Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 4)

Rameshwaram, 1.06.2024

Saya dan Raymond bangun seawal jam 4 pagi. Jurupandu kami, Raaji berjanji akan membawa kami ke kuil Rameshwaram pada pukul 5 pagi. Beberapa perkara ritual perlu kami lakukan di kuil itu nanti.

Hari ini juga merupakan hari jadi Raymond. Saya mengucapkan kepadanya. Dia gembira menyambut hari jadinya di India.

Kami bersiap sedia dengan veshti dengan baju t, menuju ke lobi di hotel Arjunaa. Bilik kami di tingkat bawah sahaja. Kami masing-masing menggalas beg kecil kalis air, diisi dengan pakaian persalinan. Kami akan bersarapan sekembalinya dari kuil.

Sangat teruja akan upacara sembahyang yang akan kami hadapi nanti. Lebih-lebih lagi di kawasan laut. Sebelum ini, saya pernah mendengar melalui mulut orang sahaja yang pernah ke sini. Kini, semua akan berlaku di depan mata.

Raaji datang tepat pada jam 5 pagi. Sepanjang malam, dia tidur di dalam keretanya. Itu kebiasaannya. Setengah-setengah hotel ada menyediakan bilik khas untuk jurupandu di tingkat bawah.

Kami dibawa ke kuil Rameshwaram. Ia terletak berhampiran dengan laut. Kuil Rameshwaram yang berusia lebih dari 1,500 tahun dikatakan dibina oleh adik-beradik Paandava. Terdapat 4000 tiang setinggi 3800 kaki yang menahan kuil yang gagah ini.

Dalam masa 15 minit sahaja, kami sudah tiba di perkarangan kuil. Hari mula menjadi cerah.  Cerah seperti jam tujuh pagi di Malaysia. Ramai orang berpusu-pusu. Kanak-kanak hingga ke warga emas, semua mengerumuni di ruang legar dan pintu masuk kuil.

Kami diturunkan di situ. Beg kecil satu lagi yang berisi passport dan wang ditinggalkan dalam kereta.

Raaji telah menguruskan orang tertentu untuk membawa kami ke dalam kuil bagi menunjukkan tempat melakukan ritual dan mandi air telaga. Kami perlu bayar jumlah tertentu kepada orang itu dan juga kepada poosari yang menjalankan ritual.

Kami dibawa ke suatu tempat upacara thithi dilakukan. Raaji pun membelakangi kami. Thithi adalah suatu upacara dilakukan untuk mengingati ibu-bapa dan nenek moyang kita yang telah kembali ke ‘alam lain’ setelah meninggal dunia. Ia dilakukan, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan aman di ‘sana’.

Saya dan Raymond membuka baju yang dipakai dan masukkan ke dalam beg kalis air, selipar diletak tepi. Beg kami dipegang oleh Raaji. Ramai berbaris menunggu giliran untuk dipanggil oleh poosari.

Giliran kami pun tiba. Kami diberi kudam seorang satu oleh poosari dan disuruh menenggelamkan badan hingga kepala sebanyak tiga kali dalam laut. Kemudian, air laut perlu diisi dalam kudam dan perlu dibawa bersama ke tempat ritual.

Saya dan Raymond menuruni tangga menuju ke laut.  Saya cuma menenggelamkan badan dan mencurahkan air ke atas kepala menggunakan kudam. Takut sesak nafas nanti.

Kemudian, kami diberi tepung beras di dulang kecil untuk membuat pindam. Sedikit air dari kudam tadi dicurahkan ke atas tepung beras dan perlu dikepal tiga dalam bentuk bulat. Saya tidak berjaya melakukannya seperti Raymond. Habis cair tepung tersebut. Dulang kecil berisi tepung diberi lagi. Kali ini saya berjaya,walapun tidak cantik.

Pindam itu diumpakan sebagai nenek moyang

Saya dan Raymond duduk bersila di depan poosari tua itu. Upacara dilangsungkan dengan bacaan mantera oleh poosari dan kami mengulangi mantera tersebut seperti dipinta. Selepas itu, pindam tersebut dihanyutkan ke dalam laut. Poosari memberi tiga biji pisang kepada kami. Pisang itu diberi kepada lembu yang berdiri di tepi sebelah belakang poosari. Kami menyuapkan pisang ke dalam mulutnya. Ia menelan pisang tersebut dengan lahapnya dengan kulit-kulit sekali.

Selesai ritual tersebut, Raaji menyerahkan beg-beg kami dan kembali semula ke keretanya untuk bersarapan dan berehat.

Kami meletakkan selipar kami di suatu sudut di luar kuil dan berkaki ayam mengekori lelaki yang membawa masuk ke dalam kuil Rameshwaram.

Terlalu ramai penganut Hindu dari serata dunia berpusu-pusu dan tolak menolak menuju ke 22 buah telaga. Kami disimbah dengan baldi kecil oleh lelaki yang membawa kami masuk. Nasib baik tidak sejuk. Agak letih juga untuk berjalan ke setiap telaga bersama orang ramai. Jarak setiap telaga bukan berdekatan.

Difahamkan mandi air dari 22 buah telaga, pelbagai rasa ini akan menebus dosa.

Siap ritual itu, kami menukar kepada persalinan yang dibawa dalam beg. Veshti tadi kami buang di suatu tempat yang disediakan.

Selepas itu kami mengelilingi kuil Ramsehwaram dan menyembah berhala-berhala di situ.

Oleh kerana Raaji tidak menunggu di perkarangan kuil, kami kembali ke hotel Arjunaa menaiki auto rikshaw. Memang lain daripada yang lain pengalaman ini.

Kembali di hotel, kami bersarapan di tingkat bawah. Makanan tradisi seperti puri, vadai dan tose. Kopi di situ sungguh enak. (bersambung)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]