(Sambungan daripada Bahagian Satu) Melihat Kavin mara ke arahnya, Mr. Zack berwaspada lalu tangannya diangkat ke atas. Tidak tahu datang dari arah mana, tiba-tiba muncul lapan orang bersenjata terus mengepung Kavin.
“Lepaskan saya.
Saya cuma mahu berdiri sebentar. Saya berdiri pun awak sudah takut, Mr. Zack?”
kata Kavin sambil ketawa.
Keseluruhan badan
Kavin diperiksa. Mereka tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Mr. Zack
mengarahkan mereka keluar dangan isyarat tangan. Kavin kembali duduk di sofa.
“Kamu cuma aktivis
di negara kamu. Iaitu negara kamu itu adalah negara kami sekarang. Saya
menghormati kamu kerana kamu pernah belajar dan bertugas di sini dahulu,”
kelihatan Mr. Zack mengubah cara bercakapnya. Dia bercakap dengan santai.
“Dan saya juga
datang berjumpa awak sebab kita pernah sama-sama bertugas dan awak sekarang
sudah berpangkat tinggi di Kementerian Pendidikan dan dapat menolong kami. Tapi
awak dengan angkuh masih mahu menegakkan benang yang basah,” Kavin merenung
tajam ke arah Mr. Zack.
“Jadi, adakah
seluruh rakyat di negara kamu mahukan sekolah-sekolah vernakular dan sekolah
kebangsaan diwujudkan semula? Saya tidak fikir mereka akan setuju. Sudah
beratus tahun berlalu, Mr. Kavin,” Mr. Zack masih tidak mahu berganjak.
“Saya tidak paksa
awak wujudkan semula sekolah vernakular seperti dahulu. Tetapi kami mahu setiap
bahasa ibunda kami diajar di semua peringkat sekolah di negara kami. Semua
bahasa kami perlu dipelajari agar susur galur kami tidak ditelan zaman, Mr. Zack.
Bahasa negara awak telah menenggelamkan kesemua bahasa milik negara kami yang ada suatu ketika
dahulu. Saya tidak mahu kesilapan lampau
diulang semula,” kata Kavin sambil bersandar pada sofa empuk.
“Mengapa kamu
berharap sangat yang saya boleh menolong, sedangkan para pemimpin kami di
negara kamu langsung tidak mengendahkan segala permintaan dan rayuan
kamu?” Mr. Zack masih berpegang kepada
prinsip birokrat kerajaannya.
“Sebab awak adalah
kawan saya. Tetapi saya tersilap. Rupa-rupanya awak juga sama seperti semua
manusia yang berasal dari sini. Awak dan mereka
berasal dari sini hanya mengutamakan bahasa negara ini sahaja. Biar bahasa negara dan kaum asal terkubur.
Kerajaan awak langsung tidak ada belas kasihan. Betul, Mr. Zack?” kata-kata itu
keluar dengan begitu deras seperti letupan mercun dari mulut Kavin.
Mr. Zack terdiam.
Kavin pun sudah malas mahu bercakap selepas itu. Dia seperti sudah hampir putus
asa. Dia mula bimbang apa yang diimpikan tidak kesampaian sehingga bila-bila.
“Jangan persalahkan kerajaan negara kami Mr.
Kavin. Itu adalah salah kerajaan dan menteri-menteri lampau di negara kamu
sendiri. Mereka telah abaikan dan hancurkan sistem pendidikan dan segala sistem
sehingga semua telah ditelan zaman. Kamu tidak mahu mengaku semua itu, Mr.
Kavin?” Mr. Zack masih berpegang teguh dengan pendiriannya.
Kavin tidak menjawab segera. Dia mengingatkan
kembali hasil kajian yang dilakukannya bersama para
aktivisnya. Perdana Menteri,
menteri-menteri serta birokrat lampau yang korup telah memusnahkan sistem
pendidikan dan ekonomi negaranya. Kata-kata Mr. Zack adalah sama sekali benar.
Tetapi itu bukan bermaksud mereka perlu menjadi pak turut dan menjadi hamba
pemerintah negara kepunyaan Mr. Zack.
“Jadi Mr. Zack, awak tidak akan tolong kami?”
“Ya. Keadaan tidak mengizinkan.”
“Awak mempersendakan persahabatan kita, Mr. Zack.”
“Itu tanggapan kamu. Saya tidak boleh
menafikan.”
“Baiklah, Mr. Zack. Awak dan kerajaan negara ini
tidak mahu berunding. Sudah bertahun rundingan ini tidak mendapat kata putus
seperti kami inginkan.”
“Minta maaf, Mr. Kavin. Saya tidak boleh buat
apa-apa. Kamu balik sajalah dan lalukan kerja guru kamu seperti manusia biasa di sana,” kata Mr.
Zack sambil tersenyum.
Kavin dan Mr. Zack masing-masing bangun dan
berjabat tangan.
“Ya, saya akan kembali melakukan tugas saya
seperti biasa. Tetapi awak jangan ingat saya dan para
aktivis kami akan diam. Kami akan bertindak dengan cara lain. Awak tunggu dan lihat!”
Mr. Zack melihat Kavin cepat-cepat beredar dari
situ dan menaiki tangga menuju ke biliknya.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.