Semasa di sekolah rendah saya pernah mengumpul
setem. Apabila saya mula menulis perkongsian ini saya membuat sedikit pencarian
dan mengetahui bahawa pengumpul setem dikenali sebagai ahli filateli.
Pengumpulan setem pula dipanggil filateli. Aktiviti ini juga merangkumi
pengumpulan sampul surat hari pertama dan dokumen bersejarah mengenai setem.
Sampul surat hari pertama dikeluarkan apabila
setem baharu diwujudkan untuk pasaran. Setiap jenis setem yang berkaitan dengan
tema berkenaan akan ada di dalam sampul surat hari pertama. Sampul surat hari
pertama perlu dibeli dengan segera sebelum stoknya habis. Saya pernah meminta
bantuan rakan-rakan untuk membelikan sampul tersebut.
Pada masa sekarang iaitu zaman pembelian dalam
talian, saya dapati setem dan sampul surat hari pertama boleh dipesan secara
dalam talian. Malah, setem juga boleh ditempah mengikut citarasa sendiri.
Mengumpul setem merupakan satu hobi yang
menarik. Setem boleh dikumpul mengikut negara, tokoh, pemimpin, bangunan,
permainan, flora dan fauna. Ada juga setem yang dikeluarkan untuk acara-acara
tertentu seperti sambutan ulang tahun, tahun melawat sesebuah negara atau
perkara-perkara menarik seperti bola sepak piala dunia dan sukan olimpik.
Saya pernah ‘bergaduh’ dengan adik saya untuk
mendapatkan setem. Kami berlumba-lumba untuk menambah bilangan setem yang kami
ada dan kami sentiasa mengemaskini album setem kami.
Saya kurang pasti sejak bila saya mula
mengumpul setem. Yang pasti, saya masih menyimpan album setem tersebut. Koleksi
setem dalam album itulah membuatkan saya untuk menulis mengenai pengumpulan
setem. Walaupun koleksi saya tidak begitu banyak, saya sangat menghargai hobi
mengumpul setem ini.
Saya belajar banyak perkara melalui setem. Saya
mengenali negara-negara di dunia ini dengan mendapatkan setem-setem daripada
ahli keluarga dan juga rakan-rakan. Ada ketika, saya dan rakan-rakan pernah
bertukar-tukar setem. Sekiranya ada dua atau lebih setem yang sama, kami akan
bertukar-tukar setem.
Saya juga pernah mendapatkan setem daripada
rakan pena saya dari luar negara. Saya berkenalan dengan rakan pena dan
berutusan melalui aerogram. Saya pernah mempunyai dua rakan pena – seorang dari
Denmark dan seorang lagi dari United Kingdom. Aerogram yang dihantar mengambil
masa tiga atau empat minggu untuk sampai kepada rakan pena dan balasan
daripadanya mengambil masa yang lama. Namun begitu, apabila menerima surat atas
nama sendiri adalah sesuatu yang menyeronokkan.
Melalui pengumpulan setem saya mempelajari
banyak perkara mengenai sesebuah negara. Saya mengenali negara tersebut dan
saya mengetahui ibu negaranya. Pada masa dulu, buku-buku sejarah dan
ensiklopedia banyak membantu dalam pencarian maklumat dan fakta. Saya mula
mengenali ramai tokoh sejarah melalui pengumpulan setem dan pembacaan lanjut
mengenai mereka.
Setem juga mengajar saya latar belakang
sesebuah negara. Saya banyak mengenali haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan
melihatnya pada setem. Ini membuatkan saya untuk terus mencari dan membaca
mengenai perkara baharu.
Pada tahun 90-an, ada satu ruangan dalam akhbar
The Sunday Star yang menyiarkan maklumat mengenai setem. Saya mengikuti ruangan
tersebut dan mula belajar cara-cara penjagaan setem. Saya kurang pasti nama
penulis ruangan tersebut.
Persatuan Filateli Malaysia (PSM) sering
menganjurkan pameran dan perjumpaan pengumpul setem di sekitar Lembah Klang dan
mereka juga mempunyai Facebook yang mempromosikan pengeluaran setem baharu.
Nampaknya, hobi mengumpul setem belum pupus dan
masih wujud. Malah ada sekolah yang mempunyai Kelab Pengumpul Setem yang
memberi peluang kepada murid-murid untuk terus mengenali dan belajar melalui
setem.
Mahu
mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Anuradha
Chelliah berasal dari
Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat
pengiktirafan daripada Sakthi School of
Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling
Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya
Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika
dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]





