Chellam Akka (Bahagian 2)

[Sambungan daripada Bahagian 1] Beliau hanya muncul semula beberapa minggu kemudian. Perutnya sudah kempis! Anehnya, bayi tidak pula kelihatan dan suara tangisan juga tidak kedengaran.

Sedikit demi sedikit, saya mendengar daripada perkongsian cerita golongan wanita di kampung bahawa Chellam Akka telah pergi ke Selangor untuk melahirkan anak. Bayi itu pula diserah kepada saudara mara untuk dipelihara.

Beberapa tahun kemudian, semasa berada di sekolah menengah, saya mendengar pula versi yang sedikit berbeza dalam perbualan golongan wanita di kampung kami. (Mungkin juga versi mereka masih sama tetapi tahap pemahaman saya mula berubah mengikut peningkatan usia.)

Kononnya, Subramani Taata dan Chellam Akka berpindah dari Klang, Selangor ke Taiping, Perak kerana beliau mengandung sebelum berkahwin. Mungkin beliau menjalin hubungan dengan seorang pemuda yang meninggalkannya sebaik mendapat berita si kekasih mengandung.

Maka, bagi menyembunyikan kisah sebenar, Chellam Akka dibawa ke Siru Kambam dengan cerita rekaan kononnya beliau seorang balu muda yang baru kehilangan suami.

Kemudian, apabila bayi di luar ikatan perkahwinan itu lahir, maka diserah ke rumah anak yatim. Selepas itu, Subramani Taata dan Chellam Akka meneruskan hidup di Taiping.

Dalam khabar angin yang tersebar dalam kalangan penduduk (khasnya wanita), tidak pula dihuraikan mengapa mereka berdua memilih untuk terus tinggal di kampung ini. Jika tujuan asal adalah untuk menyembunyikan peristiwa mengandung, mengapa tidak pulang ke tempat asal di Selangor selepas bayi diserah ke rumah anak yatim?

Jawapan kepada persoalan itu mula terjawab sedikit apabila penduduk kampung mendapat tahu bahawa hak milik tanah dan rumah yang didiami sejak tahun 1980 diserah sepenuhnya kepada Chellam Akka. Saya tidak tahu siapakah pemilik asal tetapi apa yang pasti, rumah dan tanah itu diserah – ditukar milik – atas nama Chellam Akka pada sekitar tahun 1985.

Selepas Subramani Taata meninggal dunia, Chellam Akka tinggal seorang diri di rumah itu. Beliau juga sudah mengambil alih pengendalian upacara menurun dan memuja Varahi Amman di rumah itu. Selain daripada orang luar, penduduk setempat juga sering berkunjung untuk mendapatkan restu dan bantuan.

Sesekali akan kedengaran desak-desus kononnya ada lelaki luar datang bermalam di rumah Chellam Akka. Bagi saya secara peribadi sejak sepuluh tahun lalu, siapa yang berkunjung atau siapa yang bermalam di rumah Chellam Akka bukan urusan orang kampung.

Bagi Chellam Akka, ternyata si balu yang sentiasa bersari putih itu tidak ambil pusing tentang pandangan orang ramai. Beliau terus hidup sendirian di rumah papan yang sudah menjadi miliknya.

Selalu juga beliau kelihatan duduk di beranda sambil termenang. Dan pada setiap pagi dan petang, jika tidak hujan, beliau pasti rajin menguruskan pelbagai tanaman dan sayur-sayuran di halaman rumah.

Lama-kelamaan, para penduduk mula belajar untuk menjaga tepi kain sendiri. Hanya sesekali ada orang bercerita tentang Chellam Akka; dengan nada positif mahupun negatif.

Berita kematiannya pada awal pagi tadi membongkar tiga rahsia yang tersimpan kemas selama dua puluh lima tahun. Kami mendapat tahu daripada si lelaki yang sering berkunjung dan bermalam di rumah Chellam Akka.

Rupa-rupanya, Subramani Taata bukan bapa kandung Chellam Akka. Sebaliknya, dia seorang duda yang tampil memberi perlindungan selepas Chellam Akka melarikan diri dari rumah akibat penderaan. Mereka berdua berpindah ke Taiping untuk memulakan hidup baharu.

Pendedahan kedua ialah bahawa Chellam Akka tidak pernah mengandung! Penampilan dirinya dahulu sebagai seorang balu muda yang mengandung adalah lakonan semata-mata.

Malah, hanya selepas kematiannya pada awal pagi tadi, kami tahu bahawa nama sebenarnya ialah Chellan. Beliau melarikan diri dari rumah pada usia tujuh belas tahun susulan keluarganya tidak mahu menerima hakikat beliau seorang transgender.

Chellan diberi perlindungan oleh Subramani Taata yang berjanji akan membantunya memulakan hidup baharu sebagai seorang wanita. Demi memastikan tiada sesiapa mempersoalkan identiti jantina, Chellan/Chellam diminta berpura-pura mengandung apabila mereka berdua datang ke Siru Kambam.

Selama dua puluh lima tahun, Chellam Akka tinggal di kampung ini sebagai seorang wanita. Hanya kematian datang dengan penuh cemburu lalu membongkar rahsia yang tersimpan kemas.

Pendedahan ini bukan bertujuan mengaibkan mendiang. Sebaliknya untuk meraikan semangat juang Varahi Amman yang dimiliki oleh seorang individu yang akan sentiasa saya kenang sebagai Chellam Akka. (Baca: Reaksi Pembaca Beta)

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Baca biodata penuh]

Ulasan