Esei: Eee! Lalat …

Salah satu serangga yang kita semua benci adalah lalat. Apabila melihat lalat, kita pasti akan menghalaunya. Lalat suka duduk di atas makanan yang sudah dihidang dan juga makanan yang belum dimasak. Lalat juga suka berada di tempat-tempat yang kurang bersih. Ia boleh dilihat di serata tempat. Malah, ada musim-musim tertentu di mana populasi lalat boleh dilihat dengan banyak di merata tempat.

Lalat merupakan serangga yang boleh terbang dengan laju. Kelajuan lalat adalah yang terpantas dalam kalangan serangga. Ada spesies lalat yang boleh terbang dengan kelajuan 7.2 kilometer per jam.

Jangka hayat seekor lalat adalah dari 25 hingga 30 hari. Lalat betina boleh bertelur dari 500 hingga 2000 biji sepanjang hayatnya. Telurnya menetas dalam masa sehari. Ia menjadi lalat dewasa dalam masa 15 hari. Itulah sebabnya bilangan lalat terlalu banyak dalam dunia ini.

Adalah sukar untuk manusia memukul atau membunuh lalat kerana lalat mempunyai lebih 4000 mata kecil yang dikenali sebagai ommatidia. Ini membolehkan lalat mempunyai penglihatan yang luas. Jadi, sebelum anda mencapai sesuatu untuk memukulnya, ia akan terbang. Ia boleh melihat ke semua arah termasuk di belakang.

Lalat tidak mempunyai gigi. Jadi, lalat akan mengelurakan sejenis enzim untuk mencairkan makanan pejal sebelum menyedutnya kembali. Dalam erti kata lain, lalat akan makan muntahnya sendiri.

Jenis-jenis Lalat

· Lalat rumah atau Musca domestica adalah yang biasanya dijumpai di rumah dan dikenali sebagai lalat. Ia suka tempat yang kotor dan sampah. Lalat ini adalah pembawa penyakit.

· Lalat bunga membantu dalam proses pendebungaan. Ia tergolong dalam keluarga Syrphidae dan sering dilihat pada bunga.

· Lalat buah tergolong dalam keluarga Tephritidae. Ia juga dikenali dengan nama Drosophila Melanogaster atau Bactrocera. Lalat ini kecil dan suka buah masam atau rosak. Ia juga menjadi perosak hasil pertanian. Lalat ini memberikan impak yang besar kepada industri buah-buahan dengan menjadi perosak tanaman.

· Lalat askar hitam juga dikenali sebagai Hermetia illucens. Lalat ini berwarna hitam seperti Namanya dan tidak mengganggu manusia. Larvanya digunakan untuk mengurus sisa dan makanan haiwan.

· Lalat hijau ialah jenis lalat berukuran lebih besar dengan mata berwarna merah dan memiliki sayap lutsinar.  Tubuhnya berwarna metalik kehijauan. Lalat ini juga merupakan pembawa penyakit.

· Lalat tsetse ialah lalat yang menghisap darah manusia dan haiwan. Lalat ini berasal dari Afrika dan boleh menyebabkan penyakit tidur. Ia boleh menggigit manusia dan haiwan lain. Jangkitan ini menyerang sistem saraf pusat dalam dua fasa. Pada fasa pertama, parasit akan beredar dalam darah dan sistem limfa, menyebabkan demam, sakit kepala, dan sakit otot. Pada fasa kedua pula, parasit menyerang sistem saraf pusat yang mengakibatkan perubahan personaliti, kekeliruan, gangguan tidur yang teruk, dan koma

Penghindaran Lalat

Lalat boleh dihindari melalai beberapa cara. Walaupun sukar untuk menghalau lalat, tanggungjawab menjaga kebersihan terletak di tangan masing-masing. Kita harus melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia beretika. Jangan biarkan sisa makanan terbiar. Buang sisa makanan dengan memasukkannya ke dalam plastik dan ikat. Tong sampah harus ditutup dan basuh tong sampah setiap kali sampah dibuang.

Pastikan makanan yang dihidang ditutup. Lap meja makan setiap kali selesai makan. Bukan sahaja meja makan, malah dapur juga harus dilap. Sinki dapur juga harus bersih. Jangan biarkan sinki dapur dipenuhi pinggan, mangkuk dan cawan yang sudah digunakan.

Lalat juga dapat dihindari dengan menggunakan perangkap lalat. Perangkap lalat boleh dibeli di kedai-kedai. Beberapa kaedah asli juga boleh digunakan untuk menghalau lalat seperti membakar kulit kayu manis dan gunakan limau purut dan cengkih. Cengkih dicucuk pada limau purut dan diletakkan di tempat-tempat yang ada lalat terutamanya di rumah. Bau daripada kulit kayu manis dikatakan boleh menghalau lalat di rumah.

Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Jadi, sama-sama kita jaga kebersihan untuk kesejahteraan manusia. Hindari lalat dan hidup sihat.

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]

Ulasan