Saspens, Twist, dan Emosi dalam Maharaja (Bahagian 1)

Saya berpeluang menonton filem Maharaja (2024) di Netflix pada 13 Julai 2024. Walaupun pada pertengahan filem, saya sudah dapat mengagak plot twist berbentuk pendedahan di luar jangkaan pada akhir cerita, filem ke-50 lakonan Vijay Sethupathi amat sesuai untuk membantu para penulis mempelajari – serta memahami – cara berkesan menangani teknik saspens dan plot twist secara bijak dalam penulisan cereka, khasnya cerpen.

Saya akan menghuraikan secara ringkas jalan cerita (plot) filem berkenaan untuk menunjukkan bagaimana saspens, twist, emosi, dan pancaindera menjadikan filem Maharaja sebuah mahakarya (masterpiece). Jika anda belum menonton filem berkenaan, dicadangkan supaya anda menonton dahulu sebelum meneruskan pembacaan ini.

* * *

Filem Tamil sepanjang 2 jam 20 minit ini bermula dengan babak pengenalan (epilog) di Ramki Saloon (kedai gunting rambut).

Kemudian, terus kepada babak Maharaja (Vijay Sethupathi) sedang memilih anak patung di sebuah kedai. Di seberang jalan, isterinya, Selvi (Divya Bharati) dan anak kecil sedang duduk di muka pintu.

Kamera menunjukkan sebuah tong sampah besi tertera frasa “Use Me” pada rak di atas pintu rumah.

Tiba-tiba, sebuah lori yang hilang kawalan merempuh rumah di mana si isteri dan anak kecil sedang duduk. Kejadian itu memang satu kemalangan atau malapetaka. Bukannya sesuatu yang dirancang.

Dalam karya fiksyen – filem, drama, novel, cerpen – kita biasanya mengharapkan (malah, menuntut) rasional di sebalik setiap kejadian. Dalam kes kemalangan ini, ia memang tidak dirancang.

Sekadar perbandingan, pada 26 Februari 1994, sekitar pukul 12:30 tengah hari, sebuah kereta terbabas di lebuh raya, lalu merempuh motosikal yang saya tunggang (kisah di sini). Ia suatu kemalangan; bukan sesuatu yang dirancang. Begitulah juga babak kemalangan dalam filem Maharaja, walaupun babak itu amat penting dalam plot (jalan cerita) seterusnya.

* * *

Empat belas tahun kemudian, watak Jothi (Sachana Namidass) menceritakan (narrate) kepada kita (penonton) tentang dirinya dan bapanya (Maharaja). Dia turut menyebut tentang Lakshmi, iaitu tong sampah besi. Ia dianggap sebagai sebahagian keluarga – sebagaimana lembu dalam budaya India-Hindu – kerana telah menyelamatkan nyawa Jothi dalam insiden lori merempuh rumah pada bahagian epilog (kejadian 14 tahun lalu).

Jothi menceritakan (narrate) bahawa dia akan menyertai kem sukan selama seminggu di bandar lain yang jauh. Ini kali pertama Maharaja dan Jothi akan berjauhan.

Pada sebelah malam, Maharaja pulang ke rumah. Tiba-tiba, tanpa sebarang penjelasan, ditunjukkan rumahnya berselerak dan dia terlantar di lantai. Kita (penonton) boleh membayangkan bahawa sesuatu sudah berlaku. Kita mahu tahu apa yang sudah berlaku – dan akan berlaku.

* * *

Beralih pula kepada babak seorang politikus, Karunakaran (Kaalaiyan) datang mencari Dhana (Manikandan) di bengkel kereta milik Prabhu kerana dikatakan telah mencuri cermin mata hitam di dalam kereta yang dihantar untuk diservis. Malah, Dhana didapati telah menggunakan kereta itu untuk berfoya-foya.

Pada malam itu, Dhana pergi ke sebuah bar, lalu memukul Karunakaran yang sedang minum bersama beberapa rakan.

* * *

Beralih pula ke babak di Balai Polis Pallikaranai. Maharaja datang untuk melaporkan tentang kehilangan Lakshmi (tong sampah). Dia menceritakan secara terperinci apa yang berlaku di rumahnya pada malam kejadian.

