Sepanjang Perjalanan di Tamil Nadu, India (Bahagian 5)

Ramanathapuram, 1.06.2024

Selain daripada melawat kuil-kuil lama dan ternama di sekitar Tamil Nadu, adik ipar saya, Raymond juga teringin untuk melawat kuil kulatheivam keluarga mereka yang disembah turun temurun.

Setiap keluarga keturunan Tamil mempunyai kulatheivam masing-masing. Kulatheivam merupakan ‘tuhan pengawal’ sesuatu kampung. Saya tidak berapa arif untuk menceritakan mengenai asal-usul ini. Lagipun, ramai tidak mempraktikkan sangat penyembahan ini di Malaysia.

Semalam, semasa perbincangan bersama sepupu Raymond, Theeba menyatakan kuil tersebut terletak di sebuah kawasan kampung, lebih kurang sejam jauh dari rumahnya. Dia pun sudah tidak lama ke situ dan tidak tahu akan keadaan sekarang kuil tersebut.

Kami bertiga bergerak semula ke Ramanathapuram pada hari ini Kami menjemput Theeba dan dua orang anaknya sekali. Suami Theeba bekerja di Malaysia.

Kami ke sebuah kuil besar yang kurang pengunjung di Ramanathapuram sebelum menuju ke kawasan perkampungan yang disebut oleh Theeba.

Selepas berpusing-pusing memasuki kawasan sawah padi (tidak kelihatan padi ketika itu), kami pun tiba di perkampungan tersebut. Terdapat patung kecil di suatu tempat yang dikenali sebagai Azhagar. Oleh kerana tidak ada pengunjung, ia nampak terbiar.

Kemudian, kami ke kawasan rumah tempat datuk dan nenek Raymond tinggal pada suatu ketika dahulu. Sungguh cantik perkampungan itu. Rumah-rumah di situ berwarna-warni. Pokok-pokok neem tersergam di perkarangan depan dan di belakang setiap rumah.

Cuaca agak panas. Selepas Theeba berbual dengan beberapa kenalan di situ, kami berpatah semula ke bandar Ramanathapuram. Kelihatan pelbagai kuil kecil di sepanjang perjalanan. Saya juga dapati beberapa orang mengambil air di kolah yang besar untuk dibawa balik ke rumah. Ada juga di antara mereka bermandi di situ.

Setelah makan tengah hari di sebuah restoran, Theeba dan anak-anaknya dihantar ke rumah mereka. Theeba juga memberi buah tangan kepada Raymond untuk dibawa pulang.

Kami menuju ke Madurai selepas itu. Kelihatan banner meraikan harijadi, banner hari perkahwinan dan banner tentang kematian individu, di sepanjang jalan. Wajah mereka yang dirai terpampang besar.

Perkhidmatan bas kerajaan pelbagai warna juga dapat dilihat di mana-mana. Kebanyakan bas masih berbentuk lama.

Lebih kurang jam 5 petang kami sampai di Madurai. Jurupandu kami, Raaji membawa kami ke Madurai Meenakshi Amman Koil.

Kuil Madurai Meenakshi Sundareswarar ini dibina oleh Maharaja Pandiyan Sadayavarman Kulasekaran (1190 CE -1205 CE). Terdapat 14 gopuram dengan ketinggian 52 meter. Keluasan kuil ini adalah 65000 meter persegi.

Sebelum masuk ke dalam kuil, telefon bimbit dan kasut perlu diserahkan di kaunter simpanan dengan bayaran tertentu. Resit diberi untuk memudahkan diambil semula nanti. Badan juga diperiksa oleh polis.

Memang sungguh luas. Saya menjadi kagum. Saya dan Raymond sungguh teruja dengan seni bina kuil ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka dapat membina bangunan setinggi ini dengan menggunakan batu kapur konglomerat marmar granit. Dengan cara apakah mereka menaikkan batu-batu berat setinggi ini. Masih menjadi misteri dan tanda tanya.

Terdapat sebuah muzium di suatu bangunan kuil ini. Dikenakan bayaran untuk masuk dan menikmati keindahan zaman lampau. Dengan lampu yang tidak begitu terang dalam tempat ini, seolah-seolah telah membawa kami ke era Kerajaan Pandiyan.

Lebih kurang satu setengah jam kami berdua berlegar di dalam kuil ini. Kemudian, kami ke tempat jualan barang-barang cenderahati. Kami membeli sedikit sahaja yang berkenan di situ.

Kami mengambil semula telefon bimbit dan kasut kami. Apabila kami keluar sahaja dari kuil, beberapa orang peminta sedekah dan transgender mengelilingi kami. Tahu-tahu sahaja kami dari Malaysia. Kami berjalan laju-laju untuk mengelakkan ‘sentuhan’ mereka. Memang disentuh.

Pada masa itulah sukar pula kami mencari di mana kereta Raaji diparkir. Kebanyakan kereta seakan-akan sama dengan kereta jurupandu kami. Setelah Raymond menghubunginya melalui telefon, baru nampak kelibat.

Jam 7.30 malam, kami tiba di hotel di Madurai. CR Grande Hotel itu terletak betul-betul di tengah-tengah bandar. Terdapat tiga katil di dalam bilik hotel ini. Terdengar bunyi auto rikshaw dan bunyi hon kederaan di dalam bilik hotel, walaupun kami di tingkat 2 dengan pintu dan tingkap tertutup.

Setelah mandi-manda dan berehat sebentar di hotel, kami bertiga ke sebuah restoran tidak berapa jauh dari situ. Setelah beberapa hari makan makanan nabati, baru hari ini kami makan nasi dengan masakan kambing varuval yang lazat dan minum air limau ais yang saya tidak pernah rasa sebelum ini.

Kami ke bilik selepas itu. Raaji tidur di bilik yang disediakan untuknya di bawah.

Amat letih. Namun saya agak sukar untuk tidur dengan nyenyak setiap kali di tempat baharu. (bersambung)

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]