Pengalaman: Saya Akan Terus Menulis Tentang Agama Hindu

Sejak sekian lama, ada pihak gemar melabel saya sebagai individu yang kononnya cuba "menyebarkan agama Hindu" menerusi karya Bahasa Malaysia. Tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah memperlihatkan betapa mudahnya sebahagian masyarakat menyamakan pengetahuan dengan dakwah, serta menyamakan pengenalan budaya dengan usaha mempengaruhi pegangan agama seseorang.

Saya masih ingat bagaimana pada September 2012, keputusan penyiaran cerpen “Chitra Paurnami” dibatalkan secara tiba-tiba atas alasan mengandungi "unsur penyebaran agama Hindu". Ironinya, individu yang membuat tuduhan itu gagal membezakan antara karya sastera yang memaparkan latar budaya dengan bahan yang bertujuan mengajak orang memeluk sesuatu agama.

Saya memilih untuk tidak berdiam diri kerana saya sedar bahawa jika tuduhan seperti itu diterima bulat-bulat, maka lebih ramai penulis daripada kelompok minoriti akan menjadi mangsa pada masa hadapan.

Saya sentiasa berpegang pada konsep "satu bahasa, pelbagai budaya". Bahasa Malaysia bukan milik mana-mana kaum atau agama. Bahasa kebangsaan merupakan wadah dan wahana untuk menceritakan seluruh wajah Malaysia.

Jika kita boleh menulis tentang budaya Melayu, budaya Cina, budaya Orang Asli, budaya Iban, dan Kadazandusun dalam Bahasa Malaysia, mengapa budaya serta agama masyarakat India perlu dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar diperkatakan?

Saya menulis supaya pembaca mengenali, memahami, dan menghormati kepelbagaian yang memang wujud di negara ini. Saya percaya bahawa seseorang tidak akan kehilangan pegangan agama hanya kerana membaca tentang agama lain. Sebaliknya, ilmu akan melahirkan kefahaman, manakala kefahaman akan mengurangkan prasangka.

Apa yang menarik ialah ramai rakan pelbagai kaum dan agama tampil mempertahankan karya-karya saya apabila tuduhan itu dilemparkan. Mereka mengakui karya saya membantu mereka memahami budaya masyarakat India dan agama Hindu dengan lebih baik.

Ada ibu bapa beragama Islam yang membenarkan anak-anak mereka membaca karya saya kerana yakin pengetahuan tentang agama-agama lain akan memupuk rasa hormat, bukannya menggugat akidah. Pandangan seperti ini memberikan kekuatan kepada saya untuk terus berkarya.

Saya juga sering mengingatkan hakikat agama Hindu bukan milik bahasa tertentu. Dahulu, banyak teks Hindu ditulis dalam bahasa Sanskrit. Kemudian, ilmu yang sama diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil, Hindi, Malayalam, Kannada, Telugu, Bengali, Inggeris, dan pelbagai bahasa lain.

Mengapa Bahasa Malaysia perlu dikecualikan? Adakah ilmu tentang agama Hindu hanya boleh dibaca oleh mereka yang memahami bahasa-bahasa tertentu? Bukankah lebih baik maklumat yang sahih disediakan dalam Bahasa Malaysia supaya masyarakat pelbagai kaum dapat memperoleh kefahaman yang tepat, bukannya bergantung pada khabar angin atau stereotaip.

Saya percaya bahawa perpaduan tidak lahir melalui slogan. Perpaduan dibina apabila kita berani mengenali satu sama lain. Malangnya, ada pihak yang lebih selesa membina tembok daripada jambatan. Mereka melihat setiap rujukan kepada dewa-dewi Hindu sebagai ancaman, sedangkan dalam karya sastera, unsur agama hanyalah sebahagian daripada identiti watak dan masyarakat yang dipaparkan.

Sejak kecil, saya membaca karya Bahasa Malaysia yang rata-rata pula ditulis pengarang Melayu-Islam. Kalau watak Melayu boleh bercakap tentang masjid, azan, dan doa, mengapa watak kaum India-Hindu tidak boleh bercakap tentang kuil, Deepavali, atau Bhagavad Gita? Bukankah itulah realiti Malaysia dan tidak juga bertentangan dengan hak yang dijamin Perlembagaan.

Pengalaman dituduh menyebarkan agama Hindu tidak pernah mematahkan semangat saya. Sebaliknya, pengalaman itulah yang mengajar saya bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Selagi masih ada masyarakat yang takut kepada ilmu, selagi itulah penulis perlu terus menulis. Selagi masih ada pihak yang menganggap bahasa kebangsaan hanya layak membawa suara satu kelompok, selagi itulah saya akan terus menggunakan Bahasa Malaysia untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya, kepercayaan, dan pemikiran yang menjadi sebahagian daripada identiti negara ini.

Saya tidak mengharapkan semua orang bersetuju dengan apa yang saya tulis. Saya hanya mengharapkan setiap karya dibaca dengan fikiran yang terbuka dan dinilai secara adil. Sastera kebangsaan bukan medan menyebarkan kebencian, sebaliknya ruang untuk mempertemukan manusia dengan pengalaman hidup yang berbeza. Apabila pembaca mengenali kehidupan orang lain menerusi karya sastera, mereka sebenarnya sedang belajar menjadi manusia yang lebih budiman.

Atas sebab itulah saya akan terus menulis tentang agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. Bukan untuk mengubah agama sesiapa, sebaliknya untuk memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan, memperkukuh semangat saling memahami, dan membuktikan bahawa Bahasa Malaysia benar-benar mampu menjadi bahasa bagi semua rakyat Malaysia.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]