Cerpen “Generasi Penerus Tradisi” yang dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di portal Sastera Kavyan pada 13 Mac 2024 mengundang pelbagai persepsi.
Watak Raman seorang pemuda berusia 21 tahun dan membimbing
sekumpulan remaja sejak mereka kanak-kanak lagi. Raman yang berpegang teguh pada
ajaran ketuanya, mahukan remaja di bawah bimbingannya turut menjadi sama
seperti dirinya. Dia tidak mahu mereka terpengaruh atau menjadi mangsa
pendakyah.
Semasa membaca beberapa perenggan awal cerpen ini, Raman
seolah-olah digambarkan tergolong dalam kumpulan minoriti penganut agama Hindu.
Apabila membaca perenggan seterusnya, rupa-rupanya
Raman dan kumpulan remaja itu bukan berpegang teguh kepada ajaran agama tauhid
iaitu agama Hindu.
Rupa-rupanya, mereka mempunyai pegangan dan amalan
berbeza yang diajar oleh Datuk Guluji. Ajaran kultus itu adalah
fahaman mereka. Yakni, ajaran sesat.
Ajaran Datuk Guluji digambarkan lebih hebat
daripada ajaran agama Hindu. Begitulah cara Datuk Guluji memikat para
pengikutnya, sehingga boleh menjadikan Raman sebagai mentor untuk para remaja
dalam kultus itu.
Pada pengakhiran cerpen ini telah timbul suatu
perasaan jijik. Baru diketahui bahawa Datuk Guluji dan para pengikutnya ada
agenda “khas”. Mungkin kerana agenda itulah para pengikut setia bersama ketua kultus
dan begitu juga sebaliknya.
Walaupun keseluruhan cerpen ini ditulis secara
“abstrak”, ia masih memberi ruang kepada pembaca untuk membuat andaian sendiri.
Mungkin pembaca lain mempunyai pandangan berbeza yang dapat pula membantu mencungkil
mesej tersirat lain dalam cerpen ini.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan
cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak 1987. Karupaya (2018)
adalah Kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) Kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau
dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh
dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]