Sumbangan Sasterawan Kavyan Wajar Dihargai, Diiktiraf (Bahagian 1)

Dalam landskap sastera Malaysia, sejak dekad 1980-an, wujud suatu jalur kepengarangan yang sering terlindung di bawah bayang—iaitu kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Kelompok ini bukan sekadar “pelengkap” kepada Sastera Kebangsaan, sebaliknya agen (bukan ejen) yang membawa citra budaya, realiti identiti, jati diri, dan nilai pertembungan budaya ke medan khazanah penulisan arus perdana.

Dalam rencana ini, saya akan menelusuri secara ringkas keunikan kelompok ini, menganalisis sumbangan mereka sekilas lalu, serta mencadangkan bentuk pengiktirafan dan penghargaan yang wajar agar suara minoriti tidak terus tenggelam dalam keriuhan golongan majoriti.

Sejarah awal keterlibatan penulis kaum India dalam Sastera Melayu sebenarnya boleh dijejak jauh iaitu kepada tokoh India-Muslim seperti Munshi Abdullah (Abdullah Abdul Kadir, 1796–1854). Perincian mengenai penglibatan dan sumbangan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden itu boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021).

Namun, lonjakan penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia secara sedar dan sistematik mula muncul pada dekad 1980-an dan 1990-an, dipacu oleh Hadiah Cerpen Malayan BankingDBP.

Melalui platform itu, kelompok penulis kaum India seperti Saroja Theavy Balakrishnan dan M. Mahendran berjaya menyuarakan kisah masyarakat sendiri iaitu dengan mengetengahkan watak India tempatan, adat, konflik identiti, pemikiran generasi kedua, dan realiti kehidupan kaum India di Malaysia. Berbeza dengan karya bahasa Tamil, kesemua aspek berkenaan disajikan dalam Bahasa Malaysia yang lancar, indah, dan puitis.

Ada beberapa perkara membuatkan kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – Sasterawan Kavyan – begitu istimewa dan berharga dalam mencorak keunikan peta Sastera Kebangsaan.

Pertama, dari segi kekayaan budaya hibrid, Sasterawan Kavyan mampu membawa dan menyajikan tradisi, mitos, seni lisan, simbol, dan konflik budaya India tempatan ke dalam struktur naratif kebangsaan. Dengan itu, pembaca pelbagai kaum dan latar budaya di Malaysia berpeluang menyelami kisah dan pengalaman minoriti yang tidak selalu disuarakan dalam sastera arus utama.

Dalam kebanyakan karya Sasterawan Kavyan, watak kaum India tidak menjadi watak sampingan semata-mata. Sebaliknya, watak-watak seperti Khandasami oleh Saroja Theavy Balakrishnan dan Karupaya oleh M. Mahendran menjadi manusia penuh konflik, keinginan, dan harapan; sekali gus menjadi “watak nasional” iaitu membawa suara “warga Malaysia” dan bukan mewakili kaum India semata-mata.

Kedua, dari segi eksperimen bentuk dan bahasa, para Sasterawan Kavyan tidak selalu tunduk kepada gaya Sastera Melayu yang dikuasai penulis Melayu. Berbekalkan kepelbagaian adat, bahasa, budaya, dan agama, Sasterawan Kavyan sering berupaya memperkaya khazanah bahasa dan sastera kebangsaan.

Salah satu contoh yang nyata ialah menyisipkan perkataan bahasa Tamil, metafora budaya India, istilah Sanskrit, peribahasa India, dan gaya hidup kaum India dalam karya secara amat organik dan bukan secara paksaan.

Ketiga, dari segi ruang wacana dan kritik sosial. Kelompok Sasterawan Kavyan lazim membawa tema seperti realiti marginalisasi sosioekonomi komuniti India, identiti perantaraan, diskriminasi halus, dan konflik budaya. Tema dan isu ini tentu sahaja turut diketengahkan dalam penulisan bahasa Tamil, tetapi hanya mampu dibaca, difahami, dan diperdebatkan dalam kalangan pembaca yang menguasai bahasa Tamil.

Apa yang dilakukan oleh Sasterawan Kavyan secara penuh sedar ialah mengangkat, mengetengahkan, dan meletakkan isu-isu tersebut dalam arena dialog nasional; bukan hanya untuk dibaca dan dibahaskan dalam komuniti Tamil atau India semata-mata.

Cerpen Saroja Theavy Balakrishnan dalam Gemerlapan (1997) dan Keinginan Kecil di Celah Daun (2004), karya M. Mahendran dalam Karupaya (2018), serta cerpen para Sasterawan Kavyan dalam antologi seperti Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024) menjadi bukti. (Bersambung pada 11 November 2025)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan