Fragmen Cerpen: Makhluk Asing di Gurun Gobi

Langit malam di Gurun Gobi bukan lagi seperti yang pernah dirakam dalam buku-buku Geografi abad ke-20. Atmosfera yang semakin nipis akibat perubahan iklim global menjadikan bintang-bintang kelihatan lebih tajam dan lebih kejam; seolah-olah mencucuk retina sesiapa yang berani mendongak terlalu lama.

Angin gurun berdesir seperti nafas makhluk purba, membawa butiran pasir yang halus, sekali gus menggesel kulit sehingga pedih seperti disiat dengan kuku menyerupai taring.

Di tengah kesunyian yang seakan-akan beku itu, tiba-tiba langit terbelah oleh cahaya yang tidak menyerupai meteor biasa. Ternyata ia bukan sekadar jalur api yang melintas, sebaliknya sebuah objek bercahaya yang berdenyut-denyut, seolah-olah memiliki ritma biologi.

Objek misteri itu jatuh tanpa bunyi letupan yang kuat. Ia bagaikan meluncur dengan selesa, memperlahankan geraknya sebelum menyentuh permukaan gurun, meninggalkan kesan lingkaran pasir yang terangkat dan berputar perlahan. Seperti mandala yang dilukis oleh tangan dewa-dewi dari kayangan.

Beberapa kilometer dari lokasi kejadian, sekumpulan nomad yang sedang berkhemah, terhenti daripada rutin malam mereka. Mereka sekelompok manusia keturunan purba pengembara Asia Tengah yang masih setia kepada tradisi hidup berpindah-randah seperti dahulu kala.

Seekor unta mengerang perlahan. Api unggun berkerlip tidak menentu. Seorang wanita tua bernama Sarnai menggenggam manik tasbih kayu yang diwarisi daripada nenek moyang. Bibirnya bergerak tanpa suara; mengucapkan doa yang tidak lagi dia ingat asal usul dan sumbernya.

Kumpulan nomad terbabit tidak terus menghampiri lokasi objek berkenaan terhempas. Dalam tradisi mereka, setiap fenomena luar biasa harus diperhatikan dari jauh terlebih dahulu. Seperti memerhati seekor ular yang mungkin berbisa.

Namun, rasa ingin tahu manusia—yang seringkali lebih kuat daripada rasa takut—akhirnya mengatasi segala pantang larang. Pada pagi berikutnya, ketika cahaya matahari mula membakar permukaan pasir, lima orang lelaki dan dua wanita bergerak perlahan menuju lokasi terbabit. Kaki mereka tenggelam sedikit demi sedikit ke dalam pasir yang masih hangat.

Apa yang mereka temui bukanlah serpihan objek seperti kapal angkasa dalam filem-filem lama. Sebaliknya, sesuatu yang lebih organik; lebih asing.

Objek itu menyerupai kepompong raksasa, berwarna keperakan tetapi bertekstur seperti kulit lembap. Ia berdenyut dengan cahaya kebiruan yang mengalir di bawah permukaan seperti urat-urat halus.

Apabila salah seorang lelaki, Batsaikhan, menghulurkan tangan untuk menyentuh, kepompong itu bergetar, lalu terbelah perlahan-lahan. Segera pula membuka dirinya seperti bunga bindweed yang sedang mekar dalam gerakan yang agak perlahan.

Dari dalamnya pula muncul makhluk yang tidak dapat dikategorikan dalam mana-mana taksonomi biologi Bumi. Tubuhnya tidak simetri seperti manusia atau haiwan yang dikenali. Ia memiliki tiga segmen utama yang bersambung secara fleksibel.

Setiap segmen dilitupi membran lutsinar yang memperlihatkan struktur dalaman yang sentiasa berubah—seperti organ yang belum selesai berevolusi. Tiada mata dalam erti kata konvensional. Sebaliknya, terdapat beberapa ketulan kecil bercahaya yang berfungsi sebagai pusat deria. Tiada mulut yang jelas tetapi terdapat celah yang boleh membuka dan menutup, lalu menghasilkan bunyi yang pada mulanya hanya kedengaran seperti getaran udara.

Selepas beberapa minit, getaran itu mula membentuk pola. Bunyi berkenaan menjadi lebih teratur; lebih hampir kepada bahasa. Dan kemudian, sesuatu yang mustahil berlaku—makhluk itu “bercakap” seperti manusia.

“Jangan … takut.”

Bunyi itu muncul dalam sebutan yang kurang tepat tetapi cukup jelas untuk difahami. Seolah-olah makhluk itu memintas proses pembelajaran linguistik biasa dan terus menyerap struktur asas komunikasi manusia.

“Saya … tidak mahu … mencederakan,” katanya lagi.

Sarnai melangkah ke hadapan walaupun lututnya menggigil. Dalam budaya mereka, tetamu—walaupun dari dunia lain—tidak boleh dihalau tanpa diberi peluang untuk menjelaskan niat.

“Siapa kamu?” tanya Sarnai, suaranya serak tetapi tegas.

Makhluk itu bergetar, lalu cahaya di bawah membran berubah warna daripada biru kepada kehijauan.

“Saya … berasal dari … kolektif … jauh. ... Nama … tidak penting. ... Saya … terpisah. ... Saya … perlukan perlindungan.”

Perkataan “perlindungan” tergantung di udara seperti rayuan penuh mengharap. Mereka saling berpandangan. Dalam dunia yang semakin menekan, di mana sumber semakin berkurang dan manusia semakin mencurigai satu sama lain, permintaan seperti itu sepatutnya ditolak.

Namun, ada sesuatu dalam cara makhluk itu bergetar—sejenis kerentanan yang tidak dapat dipalsukan—yang menyentuh jiwa manusia: Keinginan untuk melindungi makhluk yang lemah.

Mereka sepakat menamakan makhluk itu “Aruvan”, gabungan kata purba yang bermaksud “yang datang tanpa bentuk tetap”. Aruvan dibawa ke khemah mereka, lalu disembunyikan daripada pandangan luar.

Selama beberapa hari, ia menunjukkan tingkah laku yang hampir keanak-anakan: Memerhati setiap pergerakan manusia dengan penuh minat, meniru bunyi, bahkan cuba meniru ekspresi wajah—walaupun ia tidak memiliki wajah dalam erti kata sebenar.

Ia ternyata belajar dengan pantas. Malah, terlalu pantas. Dalam masa seminggu, ia sudah mampu bertutur dalam bahasa mereka dengan amat lancar walaupun tatabahasa kadang-kadang masih janggal.

“Bumi … indah,” katanya pada suatu malam ketika mereka duduk mengelilingi api unggun. “Banyak … variasi. ... Banyak … kehidupan.”

Sarnai tersenyum, walaupun ada kegusaran yang tidak dapat diungkapkan.

“Jika begitu, kamu boleh tinggal bersama kami. Tetapi kamu harus hidup seperti kami. Tidak menyakiti sesiapa.”

Aruvan bergetar perlahan. Warna di dalam tubuhnya menjadi lebih hangat.

“Saya … berjanji.”

Malangnya, janji itu, sepertimana kebanyakan janji dalam sejarah manusia, tidak bertahan lama.

Perubahan bermula dengan hal-hal kecil. Aruvan mula mengasingkan diri pada waktu-waktu tertentu; bergerak jauh ke dalam gurun tanpa penjelasan. ... bersambung

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi. Baca biodata penuh]

Ulasan