Dengan tangan terketar-ketar, Anita berjaya menelefon Indumathi.
“Dia sudah mati.”
Kemudian, wanita berumur 19 tahun itu terduduk kaku
kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan seterusnya.
Indumathi pula sudah menghubungi Saradah dan Ramyah.
Mereka bertiga bergegas ke rumah Anita di tingkat tujuh. Sebaik menerjah masuk,
mata mereka terbeliak melihat tubuh lelaki yang telentang di atas permaidani.
“Awak tidak apa-apa?” Saradah segera memeluk Anita
yang mula menangis.
Indumathi dan Ramyah pula menghampiri tubuh lelaki itu.
Seorang memegang pergelangan tangan untuk memeriksa nadi sementara seorang lagi
meletakkan jari telunjuk pada hidung untuk memeriksa pernafasan.
“Memang sudah mati,” Ramyah mengesahkan.
Keempat-empat wanita itu—Saradah yang paling tua
berumur 40 tahun sementara Anita yang paling muda berumur 19 tahun—duduk berkerumun
di satu sudut.
“Kita kena beritahu Satees …”
Tiga pasang mata segera berpaling ke wajah Indumathi.
“Satees?” Bahu Anita mula terhinggut-hinggut menahan
sebak.
Mata Anita beralih ke arah tubuh Mukundan yang terbaring
tanpa nyawa.
Mungkinkah Satees akan menerimanya selepas segala apa
yang terjadi? Malah, adakah dia sendiri akan menerima Satees selepas ini? Demikian
fikir Anita sebelum memejamkan mata dan tersedu-sedan memikirkan nasib diri.
Mukundan mewakili kelompok kaum India yang dilabel
sampah masyarakat. Dia memenuhi setiap kriteria negatif yang sering dijadikan
label stereotaip oleh orang luar—malah kaum India sendiri—sewaktu memperkatakan
realiti segala masalah sosial dalam komuniti ini.
“Saya memang tiada pelajaran tapi sayalah raja di
seluruh kawasan.”
Dialog itu sudah sinonim dengan Mukundan sejak usia
awal dua puluhan. Sejak kecil, dia tidak berminat dalam pelajaran. Namakan apa-apa
jenayah kecil, semuanya sudah dia lakukan sebelum mencapai umur 15 tahun.
Mukundan cepat belajar bahawa cara paling mudah untuk
menundukkan orang adalah dengan menyuntik ketakutan dalam jiwa. Hakikat itu
disedarinya sewaktu dia hampir-hampir membunuh seorang penduduk yang mengugut mahu
melaporkan kegiatan gengster dan pengedaran dadah kepada pihak berkuasa.
Buat pertama kali, Mukundan melihat sendiri ketakutan dalam
mata penduduk. Mulai saat itulah dia mengambil keputusan untuk tidak lagi
menjalankan aktiviti gengsterisme dan pengedaran dadah secara tersembunyi. Dia
mahu penduduk kawasan itu tahu dan sedar siapa yang berkuasa.
Reaksi
pembaca beta (beta readers) — [M. Mahendran] – [Anuradha Chelliah] – [Murali Mohan] – [Selvarajah Murugesan] – [Saravanan @ Thavarajan]
Baca juga — [Reaksi Razlina Razali bagi cerpen Scammer] — [Reaksi Anuradha Chelliah bagi cerpen Scammer]
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya
di portal Sastera Kavyan boleh dibaca
di sini.]