Ulasan: Bahasa yang Hilang

Cerpen “Pelenyapan” karya M. Mahendran disiarkan dalam dua bahagian di portal Sastera Kavyan iaitu pada 2 dan 6 Januari 2026. Fiksyen ini ditulis dalam bentuk dialog dramatik yang menyoal dan mencabar politik linguistik, sejarah identiti, dan warisan bahasa.

Watak utama, Kavin, merupakan seorang pejuang bahasa yang cuba menuntut kembali bahasa dan tulisan asal tanah airnya daripada seorang wakil negara dominan, Mr. Zack.

Ketegangan utama cerpen wujud apabila Kavin terpaksa berhadapan dengan realiti pahit bahawa bahasa nenek moyangnya telah lenyap akibat peraturan sejarah dan dominasi kuasa politik yang menghapuskan sistem bahasa asal masyarakat.

Menerusi dialog antara Kavin dan Mr. Zack, M. Mahendran menggambarkan bagaimana kuasa hegemoni mengangkat dominasi linguistik dan bagaimana individu yang mempertahankan warisan bahasa ibunda dilabel sebagai tidak relevan kepada arus “kemodenan”.

Cerpen “Pelenyapan” berakar daripada konflik bahasa sebagai simbol kuasa, di mana Mr. Zack mewakili institusi yang menegaskan bahawa bahasa masa kini — yang telah digubal semula secara berperingkat — adalah “bahasa rasmi negara” sementara bahasa lagenda nenek moyang menjadi mitos yang tidak praktikal untuk dibangkitkan semula.

Perdebatan antara Kavin dan Mr. Zack menyentuh perihal sejarah kehilangan bahasa; ia bukan sekadar kealpaan generasi terdahulu tetapi juga kegagalan struktur pendidikan dan sistem politik yang “memakan diri” sehingga bahasa asal terkubur bersama-sama memori silam.

M. Mahendran menggunakan naratif ini untuk menggarap persoalan besar tentang bahasa, identiti, dan penindasan—yang tidak sekadar berlaku di alam fiksyen tetapi juga boleh dirujuk dalam konteks sejarah sebenar rakyat dunia yang kehilangan bahasa asal mereka akibat penjajahan, penaklukan kuasa besar, atau dasar homogenisasi nasional.

Kekuatan cerpen ini terletak pada simbolisme. Watak Kavin bukan sekadar protagonis biasa, sebaliknya mewakili pejuang linguistik, satu simbol kegigihan. Kavin menyebabkan kita sebagai pembaca mula bertanya kepada diri sendiri: adakah bahasa itu sekadar alat komunikasi atau nadi budaya yang menuntut hak-hak kewujudannya?

Sementara itu, watak Mr. Zack pula adalah penjulang kuasa institusi yang berusaha mempertahankan status quo—segala perubahan bahasa digambarkan sebagai usaha disokong oleh undang-undang dan “kemajuan” politik.

Simbolisme paling tajam ialah konsep “lembaran sejarah yang digubal dan digubal semula”—yang merujuk kepada bagaimana bahasa boleh dirombak oleh kuasa majoriti sehingga lapisan asalnya hilang. Ini memberi gambaran bahawa bahasa bukan sekadar struktur linguistik tetapi juga dokumen sejarah yang mencatat perjalanan sebuah bangsa.

Cerpen ini lebih banyak menggunakan struktur dialog, berbanding penggunaan naratif deskriptif panjang, untuk mencipta ketegangan intelektual yang mendalam di mana pembaca dirangsang untuk mendengar suara kedua-dua pihak.

Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang berasal daripada Bhasa Jiva Vamsa (Sanskrit) tidak sekadar keluar daripada realiti estetik semata-mata. Sebaliknya ia adalah simbol linguistik dan antropologi yang mendasari dialog cerpen ini.

Kita perlu memahami hakikat bahasa sebagai sebuah sumber dan perakam nilai, sejarah, pengalaman kolektif, dan cara berfikir sesuatu masyarakat. Apabila bahasa hilang, apa yang lenyap bukan sahaja perkataan tetapi juga cara berfikir dan watak sejarah sesebuah komuniti. Bertepatan dengan pepatah “hilang bahasa, hilanglah bangsa” yang sering diulang dalam diskusi budaya dan sosiolinguistik.

Dalam cerpen “Pelanyapan”, watak Kavin menolak retorik bahawa bahasa lama hanya nostalgia. Sebaliknya, dia dengan berani menegaskan bahawa ia adalah hak warisan nenek moyang — bukan bahasa kolonial mahupun bahasa golongan majoriti yang kini menindas. Babak ini mencerminkan pemikiran bahawa kehilangan bahasa ibunda ialah petanda kehilangan sekali gus aspek sejarah, rasa, dan daya tafsir kehidupan yang unik bagi komuniti terbabit.

Walaupun cerpen ini bersifat alegori, konteksnya boleh dibaca dalam kehidupan masyarakat dunia sebenar — termasuk di Malaysia di mana terdapat pelbagai bahasa ibunda selain bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dalam konteks Malaysia, mempertahankan bahasa ibunda setiap komuniti sebenarnya bukan sekadar soal sentimental — ia adalah tanggungjawab untuk menjaga kekayaan identiti budaya dan intelektual di samping menguasai dan menghormati bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.

Pada penelitian saya, cerpen “Pelenyapan” oleh M. Mahendran secara halus mengingatkan kita bahawa penguasaan bahasa kebangsaan mesti seiring dengan penghormatan kepada bahasa ibunda. Identiti kita tidak ditentukan oleh satu bahasa yang tunggal. Ini adalah mesej kuat di tengah-tengah debat di pelbagai tempat di seluruh dunia mengenai linguistic justice (keadilan linguistik) dan plurilingualism (multibahasa).

Cerpen “Pelenyapan” adalah sebuah karya ringkas tetapi tajam, yang menggunakan gaya naratif perdebatan untuk membawa pembaca merenung kembali hubungan kita dengan bahasa, sejarah, dan kuasa. M. Mahendran secara simbolik berjaya menunjukkan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi—ia adalah wadah jiwa yang perlu dipertahankan.

Sesungguhnya cerpen ini menyeru pembaca untuk tidak membiarkan sejarah linguistik terkubur, selain mengingatkan pembaca: Jika kita mahu memiliki masa depan yang kukuh berakar, kita perlu menjaga akar-akar bahasa asal kita selain menyanjung bahasa kebangsaan yang menjadi identiti kebangsaan.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Tulisannya boleh juga dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

Ulasan