Akhbar Berita Harian
diterbitkan mulai 1 Julai 1957 dan dikenali sebagai “Straits Times Naskhah Rumi”.
Malah, dalam keluaran sulung, dinyatakan:
“Berita Harian ialah naskhah Rumi bagi akhbar kebangsaan Malaya, dan
penerbitannya ialah suatu kemajuan yang cemerlang dalam sejarah kewartawanan
Malaya.”
Kita perlu ingat bahawa akhbar ini mula terbit sebelum
tarikh kemerdekaan Tanah Melayu (31 Ogos 1957). Maka, istilah “Malaya” dan “Malayan”
digunakan.
“Berita Harian ialah sebuah surat khabar Malayan dan bahasa Melayu
hanyalah sebagai alat penyuaraannya, sama seperti Straits Times ialah sebuah surat khabar Malayan, dan bahasa
perantaraannya ialah bahasa Inggeris.”
Usaha menggantikan tulisan Jawi dengan Rumi bagi bahasa Melayu digerakkan dengan penuh tegas
dan gigih oleh sekumpulan sasterawan dan wartawan Melayu, khususnya menerusi Angkatan
Sasterawan 1950 (ASAS 50) – perincian boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).
“Perihal Berita Harian diterbitkan dengan huruf Rumi, tidak dengan huruf
Jawi, adalah menjadi suatu kemudahan khas bagi orang-orang yang bukan Melayu.” –
Berita Harian, 1 Julai 1957
Selama beberapa tahun, akhbar Berita Harian hanya terbit dari Isnin hingga Sabtu. Edisi Ahad yang
dikenali sebagai Berita Minggu terbit
mulai 10 Julai 1960, maka bermulalah juga ruangan cerpen (cerita pendek) menerusi
“Cherpen Minggu Ini”.
Saya membaca kesemua 24 buah cerpen yang tersiar di Berita Minggu dari 10 Julai hingga 25
Disember 1960. Antara penulis yang cerpennya tersiar dalam tempoh itu ialah Alias
Ali, Wijaya Mala (Abu Yazid Abidin), Hassan Ali, Salmi Manja (Saleha Abdul
Rashid), Shahnon Ahmad, Mustapha Ma’arof, Malungun (Amir Hamzah Shamsuddin), M.
Pathy (Mokhtar Petah), Ajikik (Ismail Ahmad), Anis Sabirin, dan Isma Mesra
(Ismail Ibrahim).
Agak menarik, pada keluaran kedua (17 Julai 1960), cerpen
bertajuk “Anak” oleh Prem Chand (Dhanpat Rai Srivastava) disiarkan.
Ia merupakan terjemahan daripada cerpen bahasa Hindi yang diambil daripada
majalah March of India (Februari 1960).
Cerpen oleh pengarang terkenal dari India itu mula-mula
diisiarkan dengan tajuk “Balak” di
majalah Hans (April 1933). Tidak
didedahkan nama penterjemah atau rasional cerpen berkenaan dipilih untuk
disiarkan di Berita Minggu.
Saya menemui dua cerpen yang mengetengahkan watak kaum India, walaupun tidak semestinya
sebagai watak utama. Sebuah cerpen itu akan diperkatakan di sini.
Cerpen “Pengemis Terhormat” oleh Karya Dharma tersiar pada 2
Oktober 1960. Tidak diketahui siapakah penulis yang menggunakan nama samaran
itu. Sebuah lagi cerpen bertajuk “Orang Gagah” oleh penulis ini menang hadiah dalam
peraduan cerita pendek mingguan dan disiarkan di Berita Harian (3 November 1960).
Cerpen “Pengemis Terhormat” bermula dengan gambaran watak lelaki
India seperti berikut:
Umur orang India itu kukira tidak
lebih daripada enam puluh tahun. Tetapi kelihatannya sudah uzur sekali.
Orangnya kurus tinggi, agak bongkok sedikit. Dia pakai celana khaki, stoking
panjang dan sepatu kanvas putih; berbaju kot warna coklat butang di tengah dan
sudah usang.
Agak menarik kerana watak kaum India dalam cerpen oleh
penulis Melayu biasanya digambarkan sebagai kuli atau pekerja estet yang berstatus
amat rendah. Maka, usaha Karya Dharma wajar dipuji kerana mampu mengetengahkan
kaum India yang sedikit berpendidikan dan berpenampilan baik secara fizikal.
Watak lelaki India itu mengucapkan “Selamat pagi” dalam
bahasa Inggeris kepada watak “Aku” – seorang wanita yang menjadi pecerita dalam
cerpen ini. Lelaki itu digambarkan penuh adab dan sopan tutur kata. Malah,
watak “Aku” merujuk kepada lelaki itu dengan gelaran “Tuan”.
Dia menghulurkan sehelai kertas berupa risalah bertulis
bahasa Inggeris. Watak “Aku” serba salah kerana tidak pandai membaca bahasa
Inggeris; lantas pura-pura sibuk dan tiada masa untuk membaca surat atau
risalah berkenaan.
Pada masa itu, watak Osman yang baru selesai mandi pun
keluar. Osman melihat ada tetamu dan bertanya kepada kakaknya, “Mengapa tidak
ajak dia masuk.” Hal ini menunjukkan, watak kaum India itu tidak dipandang hina
sehingga tidak layak dijemput masuk ke rumah.
Selepas membaca surat yang dihulurkan lelaki India itu,
Osman memberitahu kakaknya: “Dia minta duit, Kak. … Dia minta sedekah.” Saya
agak terkejut juga kerana tidak menyangka surat atau risalah yang dibawa
bertujuan meminta derma atau sedekah.
Namun begitu, Osman masih bercakap penuh sopan dan hormat
kepada lelaki berkenaan. “Siapa nama tuan?” Osman bertanya. Lelaki itu
memperkenalkan dirinya sebagai Ponnusamy. Osman menjemput Ponnusamy masuk ke
dalam rumah.
Watak “Aku” dalam naratifnya merujuk kepada watak lelaki
India itu sebagai “Tuan Ponnusamy”, “Mr. Ponnusamy”, dan “tetamu”. Perkara ini menunjukkan
Ponnusamy diberi penghormatan walaupun ternyata datang meminta sedekah atau
mengemis secara terhormat. (Bersambung
pada 3 Februari 2026)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.