Maharaja diserang tiga lelaki bertopeng yang tidak dikenali. Maharaja memaklumkan bahawa anaknya (Jothi) sudah pergi ke kem sukan. Satu-satunya barang yang hilang ialah Lakshmi.

Maharaja mengulangi kisah yang sama kepada Inspektor S. Varadharajan (Natarajan Subramaniam). Maharaja sanggup memberi wang (rasuah) dalam jumlah yang banyak jika polis berjaya mencari Lakshmi.

Polis yang memulakan siasatan yakin bahawa Maharaja menyembunyikan sesuatu. Mereka percaya ada sesuatu yang amat berharga disembunyikan di dalam tong sampah besi itu. Jika tidak, masakan dia sanggup menawarkan wang (rasuah) yang lumayan untuk mendapatkannya semula.

Kita (penonton) turut tertanya-tanya apa yang ada pada tong sampah itu. Adakah sesuatu disembunyikan di dalamnya? Atau sekadar nilai sentimental?

* * *

Beralih kepada watak Selvam (Anurag Kashyap) dan Sabari (Vinod Sagar) yang melakukan jenayah merompak, merogol, dan membunuh mangsa (wanita) tanpa belas kasihan.

Segera pula beralih kepada situasi sebuah keluarga bahagia iaitu Selvam bersama isterinya, Kokila (Abhirami) dan anak kecil bernama Ammu. Selvam ternyata suka mengambil objek menarik (unik) dari rumah yang dirompak untuk dihadiahkan kepada anak kesayangan. Kamera menunjukkan tong sampah besi di mana Selvam menyimpan barangan (hadiah) yang tidak disukai oleh Ammu.

Beberapa babak menunjukkan bagaimana Maharaja dijadikan seperti orang gaji di balai polis. Selvam dan Sabari pula meneruskan jenayah rompakan. Di sisi lain, Selvam seorang bapa yang amat menyayangi Ammu. Maharaja pula sering menonton mesej video kiriman Jothi. Anak gadis itu turut bertanya (dalam video) tentang Lakshmi.

* * *

Konstabel Kuzhandhaivelu (Munishkanth) sedang berusaha membeli tong sampah baharu untuk diserah kepada Maharaja sebagai Lakshmi. Dia bertemu Nallasivam (Singampuli), seorang pemberi maklumat kepada polis.

Prabhu pergi ke balai polis untuk melaporkan kehilangan Dhana. Sebaik Maharaja terlihat foto Dhana yang dipegang oleh Prabhu, dia teringat atau terkenang insiden yang berlaku pada malam kejadian.

Pada kali ini, kita (penonton) mendapat maklumat baharu. Apabila Maharaja sedar daripada pengsan pada malam dia diserang perompok di rumahnya, dia ternampak resit bayaran tol. Nombor kereta milik Karunakaran tercatat pada resit itu.

Maka, kita (penonton) teringat babak Dhana dikatakan telah mengambil kereta milik Karunakaran dan berfoya-foya.

Rupa-rupanya, Maharaja telah menjejak kereta itu sehingga sampai di bar di mana Karunakaran sedang minum bersama rakan-rakan.

Babak Dhana datang ke bar dan memukul Karunakaran dipaparkan semula dengan sedikit maklumat tambahan – iaitu bahawa Maharaja turut berada di sana dan menyaksikan sendiri peristiwa itu.

Ini ialah teknik bijak menyembunyikan maklumat pada bahagian awal dan hanya mendedahkannya kemudian secara penuh meyakinkan dan tetap diterima akal rasional. Kita (penonton) turut berpeluang melihat insiden yang berlaku dari sudut yang sedikit berbeza, sekali gus mengubah persepsi dan perspektif.

Barulah didedahkan bahawa Maharaja telah mengekori Dhana dan membunuhnya. Sebelum itu, Maharaja bertanya kepada Dhana, siapakah dua lagi penjenayah yang masuk ke rumahnya.

Dhana hanya memberitahu bahawa salah seorang ada kaitan dengan Balai Polis Pallikaranai. Segera kita (penonton) faham mengapa Maharaja berada di balai polis itu pada setiap hari, walaupun dia dilayan lebih teruk daripada orang gaji. (bersambung)

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]