Memanfaatkan Cuti Sekolah Dengan Membaca

Cuti semester terakhir sekolah untuk tahun ini akan bermula pada pertengahan Januari tahun hadapan (2025). Walaupun tarikh cuti semester tidak sama seperti dahulu sejak Pandemik Covid - 19, ia tetap menggembirakan semua pelajar sekolah.

Cuti yang akan mengambil masa sebulan lama bukanlah suatu jangka masa yang pendek. Masa saya bersekolah pada pertengahan tahun 70-an hingga hujung 80-an, cuti penggal terakhir akan bermula pada pertengahan November hingga hujung Disember. Sesi persekolahan akan bermula semula pada Isnin minggu pertama  Januari.

Juga pada zaman persekolahan kami, cuti semester (disebut cuti penggal persekolahan) amat berbeza dengan sekarang. Ada tiga cuti penggal persekolahan. Kebiasaannya cuti dua minggu pada April, cuti tiga minggu pada Ogos dan cuti panjang bermula pada pertengahan November.  Kini, cuti sesuatu perayaan sudah dipanjangkan sebagai mengambil alih cuti penggal persekolahan.

Dahulu, saya bersama keluarga akan ke rumah nenek sebelah bapa di Segamat dan ke rumah nenek sebelah ibu di Kuala Lumpur. Kami akan tinggal beberapa hari di situ. Itu pun bukan setiap tahun dapat dilaksanakan.

Anak-anak zaman sekarang mampu untuk melancong ke mana-mana sahaja pada setiap cuti semester mengikut kemampuan keluarga masing-masing. Ada yang melancong di dalam negara dan ada juga yang ke luar negara. Masih juga ada pelajar pulang ke kampung halaman ibu bapa mereka untuk menikmati suasana yang berlainan.

Pelajar belasan tahun pula ada yang bekerja untuk sementara di mana-mana premis perniagaan untuk menjana duit poket. Keadaan ini sudah pun berlaku sejak saya bersekolah lagi. Cuma, ibu bapa saya tidak mengizinkan saya berbuat demikian.

Cuti sekolah diberi sejak zaman dahulu lagi untuk meringankan minda pelajar dan diberi peluang untuk berehat,  beramah mesra dengan ibu bapa serta adik-beradik dan saudara-mara.

Ini bukan bermaksud pelajar diberi masa untuk beriadah sahaja. Selain daripada menelaah pelajaran sekolah, banyak lagi aktiviti-aktiviti lain boleh dilaksanakan atau dimulakan pada musim cuti sekolah.

Oleh kerana saya dan adik-beradik bercuti di rumah sahaja, banyak masa digunakan untuk membuat kerja-kerja rumah yang diberi oleh ibu. Selain daripada pergi ke kedai dan pasar, kami juga membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, menyapu dan menanak nasi. Kadang-kadang kami bermain di padang sekolah, belakang rumah.

Selain daripada itu, bapa pula sentiasa membelikan bahan-bahan bacaan seperti akhbar mingguan dan majalah. Pada tahun 1980 bapa telah belikan satu set Children’s Encyclopedia Britannica yang dibayar secara ansuran. Ini banyak memenuhi masa saya dan adik beradik dengan sungguh berfaedah.

Jadi saya syorkan perkara yang sama dilakukan oleh generasi pelajar zaman sekarang. Sila jauhkan telefon pintar anda dan cuba merealisasikan apa yang saya nyatakan di sini.

Bermulalah dengan aktiviti membaca buku cerita seperti cerpen dan novel. Berkunjunglah ke perpustakaan daerah masing-masing pada musim cuti ini.

Pelajar digalakkan membaca kumpulan cerpen atau antologi cerpen terlebih dahulu sebelum memilih novel. Anda boleh membaca di perpustakaan ataupun meminjam dari situ. Suasana di perpustakaan itu sendiri akan menjadi tarikan untuk membaca. Namun, untuk menghabiskan sesuatu buku di perpustakaan akan mengambil masa lama. Jadi anda digalakkan untuk menjadi ahli perpustakaan.

Dengan menjadi ahli perpustakaan, anda dapat meminjam beberapa buah buku sekaligus. Bahan bacaan seperti cerpen, novel dan lain-lain boleh dikongsi bersama adik-beradik mahupun ibu dan bapa.

Saya menggalakkan para pelajar menyediakan buku nota untuk mencatitkan segala perkataan-perkataan yang tidak difahami. Mungkin buku-buku yang dipinjam itu ada dalam pelbagai bahasa. Anda boleh mencari maksud perakataan-perkataan yang tidak difahami itu di dalam kamus mahupun dalam aplikasi google.

Selain itu, setiap cerita atau topik yang dibaca itu perlu dirumuskan di dalam buku nota tersebut. Ini akan menjadikan anda  memahami sesuatu karya atau tulisan itu dengan lebih mendalam.

Selain rumusan, anda juga boleh menulis ulasan atau kritikan tentang apa yang telah dibaca. Mungkin ada bahagian yang anda suka dan ada yang tidak.

Catitan-catitan seperti ini akan mengasah diri anda untuk menulis karangan atau karya sastera dengan lebih bagus secara perlahan. Ia juga boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk kawan-kawan lain.

Membaca, merumus dan mengulas secara bertulis adalah bagus dari pelbagai segi, begitu juga dengan berbincang. Berbincang tentang buku kegemaran sesama adik-beradik, ibu bapa dan rakan-rakan adalah suatu nikmat yang sukar dihuraikan.

Ini akan melancarkan cara pengucapan anda dan akan menarik minat mereka yang lain untuk meminjam atau membeli buku-buku tersebut pada masa akan datang.

Ilmu pengetahuan bukan hanya boleh diperolehi daripada buku teks sekolah sahaja. Terdapat pebagai ilmu luas terbentang di luar sana bagai lautan. Anda yang perlu berusaha untuk mencapainya.

Jadi, manfaatkanlah cuti sekolah sebulan ini dengan membaca dan menulis agar ia akan menceriakan anda pada masa kini dan seterusnya.

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]