot twist berlaku di pertengahan cerita. Sebaik plot twist didedah, pemahaman pembaca tentang apa-apa yang berlaku sebelum ini (dari permulaan hingga pertengahan cerita) sudah berubah. Baki cerita dibaca dengan persepsi dan perspektif baharu.
Ada juga penulis yang menyusun jalan cerita supaya plot twist berlaku selepas tiga per empat (3/4) cerita sudah berlalu. Maka, pemahaman pembaca terhadap 3/4 bahagian cerita itu berubah selepas pendedahan plot twist. Baki 1/4 cerita pula dibaca dengan pemahaman yang serba baharu.
Penulis juga boleh meletakkan plot twist pada penghujung cerita. Contoh paling mudah ialah filem Planet of the Apes (1968) yang sangat ikonik. Babak terakhir di mana patung Statue of Liberty yang terbenam mengubah sepenuhnya persepsi dan perspektif penonton yang selama ini menyangka kisah sedang berlaku di sebuah planet lain.
Satu lagi
filem ikonik yang menampilkan plot twist
secara amat berjaya ialah The Sixth Sense
(1999). Begitu juga dengan The Village
(2004) yang ada dua plot twist iaitu
apabila didedahkan bahawa binatang yang digeruni itu sebenarnya patung sahaja,
dan pendedahan kedua bahawa cerita bukannya berlaku pada zaman dahulu tetapi
pada masa kini (moden).
Penerapan teknik plot twist tidak dilakukan secara sambil lewa. Sebaliknya, saya sendiri merangka plot (jalan cerita) sedemikian rupa supaya dapat meletakkan plot twist di tempat (titik) yang sewajarnya.
Jika anda menyukai plot twist dalam cerpen-cerpen saya, sudilah mengirim mesej untuk berkongsi pengalaman pembacaan anda untuk didokumentasi di blog.
Dalam pada
itu, semoga perkongsian dan penerangan yang diberi membantu anda menerapkan
teknik plot twist dengan penuh jaya
dalam cerpen. Peserta Bengkel Penulisan Intensif berpeluang
belajar secara langsung (praktikal) daripada saya.
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya
di portal Sastera Kavyan boleh dibaca
di sini.]