Perjalanan Masih Jauh

Cahaya purnama melimpahi seluruh alam,

Kita merenung bersama di bawah langit malam,

Gema gamelan berkumandang di dalam,

Kita dalami memori silam.

 

Ombak samudera memecah kesunyian,

Jiwa kita bersemadi dalam ketenangan,

Pahit dan manis terukir dalam kenangan,

Setiap hikmah pasti ada jawapan.

 

Bisikan harapan sering menggoda,

Perjalanan ini belum sempurna,

Setiap masa dan saat harus dikira,

Pelayaran ini ada maknanya.

 

Bahtera waktu, pelayaran yang tiada henti,

Lautan impian, kini menanti,

Suka dan duka, sering berganti,

Inilah perjalanan hidup yang kian dinanti.

 

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]


[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022), Seruling Malam (2024), dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]