Esei: Watak Ponnusamy dalam Cerpen pada Oktober 1960 (Bahagian 2)

(Sambungan daripada Bahagian Satu) Apabila masuk ke dalam rumah, Ponnusamy duduk bersandar dengan tenang dan selesa di kerusi panjang. Watak “Aku” pula segera ke dapur untuk membancuh kopi  dan membuat roti bakar untuk Osman dan Ponnusamy. Kedua-dua lelaki itu pula berbual rancak dan mesra. Sesekali kedengaran Osman ketawa terbahak-bahak. Ponnusamy pula kelihatan menghisap rokok yang diberi oleh Osman.

Gambaran ini amat menarik kerana keluarga Melayu (Osman dan kakaknya) menerima kunjungan Ponnusamy yang sebenarnya datang untuk meminta wang (sedekah); melayannya sebagai tetamu yang setaraf walaupun berlainan kaum dan agama. Saya membayangkan ada mesej tersirat berkaitan hubungan kaum Melayu dan India (pendatang).

Osman memuji kebijaksanaan Ponnusamy: “Tuan seorang ahli falsafah juga.” Lalu lelaki India itu menjelaskan:

“Bukan ahli falsafah, Encik Osman. Saya pernah bergurukan Tagore. Saya terdidik untuk merendah diri. Apabila kita merendah diri, kita tidak sahaja dapat menguasai diri kita sendiri—nafsu kita, keinginan kita, jiwa kita, perasaan kita—tetapi juga kita dapat menguasai orang lain.”

Osman bersetuju, dan menambah: “Kalau dunia banyak mempunyai orang seperti tuan, saya percaya hidup kita tidak akan penuh dengan sengketa.”

Selepas lama berbual-bual, Ponnusamy meminta diri untuk pulang. Apabila ditanya kemudian oleh “Aku” (kakak), Osman memberitahu bahawa dia memberi lima ringgit kepada Ponnusamy.

Pada akhir bulan, Ponnusamy datang semula ke rumah berkenaan pada waktu pagi. Pakaian dan penampilan dirinya digambarkan masih sama. Osman menyambut kedatangannya dengan gembira. Watak “Aku” menggambarkan begini:

“Mereka berbual terus. … Dan sambil berbual, mereka makan seperti dua orang sahabat layaknya, diselang-seli dengan ketawa Mr. Ponnusamy yang panjang – Ha … ha … ha … ha – dan ketawa Osman yang sudah lama kukenal itu – seperti orang gila babi.”

Pada pukul 9.00 pagi, Osman terpaksa pergi kerja. Dia meminta Ponnusamy terus duduk dan membaca akhbar di rumahnya. Tambahan pula, bapa kepada Osman juga ada di rumah pada waktu itu.

Si bapa dan Ponnusamy kurang berbual kerana walaupun mereka sebaya, dia tidak begitu fasih berbahasa Melayu. Maka, kita dapat mengagak kemungkinan perbualan Osman dan Ponnusamy lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Kemudian, selepas si bapa yang sudah pencen itu “pergi ke kelab”, Malek iaitu adik bongsu kepada “Aku” dan Osman diminta menemani Ponnusamy. Malek pula menolak kerana mahu memotong rumput yang sudah panjang di belakang rumah. Ponnusamy pula masih khusyuk membaca majalah.

Pada waktu itu, muncul seorang lelaki Cina tua yang biasa datang pada hujung bulan; mengambil upah seringgit untuk memotong rumput. Pada kali ini, dia meminta upah lebih pula.

Semasa berlangsung perbualan antara “Aku” dan lelaki Cina yang meminta upah lebih tinggi, Ponnusamy tiba-tiba datang dan memberitahu wanita itu: “Jangan beralah, Nyonya. Satu ringgit sudah patut.”

Ponnusamy juga “mengherdik Apek itu” dan menegaskan, upah seringgit sudah mencukupi untuk kerja memotong rumput. Kemudian, dia menasihati “Aku” pula:

“Nyonya … jangan bayar lebih. Orang-orang seperti ini suka mempermainkan orang-orang seperti Nyonya. Satu ringgit sudah patut. Gaji kuli pun sekarang satu ringgit setengah sahaja.”

Lelaki Cina itu tidak mampu berbalah dengan Ponnusamy. Dia pula bercerita lagi dan kita mendapat sedikit lagi maklumat tentang dirinya:

“Saya biasa menjadi kerani besar, Nyonya, menjaga beratus-ratus orang kuli. Hanya sekarang saya terpaksa hidup seperti ini, meminta ihsan orang-orang seperti Encik Osman dan Nyonya. Tetapi saya tidak pernah menipu seperti orang-orang ini. Mereka menjual keringat mereka, tetapi mereka menjualnya dengan harga yang tidak wajar.”

Dua perkara menarik dapat diperhatikan. Pertama, Ponnusamy pernah memegang jawatan kerani besar. Dalam cerpen dan novel Tamil tempatan, watak kerani biasanya keturunan Malayali serta diberi gambaran negatif; kononnya menindas kuli dan pekerja keturunan Tamil di ladang getah. Topik ini ada dihurai menerusi rencana “Malayali Dalam Cerpen Tamil” (Utusan Malaysia, 24 Jun 2023).

Melalui penelitian terhadap cerpen pengarang Melayu sejak sebelum Perang Dunia Kedua, saya menegaskan di akhbar Utusan Malaysia (10 Februari 2024) hakikat penulis kaum Melayu masih gagal mengangkat realiti hidup kaum Cina dalam karya. Itulah perkara kedua yang menarik perhatian saya tentang watak lelaki Cina dalam cerpen “Pengemis Terhormat” tulisan Karya Dharma.

Walaupun watak Melayu dan India digambarkan sebagai sahabat yang mesra dan hidup harmoni, watak kaum Cina pula diberi imej negatif. Penulis dengan bijak memanipulasi watak kaum India (Ponnusamy) untuk menggambarkan kejahatan dan sikap negatif kaum Cina.

Timbul pertanyaan: Adakah seorang “pengemis terhormat” seperti Ponnusamy lebih mulia dan wajar dihormati sebagai tetamu di rumah – berbanding seorang “lelaki Cina tua” yang meminta upah bagi melakukan kerja memotong rumput? Renungkan makna tersirat di sebalik kisah tersurat.

Dan bagaimana pula apabila watak India-Hindu dijanjikan “hidup bahagia di dunia dan akhirat” jika masuk Islam? Nantikan esei berkaitan sebuah cerpen yang tersiar di Berita Minggu pada Disember 1960.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan