Cerpen: Last Seen (Bahagian 2)


[Sambungan Bahagian Satu] Bapa Chee Keong pandai memasak sama seperti ibunya. Lebih-lebih lagi masakan udang dan kueh teow goreng. Jauh lebih sedap daripada apa yang dia pernah makan di kedai. Bapanya boleh sahaja membuka restoran. Tetapi tidak tahu mengapa, dia tidak berbuat demikian.

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Chee Keong sungguh manja dengan ibunya. Apa lauk yang dipinta, pasti akan dimasak. Sepanjang Chee Keong belajar di sekolah rendah, ibu suka menyuapkan nasi untuknya. Dia akan memastikan setiap suapan dengan sudu itu Chee Keong mengunyah betul-betul dan dihabiskan semua daripada mangkuk. Begitu juga dengan hidangan sup. Kebiasaannya Chee Keong tidak dapat menghabiskan dan akan membuat bising. Bapanya akan membebel melihat telatah kedua-anak beranak itu.

Walaupun ibu dan bapa Chee Keong menyayangi antara satu sama lain. Kadang-kadang mereka juga bertengkar. Pada hari-hari pertengakaran, Chee Keong tidak akan senang duduk di rumah. Dia dengan cepat-cepat akan mengambil basikal dan menuju ke taman bunga berhampiran untuk meredakan minda yang berserabut.

Chee Keong juga pernah jatuh cinta. Ketika itu dia baru menyertai studio foto dan menjadi penolong jurugambar. Gadis itu adalah adik kepada salah seorang pengantin perempuan yang beraksi di hadapan kamera jurugambar studio mereka.

Salah Chee Keong juga. Dia tidak sepatutnya terus mengajak gadis itu keluar minum. Dia dimarahi di hadapan semua orang oleh kedua-dua pasangan itu. Sejak itu Chee Keong amat berhati-berhati apabila bergaul dengan perempuan. Dan dia tidak menaruh minat untuk berumahtangga selepas insiden itu.

Dia sudah mengahwini kamera.

Ibu Chee Keong memahami situasi anaknya. Bapanya tidak. Dia sentiasa bising dengan keputusan anaknya. Dia akan menakut-nakutkan dengan mengatakan masa depan Chee Keong akan menjadi tanda tanya kerana dia tidak akan ada waris.

Beberapa tahun selepas itu, ibu Chee Keong pun meninggal dunia.

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Bapanya pula sentiasa menyalahkan Chee Keong, kerana dialah ibunya meninggal dunia pada usia tidak begitu tua. Bapanya kata ibunya selalu runsing akan masa depan Chee Keong.

Chee Keong dan bapanya sentiasa bertelagah pasal perkara ini. Bertelagah hari ini, keesokan hari mereka akan bercakap seperti biasa.

Ibu Chee Keong pun sudah lama meninggal dunia. Bapanya pula  masih risau tentang kedegilan Chee Keong yang tidak mahu berumahtangga. Tetapi Chee Keong langsung tidak berhasrat untuk itu.

Setiap hari atau selang beberapa hari, pasti bapanya akan berbual tentang ini melalui aplikasi WhatsApp.

“Umur kamu sekarang dah 37 tahun. Kamu bukannya budak kecil lagi, tahu?”

“Tahu, pa.”

“Saya pun mahu menimang cucu, Keong”

Sudah tentu Chee Keong tidak termakan dengan kata-kata itu.

“Takkanlah di tempat kamu bekerja tidak ada perempuan yang kamu berkenan?”

“Itu adalah tempat kerja, pa.”

“Saya pun tak tahu kamu ini anak zaman sekarang atau apa …”

早上好

GOOD MORNING

SELAMAT PAGI

Bapa Chee Keong juga sama seperti orang lain, setiap pagi dia akan menghantar mesej Selamat Pagi. Chee Keong pula tidak berminat langsung untuk menghantar atau untuk menerima mesej-mesej sebegini. Dia juga sudah menyekat beberapa orang daripada aplikasi WhatsApp kerana masih menghantar mesej sebegitu walaupun sudah dipinta jangan berbuat demikian. Begitu juga dalam grup-grup WhatsApp. Chee Keong dengan rela hati telah keluar dari grup-grup seperti itu.

Adakah dengan menghantar mesej Selamat Pagi, hari akan menjadi siang? Atau dengan menghantar mesej sedemikian baru seseorang itu akan sedar waktu sudah menjadi pagi?

Chee Keong tidak akan menjawab mesej Selamat Pagi bapanya. Sudah tentu tidak dapat menyekat bapanya bukan? Jika ada apa-apa perkara penting dia terus akan menelefonnya. Dia juga tidak gemar menulis dalam WhatsApp. Baginya itu adalah pembaziran masa.

Pagi itu pun seperti biasa sebelum keluar dari rumah, Chee Keong membuka aplikasi WhatsApp di telefonnya. Ada beberapa rakan baharu menghantar mesej Selamat Pagi. Dia perlu memberitahu prinsipnya kepada mereka nanti.

Bapanya akan menghantar mesej Selamat Pagi lebih awal lagi, iaitu pada jam 6 pagi. Tetapi pagi ini dia tidak menerima apa-apa mesej daripada bapanya lagi. Mungkin bapanya masih tidur, fikir Chee Keong. Ataupun mungkin dia sakit?

Chee Keong ke tempat penggambaran seperti biasa dan telah lupa perihal itu.

Ketika waktu makan tengah hari, sambil makan bersama rakan, dia meneliti semula aplikasi WhatsApp bapanya.

Sama seperti pagi tadi, ia menunjukkan - last seen yesterday at 22.35.

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

Ulasan