Siapa Bunuh Nagamuttu? – Bahagian 3

Nagamuttu datang ke Hospital Taiping pada 14 April 1941. Pemeriksaan menunjukkan berlaku hakisan pada kulit di luar mulut dan di dalam mulut. Pesakit juga asyik muntah. Semasa melakukan pemeriksaan, saya dapat menghidu bau samsu yang sangat kuat.”

Demikian Dr. A. W. Moreira memberi keterangan di hadapan Majistret Tungku Syed Abdullah.

Nagamuttu berada di wad selama sepuluh hari. Pegawai perubatan itu mengesahkan bahawa terdapat bukti kukuh kejadian muntah dan hakisan di dalam mulut pesakit disebabkan bahan peluntur.

“Akibatnya, kesemua giginya reput dan terpaksa dicabut,” kata Dr. A. W. Moreira.

Masih ingat suspek ketiga bernama Maruthamuttu dari Nibong Tebal, Pulau Pinang yang turut ditahan polis? Dia juga memberi keterangan – atau lebih tepat lagi, membuat pengakuan – semasa inkuiri dijalankan Inspektor Gani tentang punca kematian Nagamuttu.

“Saya sepupu kepada Pottu. Saya menoreh getah di Ladang Caledonia, Nibong Tebal. Pada 20 Mei 1941, saya pulang selepas menoreh getah sekitar pukul 1.30 tengah hari dan mendapati Pottu sedang berbual dengan nenek di rumah,” Maruthamuttu menceritakan.

Sekitar pukul 3:30 petang, Pottu meminta Maruthamuttu menemaninya pulang ke Taiping. Pemuda itu menurut tanpa banyak soal.

“Pottu yang membayar tambang kereta api. Kami tiba di Stesen Kereta Api Taiping pada hampir pukul 6.30 petang dan terus pergi ke rumah Nagamuttu di Assam Kumbang.”

Semua orang yang berada di mahkamah terkejut mendengar pengakuan Maruthamuttu seterusnya.

“Sebaik melangkah masuk, saya terkejut melihat mayat Nagamuttu terkujur di lantai. Seluruh tubuh ditutup dengan kain dan hanya mukanya yang kelihatan,” Maruthamuthu menceritakan dengan suara terketar-ketar dan matanya seolah-olah membayangkan peristiwa hitam itu.

Pemuda itu mengaku menggigil ketakutan tetapi Pottu mendesaknya supaya memberanikan diri. Sekitar pukul 9:00 malam, Kanapathy datang ke rumah dan Pottu segera membawa lelaki itu ke dapur.

“Saya tidak tahu apa yang mereka bualkan sebab saya berada di beranda. Menjelang tengah malam, saya nampak Kanapathy menggali lubang di kebun belakang rumah menggunakan cangkul,” katanya lagi.

Menurut Maruthamuthu, dia nampak mayat Nagamuttu diletak berdekatan tempat Kanapathy sedang menggali lubang. Mayat itu ditutup dengan guni.

“Buat apa berdiri tercegat di sana? Cepat datang tolong saya!” Kanapathy menyergah sambil bercekak pinggang.

“Tak! Saya tak mahu terlibat!”

Kanapathy segera mencapai sebatang kayu dan mengacu-acukannya ke arah Maruthamuthu.

“Kalau awak cuba memandai-mandai, nasib awak pun sama dengan lelaki ini,” Kanapathy mengugut dengan suara tegas.

Dalam keadaan menggigil, Maruthamuthu terpaksa akur pada arahan Kanapathy. Dia dan Pottu sama-sama memegang bahagian kaki mayat manakala Kanapathy memegang kepala.

“Kami memasukkan mayat Nagamuttu ke dalam lubang yang digali oleh Kanapathy,” pemuda dari Nibong Tebal itu menceritakan di mahkamah. “Selepas itu, Pottu masuk ke dalam rumah sementara saya dan Kanapathy menimbus lubang untuk menanam mayat si mati.”

Menurutnya, lubang berkenaan terletak sekitar 50 kaki (15 meter) di belakang rumah dan ditimbus sepenuhnya menjelang pukul 1:30 malam.

“Selepas itu, tanpa berlengah, kami berdua terus pergi ke Stesen Kereta Api Taiping. Saya tertidur kerana takut dan penat. Kanapathy mengejutkan saya apabila kereta api tiba.”

Kanapathy menghulurkan tiket kelas tiga dan menyuruh Maruthamuttu pulang ke Nibong Tebal.

“Kalau awak cuba menceritakan kejadian di rumah tadi kepada sesiapa, saya akan cari awak sampai dapat dan menikam awak bertubi-tubi sampai awak mati!” Kanapathy sempat memberi amaran sebelum Maruthamuttu menaiki kereta api.

“Awak tidak bertanya kepada Kanapathy atau Pottu tentang punca kematian Nagamuttu?” Inspektor Gani bertanya pada sesi pemeriksaan balas.

“Apabila Pottu datang ke rumah saya di Nibong Tebal, dia kata suaminya pergi ke Ipoh. Selepas melihat mayat Nagamuttu di dalam rumah mereka di Assam Kumbang, saya minta penjelasan. Pottu kata, saya tak perlu ambil tahu sebab tak ada kena-mengena dengan saya. Dia minta saya tutup mulut,” kata Maruthamuttu sambil menambah bahawa dia tidak berani bertanya apa-apa pada Kanapathy kerana lelaki itu bersikap bengis dan mengugutnya sejak mula.

Saksi seterusnya yang dipanggil memberi keterangan ialah Dr. K. Rajaratnam dari Hospital Taiping. Beliau menyaksikan operasi menggali mayat Nagamuttu pada 25 Mei 1941.

“Saya juga yang melakukan bedah siasat ke atas mayat berkenaan pada keesokan hari. Semasa dikeluarkan dari dalam lubang di kebun belakang rumah, mayat itu dibungkus dengan guni. Mayat itu sudah mengembung dan mereput. Si mati tidak ada walau sebatang gigi dan kedua-dua biji mata sudah reput.”

Menurut doktor itu, sehelai kain putih ditemui melilit leher mangsa tetapi tidak diikat. Bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda pergelutan dan tulang yang patah pada tubuh mangsa.

“Kesemua organ dalaman sudah reput. Kami telah menghantarnya ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan laporan rasmi tidak menunjukkan kehadiran sebarang bahan racun,” beliau menghuraikan.

Ditanya kemungkinan dua individu telah mencekik mangsa dengan melilit sehelai kain pada leher mangsa dan masing-masing menarik satu hujung kain, Dr. K. Rajaratnam bersetuju dengan kemungkinan itu.

“Akan tetapi,” tegasnya, “tentulah ada tanda dan kecederaan nyata pada leher mangsa walaupun jika mayat sudah mula mereput. Namun, dalam bedah siasat yang dibuat, tidak ada tanda-tanda leher mangsa dicekik.” (bersambung - Bahagian 4)

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]