Dari tanah seberang dia datang,
Membawa beg dan harapan,
Meninggalkan halaman kampung,
Demi mencari sinar di negeri orang.
Empat belas tahun dia hidup berjanda,
Menjahit luka dengan benang ketabahan,
Tanpa bahu tempat menyandarkan lelah,
Tanpa tangan yang membantu melawan
resah.
Di kampung, anak-anaknya sudah dewasa,
Namun tetap kecil dalam ruang hatinya,
Sementara tawa cucu yang dirindui,
Hanya singgah melalui layer telefon
setiap hari.
Di rumah majikan dia menyapu kesedihan,
Membasuh pakaian bersama air mata,
Menanak nasi sambil mengenang dapur
sendiri,
Mengemas kamar ketika jiwanya terasa
sepi.
Tangannya menjaga keluarga yang bukan
darahnya,
Menyediakan makan dan menghulurkan
mesra,
Namun jauh diseberang lautan yang luas,
Anak dan cucunya menanti pelukan yang
belum terbalas.
Setiap malam apabila pekerjaan selesai,
Dia menatap wajah mereka di layer yang
kecil,
Lalu berkata, “Bonda sihat di sini,”
Meskipun rindunya pecah berkali-kali.
Upah sebulan dikirim tanpa berkira,
Menjadi beras, buku sekolah dan belanja
keluarga,
Sedang untuk dirinya hanya tinggal
sedikit,
Kerana kasih seorang bonda tidak bernah
berkira tentang sakit.
Suatu hari dia akan pulang ke pangkuan
desa,
Membawa usia yang sarat dengan jasa,
Cucunya akan berlari menyambut di
halaman,
“Bonda sudah pulang, pembawa cinta dan
harapan.”
* * * * *
Mahu mengirim karya ke
portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan
syarat [di sini].
[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur
pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula
sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan
debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang
penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai
editor pengurusan di My Aviation Magazine.
Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.