Kuil Kodungallur Sree Kurumba Bhagavathi: Nadi Keturunan Saya

Baru-baru ini, saya mendapat tahu mengenai satu hal yang menarik yang menghubungkan saya dengan warisan nenek moyang saya. Saya mendapati bahawa dewi pelindung keluarga saya, atau lebih dikenali sebagai Kula Deivam, ialah Dewi Kodungallur Bhagavathi. Hal ini telah mendorong untuk mendalami dan mendekati tradisi dan budaya keturunanan keluarga secara lebih terperinci.

Kuil Kodungallur Sree Kurumba Bhagavathi yang terletak di Kerala, India adalah salah satu kuil yang cukup terkenal dan menjadi perbualan orang ramai di selatan India. Kuil ini didedikasikan kepada Dewi Bhadrakali yang juga dikenali dengan nama yang berbeza seperti Mahakali dan Kalika. Dewi Bhadrakali adalah dewi Hindu yang memiliki kuasa yang tidak terhingga dan dikaitkan dengan transformasi, peredaran waktu, dan keberanian.

Salah satu ritual yang agak signifikan yang diadakan di kuil ini pada setiap tahun ialah Guruthi Puja. Ritual ini dilakukan untuk menenangkan keadaan Dewi yang penuh dengan amarah dan memohon perlindungan serta keberkatan untuk sepanjang hayat. Guruthi Puja terkenal dengan suasana yang mistik, khusyuk dan penuh dengan kepercayaan yang mendalam dalam kalangan penyembah yang kebanyakkannya terdiri daripada masyarakat keturunan Malayali yang berasal dari Kerala.

Selain Guruthi Puja, perayaan Bharani juga diraikan bagi Dewi Kodungallur Bhagavathy. Perayaan ini adalah acara tahunan yang sungguh meriah dan mampu menarik ribuan penyembah dari seluruh selatan India tanpa mengira status sosial dan etnik. Perayaan ini disambut dengan penuh semangat dan diikuti upacara mistik yang cukup menggairahkan.

Tempoh perayaan ini dianggap amat suci. Para penyembah berpakaian mengikut tema perayaan iaitu pakaian tradisional yang berwarna merah. Mereka berkumpul bersama-sama di perkarangan kuil untuk memberi penghormatan dan menunjukkan ketaatan kepada Dewi Kodungallur Bhagavathi.

Sebagai seorang insan yang baru mengetahui hubungan keluarga saya dengan Dewi Kodungallur Bhagavathi, saya berasa amat terharu dan bersyukur. Kuil ini bukan sahaja menjadi tempat ibadat yang penting bagi keluarga saya tetapi juga simbol kekuatan dan perlindungan yang diwarisi secara turun-temurun. Peristiwa ini telah memperkayakan pemahaman saya terhadap tradisi keluarga dan menguatkan lagi ikatan dengan warisan keturunan saya yang berasal dari Kerala.

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]