Suka

Suka. Manusia mempunyai pelbagai kesukaan. Suka yang ujud sejak alam bayi lagi. Suka yang disalurkan semasa terjadinya keintiman sesama pasangan atas dasar suka sama suka selepas mendirikan rumahtangga.

Tuhan mencipta manusia bersama perasaan suka dengan motif tertentu. Ia sukar dihuraikan. Ilmu spiritual diperlukan untuk mengenal pasti ia secara lebih mendalam. Saya tidak bertauliah dalam bidang itu. Apa yang saya catatkan di sini adalah hasil daripada pengalaman dan pengamatan di atas muka Bumi ini lebih dari lima dekad.

Sebagai manusia, kita akan suka terhadap seseorang. Mereka akan terdiri daripada ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara yang sering bersama kita. Ini bukan bermaksud kita akan suka pada sesiapa sahaja yang ada bersama kita. Kita masih akan memilih mereka yang disukai sahaja untuk beramah mesra. Kesukaan itu akan berubah haluan jika tertimpanya musibah.

Perasaan suka itu sudah terbentuk dalam diri manusia, sebab itu manusia suka memilih.  Manusia merupakan satu-satunya spesis yang berbeza daripada spesis-spesis lain di muka bumi ini.

Seekor harimau akan membunuh rusa yang melintas di hadapan matanya ketika lapar. Harimau tidak akan mengenepikan rusa itu dengan alasan dagingnya tidak sedap. Perut perlu diisi dengan makanan. Itu yang penting. Tidak seperti manusia. Manusia lebih mementingkan kualiti sesuatu makanan. Jadi istilah ‘suka’ sentiasa berperanan penting bagi manusia. Bagaimanapun, haiwan juga biasa menunjukkan perasaan suka dan benci pada situasi-situasi tertentu.

Perasaan suka yang terbentuk sejak bayi akan menjalar sehingga ke alam kanak-kanak. Sebagai kanak-kanak pula, sudah tentu pelbagai kerenah akan berlaku di alam itu. Kanak-kanak mudah rambang mata apabila dibawa ke kedai serbaneka. Pelbagai barangan akan menarik perhatian mereka. Saya sering melihat kanak-kanak memujuk dan memaksa ibu bapa untuk membeli pelbagai barangan kesukaan mereka seperti makanan ringan dan mainan. Ibu bapa pula akan menghalang mereka daripada mengambil sebarang barangan. Cuma yang berpatutan dan mampu milik sahaja yang dibenarkan. Kesukaan kanak-kanak mula terhalang di situ.

Walaupun kita suka pada sesuatu benda, perkara, orang, haiwan, makanan, ugama dan lain-lain. Itu bukan bermaksud kita akan dapat semua yang kita suka. Kesukaan seseorang itu ada hadnya. Yang pertama, kita sendiri akan menghadkan kesukaan kita. Yang kedua, orang lain akan menghadkan kesukaan kita. Suka atau tidak, kita terpaksa akur pada situasi itu.

Perubahan usia, keadaan geografi, keadaan kewangan dan rakan-rakan adalah antara faktor menyebabkan timbulnya perasaan suka dan tidak suka. Perasaan suka tidak boleh dipaksa-paksa. Ia datang dengan sendiri. 

Justeru itu apabila perkara yang disukai tidak dikabulkan atau tidak tercapai, pelbagai perasaan akan muncul di benak. Baik kanak-kanak mahupun dewasa, ketidak puas hati akan menular tanpa disedari hingga menyebabkan provokasi. Kanak-kanak yang tidak puas akan membaling barang atau berguling-guling di lantai apabila kehendak mereka tidak dipenuhi. Yang dewasa pula pelbagai ragam hingga membunuh orang dan membunuh diri.

Namun begitu, kita tidak boleh memaksa sesiapa untuk menyukai seauatu produk atau perkara. Dan kita juga tidak berhak untuk menukar produk kesukaan seseorang yang digunakan sekian lama kepada produk baharu atau produk lain yang sudah lama berada di pasaran. Ia juga adalah sama seperti menukar agama seseorang secara halus tanpa disedari dan disukai.

Oleh kerana perasaan suka telah termaktub dalam kita, kita harus sentiasa berwaspada.  Perasaan itu perlu dikawal sebaik mungkin. Ia tidak boleh ditonjolkan secara ekstrim. Kawalan diri adalah amat penting. Perkara yang kita sukai itu mungkin nampak agak biasa dan kecil sahaja, namun kita harus menetapkan kayu pengukur, agar tidak memudaratkan diri, orang lain dan negara.

Suka?

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]


[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]