Sumbangan Sasterawan Kavyan Wajar Dihargai, Diiktiraf (Bahagian 2)

(Sambungan daripada Bahagian 1) Meskipun sumbangan Sasterawan Kavyan amat besar dan penting, wujud beberapa cabaran yang menjadi hambatan berterusan. Misalnya, kurangnya pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan, ruang penerbitan yang terbatas, serta persepsi bahawa karya penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan hanyalah “sampingan” dan kelompok ini bukan pemegang taruh utama.

Wajarlah disebut apa yang membuatkan kelompok Sasterawan Kavyan begitu istimewa dan berharga. Sebagaimana dinyatakan, penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia tetap berpegang pada identiti dan jati diri—Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, dan sebagainya.

Sasterawan Kavyan memiliki keupayaan dan kebolehan membawa tradisi, mitos, pemikiran, simbolisme, kerencaman bahasa, dan konflik budaya kaum India tempatan ke dalam karya Sastera Kebangsaan. Sesungguhnya, konsep “Sastera Kebangsaan” tidak akan lengkap dan sempurna tanpa mengiktiraf sumbangan Sasterawan Kavyan.

Dalam konteks negara majmuk, Sastera Kebangsaan mempunyai fungsi membina empati, perpaduan, menghargai sumbangan, dan meraikan perbezaan.  Apabila kelompok Sasterawan Kavyan yang giat menulis dalam Bahasa Malaysia dikenal pasti, dihargai, dan diiktiraf oleh kerajaan (termasuk jabatan dan agensi kerajaan), ia menyampaikan mesej jelas bahawa Bahasa Kebangsaan dan Sastera Kebangsaan adalah milik bersama. (Baca juga – “Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan”)

Memanglah jumlah Sasterawan Kavyan pada masa kini tidak ramai. Situasi ini tentulah turut disebabkan kurang atau tiada pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan atas sumbangan kelompok ini sejak tahun 1980-an. Apabila kelompok minoriti ini diperakui, dihargai, dan diberi pengiktirafan sewajarnya, lebih ramai generasi muda kaum India akan berminat untuk turut terlibat dalam penulisan Bahasa Malaysia secara serius dan berterusan.

Bentuk pengiktirafan dan penghargaan yang dimaksudkan bukan sekadar anugerah dan hadiah dalam pertandingan. Sebaliknya, pengiktirafan atau penghargaan terhadap sumbangan Sasterawan Kavyan di luar konteks pertandingan, peraduan, dan sayembara penulisan.

Misalnya, kajian akademik di universiti terhadap karya Sasterawan Kavyan boleh dipergiatkan. Contoh kajian akademik boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pula boleh membeli dan mengedarkan buku-buku Sasterawan Kavyan ke perpustakaan desa di seluruh negara.

Wakil Sasterawan Kavyan juga boleh diundang ke seminar peringkat kebangsaan untuk membentangkan kertas kerja atau berkongsi tentang pengalaman kelompok penulis minoriti ini. Perkara seperti ini pernah dilakukan mulai tahun 1990-an tetapi semakin tidak kedengaran sejak 2020.

Pengiktirafan dan penghargaan yang lebih bermakna ialah biasiswa penulisan, dana penerbitan, atau geran sokongan yang dikhususkan bagi penulis kaum India yang menulis secara konsisten dalam Bahasa Malaysia. Peluang seperti ini mungkin sedia ada tetapi sering “dibolot” penulis Melayu yang merupakan kelompok majoriti dalam bidang penulisan di Malaysia.

Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) disediakan kerajaan sejak tahun 2007 “khusus kepada penerbit bumiputera”. Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hazami Jahar di Berita Harian (4 Jun 2024), PIBN disalurkan melalui Kementerian Kewangan untuk membantu penerbit bumiputera.

Bayangkan jika dana boleh diberi untuk membantu proses penerbitan antologi yang memuatkan karya Sasterawan Kavyan. Untuk rekod, kesemua antologi yang diusahakan oleh Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menggunakan wang para penulis sendiri. Buku-buku saya pula diterbitkan menerusi sumbangan modal sosial daripada rakan-rakan. Kelompok Sasterawan Kavyan juga giat menulis di portal Sastera Kavyan; sementara M. Mahendran menulis di blog peribadi, dan saya juga menulis di blog peribadi.

Sebagaimana wajar diingatkan dan ditegaskan berulang kali, kelompok Sasterawan Kavyan bukanlah “minoriti sampingan” yang hanya layak diberi pengiktirafan dan penghargaan menerusi “hadiah saguhati penulis Bukan Melayu”. Atau sekadar melukut di tepi gantang.

Bermula sebagai gelombang kecil yang muncul pada tahun 1980-an dan 1990-an, kelompok Sasterawan Kavyan kini merupakan paduan suara penting kelompok minoriti yang wajar dirai, dihargai, dan diiktiraf—bukan hanya atas sumbangan kepada perkembangan Sastera Kebangsaan tetapi juga kerana kelantangan bersuara demi mempertahankan hak, identiti, dan jati diri golongan minoriti menerusi karya yang memartabatkan Bahasa Malaysia dan Bangsa Malaysia.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan