Saya dapati ramai penulis (dan pembaca) beranggapan “twist” dan “saspens” (suspense) adalah perkara yang sama dan serupa. Dalam tulisan lalu (baca di sini), saya berkongsi petua memasukkan unsur saspens dalam cerpen.
Berbeza dengan unsur saspens di mana pembaca/penonton menunggu untuk menyaksikan perkara yang sudah sedia diketahui akan berlaku (atau tidak berlaku), unsur twist pula merujuk perkara yang berlaku di luar jangkaan pembaca/penonton.
Malah, saya sengaja memulakan cerpen “Yang Aneh-aneh” seperti berikut: Benar-benar di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar.
Bagaimanapun,
tentulah unsur twist tidak diletakkan
pada perenggan pertama, apatah lagi ayat pertama! Sebaliknya, gaya penulisan
itu digunakan untuk memulakan cerita “Yang Aneh-aneh” di tengah konflik.
Saya memang gemar menggunakan unsur twist dalam penulisan cerpen. Cerpen “Anak Bunian”, “Menjejak Guruji di Jaisalmer”, dan “Mukundan Sudah Mati” dalam antologi Seruling Malam (2024) menampilkan beberapa twist pada jalan cerita (plot).
Cerpen seperti “Di Mana Sumanti?”, “Hadiah Untuk Tuan” “Sal Buka Tudung”, “Sang Kekasih”, “Sayap Emas Isteri Ketiga”, dan “Tukang Kebun Migran” dalam Putaria (2020) juga dirangka khusus dengan memasukkan plot twist dalam proses penulisan.
Apabila cerpen-cerpen
di atas siap ditulis—dan sebelum teks penuh disiarkan di mana-mana—saya memberi
petikan awal karya kepada beberapa pembaca beta (beta readers). Saya boleh berbangga kerana rata-rata pembaca beta tidak
dapat menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerpen berkenaan.
Maknanya, teknik plot twist yang saya
gunakan memang berjaya.
Unsur saspens adalah apabila pembaca sudah tahu apa yang akan berlaku—dan menunggu dengan penuh debar atau cemas untuk menyaksikan perkara itu berlaku (atau tidak berlaku).
Unsur twist pula apabila jalan cerita (plot) tiba-tiba berubah tanpa diduga dan di luar jangkaan pembaca. Namun begitu, biar saya beri peringatan awal (amaran) bahawa twist yang berlaku itu wajib benar-benar lojik, dapat diterima akal, dan munasabah.
Segala peristiwa yang berlaku bukan secara kebetulan tetapi memang telah dirancang penuh teliti oleh penulis sejak awal. Apabila plot twist didedahkan, pembaca tidak rasa marah kerana ditipu penulis. Sebaliknya, pembaca rasa gembira kerana “tertipu” dengan penuh bijak oleh penulis!
“Plot twist adalah pendedahan yang membuatkan segala tanggapan dalam minda khalayak tentang apa yang sedang berlaku dalam cerita berubah hampir 180 darjah. Sebaik twist berlaku, khalayak tiba-tiba melihat segala kejadian dalam cerita dari perspektif baharu. Dalam sekelip mata, semua tanggapan berubah tetapi tetap lojik dan diterima akal rasional.”
Demikian diterangkan
penulis skrip, pengarah filem, dan pengarang, John Truby dalam buku Anatomy of Story: 22 Steps to Becoming a
Master Storyteller (2007).
Kita harus ingat bahawa plot twist perlu membawa kepada perkembangan cerita yang berubah secara radikal tanpa diduga dan mengubah sepenuhnya jalan cerita bermula dari titik (babak) di mana plot twist berlaku.
Pada titik itu, jika pembaca membaca semula bahagian yang sudah dibaca tadi, maka semuanya akan jelas, lojik, munasabah, dan makes sense. Pembaca akan sedar bahawa mereka sendiri yang “tertipu” kerana membuat andaian sendiri; bukan “ditipu” oleh penulis. Mereka kemudian akan meneruskan pembacaan dengan perspektif baharu—sehingga satu lagi plot twist berlaku!
Saya akan menggunakan cerpen “Sal Buka Tudung” (Cerpen, 2024) untuk menghuraikan cara menyusun twist pada jalan cerita (plot). Cerpen ini panjangnya 710 perkataan sahaja. Maka, plot perlu bergerak pantas. Tidak ada terlalu banyak masa untuk memanjangkan unsur saspens (yang diterangkan dalam esei sebelum ini).
Cerita bermula dengan watak bernama Sal menanggalkan tudung bawal yang dipakai. Dia berbuat demikian di tempat awam; di hadapan orang ramai.
Kemudian, kita
(pembaca) mendapat tahu bahawa Sal sebenarnya berbuat demikian pada satu sidang
media khas yang diatur oleh seorang pemuda.
Sejak empat tahun lalu, Sal berbangga dengan penampilan dirinya yang berambut panjang dan bertudung. Walaupun memakai “baju kebaya yang ketat dan menampakkan bentuk tubuh” sewaktu keluar bersosial, Sal tetap suka bertudung.
Namun begitu, Sal bersetuju untuk memotong rambutnya menjadi pendek “ala politikus Azalina Othman Said” atas saranan pemuda terbabit. Sal sedar bahawa tindakan menanggalkan tudung pasti menerima reaksi yang pelbagai—“pasti ada yang mengecam dan pasti ada yang memanjangkan syukur”.
Berlaku twist apabila kita (pembaca) mendapat tahu motif sebenar pemuda itu memujuk Sal memotong rambut dan menanggalkan tudung. Ustaz Ji (pemuda itu) akan menerima habuan daripada ketua jabatan kerana berjaya memujuk Sal!
Ustaz Ji juga sudah menjanjikan sejumlah bayaran jika Sal sedia menggunting rambut dan menanggalkan tudung pada sidang media khas yang diaturnya.
Sal pula sudah berjanji akan memuaskan hati pemuda itu—secara “zahir dan batin”. Selepas semua “urus niaga” selesai, Sal akan berpindah ke tempat lain dan Ustaz Ji tidak akan mengganggunya lagi.
Twist pada perenggan terakhir memberitahu kita (pembaca) siapa sebenarnya Sal. Pendedahan itu mengubah sepenuhnya persepsi dan perspektif kita tentang apa-apa yang kita baca sejak mula. Jika anda sudah membaca cerpen “Sal Buka Tudung”, sudilah berkongsi pengalaman anda.
Plot (jalan cerita) dalam cerpen itu memang sengaja disusun sedemikian rupa. Apabila pembaca sudah mengetahui twist dalam cerita dan membaca semula keseluruhan cerita, semuanya memang lojik, masuk akal, munasabah, dan makes sense.
Perkara-perkara ini juga turut saya tekankan (secara langsung atau tidak langsung) sewaktu membimbing peserta Bengkel Penulisan Intensif.
Beberapa
lagi panduan plot twist berdasarkan
pengalaman sendiri akan dikongsi dalam esei seterusnya (di sini).
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya
di portal Sastera Kavyan boleh dibaca
di sini.]