Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 9)

03.06.2024, Tiruchirappalli

Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 6 petang. Jam tangan saya pula menunjukkan jam 8.30 malam, waktu Malaysia.  Ada banyak masa lagi untuk ke Lapangan Terbang Tiruchirappalli. Raymond menanya jurupandu kami Raaji, apa lagi tempat yang boleh dilawati untuk kali terakhir, yang berdekatan di sini.

Setelah berfikir seketika, Raaji mencadangkan Ranganathaswamy Kovil di Sri Rangam.

Sepanjang perjalanan ke kuil ini, kelihatan rumah dan kedai milik golongan brahmin. Rumah-rumah mereka lebih dikenali sebagai agraharam. Nampak unik juga.

Raaji memparkirkan keretanya berhampiran dengan kuil. Saya dan Raymond tinggalkan selipar dalam kereta. Raaji memberi masa lebih untuk kami bersiar-siar di dalam. Lagipun, dia hendak tidur. Selepas menghantar kami di lapangan terbang, dia akan balik ke rumahnya di Chennai. Akan mengambil masa enam jam dari sini.  

Dibandingkan kuil-kuil lain yang kami lawati sepanjang empat hari ini, kuil ini nampak jauh lebih sunyi. Seperti biasa, kami berdua menikmati seni bina bangunan kuil ini. Kuil ini juga adalah kuil lama yang dibina pada abad ke-9. Keluasannya adalah 156 ekar. Ia mempunyai 7 dinding sepusat dan mempunyai 21 goburam. Rajagoburamnya sahaja dibina setinggi 236 kaki.

Lantai batu marmar yang kami pijak sungguh kukuh dan menyamankan kaki kami. Kelihatan suatu kawasan penuh dengan pasir dalam kuil. Dihamparkan seakan-akan guni panjang dan kukuh untuk pengunjung melintasi kawasan berpasir itu untuk ke bahagian lain.

Di sini, baru kami dapat lihat beberapa ekor kucing bersiar-siar di taman bunga kuil. Tidak kelihatan kucing di mana-mana sejak kami datang ke Tamil Nadu. Yang biasa kelihatan ialah anjing, lembu, kambing dan keldai sahaja.

Kami juga nampak seekor gajah sedang memberi restu kepada pengunjung. Kami tidak menghampirinya. Saya tidak berani, walaupun minat akan gajah dalam filem Haati Mere Saathi dan Annai Or Aalayam terbitan Devar Films. Mungkin gajah ini kenal kami datang dari Malaysia dan berperangai luar biasa terhadap kami.

Kelihatan beberapa poosari/iyyar tua berjalan perlahan-lahan keluar dan masuk dari kuil. Mereka merupakan golongan brahmin, memang nampak lain daripada poosari yang kami temui di kuil-kuil lain. Ada seorang daripada mereka menyerupai pelakun filem Tamil, Chaaru Haasan. Apabila saya menyatakan ini kepada Raymond. Dia juga mengakui dan berfikiran sama seperti saya.

Setelah hampir dua jam di Ranganathaswamy Kovil, kami bercadang untuk ke restoran bagi melaksanakan santapan malam untuk kali terakhir di India.

Kami bertiga bersama-sama menikmati makan malam di sebuah restoran terkemuka di Tiruchirappalli. Walaupun ini adalah kali terakhir untuk saya makan masakan di Tamil Nadu, saya tetap makan seperti biasa sahaja.

Dalam pukul 9 malam, Raaji menghantar kami ke Lapangan Terbang Tiruchirappalli. Selipar saya, saya tinggalkan sahaja di kereta dan memakai kasut.

Raaji mengeluarkan Kad SIM Airtel India dan memasukkan semula kad SIM kami dalam telefon.

Bagasi dikeluarkan dari bonet. Agak sukar juga untuk berpisah dengan jurupandu yang empat hari bersama kami.

Seperti biasa, pemeriksaan dijalankan. Tin bedak Yardley yang Raymond bawa dalam beg kecil diambil oleh askar yang bertugas. Ia tidak dibenarkan bawa masuk ke dalam pesawat. Mungkin mereka was-was bahan-bahan yang tidak dibenarkan berada dalam tin bedak itu.

Kami memasuki dewan menunggu. Masing-masing bergegas ke bilik air. Seorang staf di situ merenung kami. Mungkin dia perlukan wang, agaknya. Saya tidak menghiraukannya.

Saya duduk mendengar segala pengumuman yang diumumkan dalam bahasa Tamil dan Inggeris. Pengumuman dalam bahasa Tamil, pertama kali saya dengar dalam pesawat Air Asia semasa ke sini, pada 31 haribulan Mei.

Di dalam hati saya terfikir, ada beberapa jam sahaja akan berada di India. Walaupun cuma empat hari sahaja di sini, banyak pengalaman dikecapi.

Manusia, kenderaan, kuil dan makanan. Ini yang akan terpampang di hati apabila menyebut perkataan India nanti.

Lebih kurang jam 11.30 malam, semua penumpang ke Kuala Lumpur dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Juruterbang mengumumkan, pesawat ini akan mengambil masa empat jam untuk mendarat di KLIA 2.

Tepat jam 12.15 am, kapal terbang Air Asia mengangkat badan dan sayapnya dan terbang dengan cuma sedikit goyangan menuju ke Malaysia.

04.06. 2024, Kuala Lumpur

Saya tidak dapat tidur selama tiga jam setengah. Raymond tidur sebentar-sebentar  sahaja. Kebanyakan penumpang lain sedang tidur dan ada yang makan makanan yang dibawa oleh pramugari.

Pesawat Air Asia menurunkan badannya di KLIA 2 pada jam 6.15 pagi, waktu Malaysia. Ia mendarat lebih awal daripada waktu yang diumumkan.

Tidak ada apa-apa pemeriksaan lanjut dilakukan di KLIA 2. Kami turun bawah ke  tempat menunggu Grab. Setelah dua puluh minit menunggu, Grab pun tiba.

Matahari menyinsing naik. Pemandu Grab ini pula memandu dengan amat laju, lebih teruk daripada pemandu-pemandu di India.

Tiba sahaja di rumah, setelah mandi-manda, saya menikmati nasi lemak yang dibelikan oleh adik. Sungguh enak. (tamat)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]