Siapa Bunuh Nagamuttu? – Bahagian 4

Dr. K. Rajaratnam mengaku tahu bahawa Nagamuttu pernah masuk wad di Hospital Taiping sebelum itu akibat keracunan.

“Keadaan kesihatan Nagamuttu pada masa itu pada umumnya tidak berapa baik. Malah, dia kelihatan risau dan runsing. Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada apa-apa masalah kesihatan. Jantung dan paru-parunya berkeadaan baik,” katanya berdasarkan laporan perubatan hospital.

Beliau menambah bahawa Nagamuttu masuk semula ke wad pada 1 Mei 1941 dan dibenarkan pulang, dua minggu kemudian. Pada kali ini, dia dirawat oleh Dr. Lim Swee Chin.

Inkues untuk menyiasat punca kematian Nagamuttu ditangguh sehingga 9 Ogos 1941 (Sabtu) supaya Dr. Lim Swee Chin boleh hadir memberi keterangan.

Apabila hadir memberi keterangan, doktor itu mengesahkan Nagamuttu berada dalam keadaan sihat dan stabil apabila dibenarkan pulang pada 15 Mei 1941.

“Malah, saya memberitahu pesakit bahawa dia boleh kembali bekerja pada keesokan hari. Memang tidak ada apa-apa tanda bahawa Nagamuttu mungkin boleh meninggal dunia atas sebab keracunan,” beliau menyimpulkan.

Selepas mengambil kira keterangan kesemua saksi termasuk polis dan doktor, Majistret Tungku Syed Abdullah selaku koroner mengumumkan keputusan penghakiman.

Beliau memulakan dengan menghuraikan secara ringkas kronologi kematian Nagamuttu.

“Berdasarkan hasil bedah siasat dan keterangan doktor pakar berhubung kes ini, kita tidak tahu apakah punca sebenar kematian Nagamuttu. Maka, masih timbul keraguan adakah mangsa meninggal dunia secara semula jadi atau dibunuh,” kata majistret.

Tentulah orang ramai yang berada di mahkamah pada waktu itu terlopong dan hampir tidak percaya. Sejak mayat Nagamuttu ditemui tertanam di kebun belakang rumah, para penduduk sekitar Taiping yakin bahawa Pottu (isteri) dan Kanapathy (anak tiri) membunuh lelaki itu. Maka, tentulah keputusan mahkamah sedikit memeranjatkan; malah mengecewakan.

Malah, anda juga mungkin berpendapat demikian, bukan?

Tungku Syed Abdullah turut menyentuh secara khusus tentang Pottu dan Kanapathy dalam penghakimannya.

“Tidak dapat tidak, berdasarkan keterangan para saksi, memang ada sesuatu yang meragukan tentang sikap serta tindak-tanduk isteri mangsa (Pottu) dan anak tiri mangsa (Kanapathy) sebelum dan selepas kematian mangsa,” beliau menambah, sekali gus segera menarik semula minat orang ramai yang memenuhi mahkamah.

Majistret itu meneruskan: “Amat nyata bahawa hubungan Nagamuttu-Pottu sebagai suami isteri, serta hubungan Nagamuttu-Kanapathy sebagai bapa tiri dan anak tiri tidak begitu sempurna dan lancar.”

Beberapa orang yang menghadiri perbicaraan kelihatan mengangguk sewaktu Tungku Syed Abdullah menyebut bahawa hubungan Pottu-Kanapathy adalah terlalu intim; melampaui hubungan biasa yang diharapkan antara seorang wanita berstatus ibu tiri dan seorang lelaki berstatus anak tiri.

“Harus dinyatakan bahawa lima hari selepas kematian Nagamuttu, Pottu dan Kanapathy ditemui berdua-dua di dalam rumah berkunci apabila polis pergi untuk menyiasat kehilangan mangsa,” katanya.

Sewaktu menyampaikan keputusan penghakiman, Tungku Syed Abdullah turut mengingatkan bahawa sebelum kematiannya, Nagamuttu memang sentiasa dihantui perasaan takut.

“Berdasarkan keterangan saksi, Nagamuttu ada membuat laporan polis serta memberitahu beberapa orang bahawa anak tirinya iaitu Kanapathy pernah mengugut mahu membunuhnya.”

Orang ramai sekali lagi mengangguk kerana perkara itu memang sudah tersebar luas, khasnya sejak perbicaraan kes bermula. Ada pelbagai cerita tersebar tetapi apa-apa yang dinyatakan oleh majistret di mahkamah tentulah lebih boleh dipercayai.

“Ternyata Nagamuttu juga meminta rakannya menulis surat kepada syarikat insurans dan meminta supaya anak tirinya iaitu Kanapathy tidak diberi sebarang pampasan jika Nagamuttu meninggal dunia.”

Tungku Syed Abdullah menambah: “Apabila Nagamuttu masuk hospital kali pertama pada April 1941 akibat keracunan, Pottu telah meminta Sankaran Pillai menulis surat kepada syarikat insurans untuk bertanya tentang polisi insurans suaminya. Semua perkara ini menunjukkan seolah-olah Pottu dan Kanapathy ada kepentingan dan motif dalam kematian Nagamuttu.”

Beberapa orang yang berada di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan kes seolah-olah masih mengharapkan supaya Pottu dan Kanapathy disabitkan dengan pembunuhan Nagamuttu. Akan tetapi, tentulah majistret dan mahkamah hanya boleh membuat keputusan berdasarkan bukti dan fakta.

Pada pandangan Tungku Syed Abdullah, Nagamuttu masuk wad sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat dan telah menerima rawatan daripada tiga doktor yang turut tampil memberi keterangan di mahkamah.

“Apabila Nagamuttu dibenarkan pulang pada 15 Mei 1941, dia disahkan sihat sepenuhnya. Tidak ada tanda apa-apa penyakit. Maka, pada pandangan saya, tidak ada kemungkinan mangsa meninggal dunia secara semula jadi.”

Namun begitu, selepas mengambil kira keterangan kesemua saksi dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah, Majistret Tungku Syed Abdullah memberikan keputusan muktamad.

“Tidak dapat dinafikan bahawa keterangan para saksi menunjukkan dengan jelas hakikat Pottu dan Kanapathy merupakan pihak berkepentingan jika Nagamuttu meninggal dunia. Namun begitu, tidak ada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan Pottu dan Kanapathy secara langsung dengan punca kematian Nagamuttu.”

Suasana tegang memenuhi segenap ruang. Masing-masing berdebar-benar menanti keputusan majistret.

Di bawah peruntukan undang-undang, punca kematian seseorang boleh diputuskan sebagai kematian semula jadi (natural death), kematian disebabkan oleh orang lain, pembunuhan (homicide), bunuh diri, kecelakaan (misadventure), atau terbuka (open verdict).

“Selepas mengambil kira segala bukti dan hujah, termasuk laporan bedah siasat, mahkamah membuat keputusan bahawa punca kematian Nagamuttu tidak dapat dipastikan. Maka, dalam inkues ini, saya memberikan keputusan terbuka atau open verdict,” kata koroner dengan nada kecewa tetapi tegas.

Maka, apakah punca sebenar kematian Nagamuttu? Mungkin ada penduduk Assam Kumbang, Taiping yang boleh berkongsi cerita. [Baca juga: Siapa Bunuh Veer Singh?]

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]