Apabila kita menulis karya fiksyen—khasnya cerpen—idea atau cerita sahaja belum mencukupi. Sebaliknya, seorang penulis yang mahu berjaya perlu turut menangani teknik penulisan.
Berdasarkan pengalaman saya menulis sejak awal tahun 1990-an, teknik penulisan yang memanfaatkan unsur plot twist mampu mencengkam minat pembaca dan memberikan pengalaman pembacaan yang memuaskan hati serta mencabar minda.
Hasil pengalaman mengendalikan bengkel penulisan kreatif sejak tahun 1994, saya dapati masih ada penulis—muda dan mapan—yang menganggap unsur “saspens” (suspense) sama dengan “plot twist” (twist).
Tulisan saya
mengenai twist di The Malaysian Insider (26 September
2011) boleh dibaca di sini. Ulasan tentang unsur twist dalam karya Jeffrey Archer (The Malaysian Insider, 4 Februari 2012)
boleh dibaca di sini, manakala ulasan tentang twist dalam karya Jeffery Deaver (The Malaysian Insider, 3 Januari 2016)
boleh dibaca di sini.
Saya memang “terpengaruh” dengan Jeffrey Archer dan Jeffery Deaver dalam merangka jalan cerita (plot) yang ada unsur twist. Jika anda biasa membaca cerpen saya, maka anda pasti menyedari kegemaran saya menampilkan perkembangan cerita di luar dugaan atau jangkaan.
Berbalik kepada perbandingan antara saspens dan twist. Unsur saspens muncul apabila pembaca menanti dengan penuh debar, cemas, bimbang, dan teruja untuk menyaksikan sesuatu berlaku. Hal ini dapat diperhatikan dalam cerpen dan juga filem.
Misalnya, katakan satu watak sedang dikejar pembunuh. Watak berkenaan bersembunyi di belakang sebatang pokok. Si pembunuh pula sedang mencari. Maka, kita sebagai pembaca—atau penonton—akan menunggu dengan penuh saspens (penuh debar) untuk mengetahui sama ada pembunuh itu berjaya mengesan watak berkenaan, atau bagaimana watak itu akan berjaya menyelamatkan diri.
Nah! Unsur saspens (debaran) berlaku apabila kita sudah tahu apa yang mungkin akan berlaku. Kita menunggu dengan penuh debar untuk menyaksikan perkara itu berlaku—atau tidak berlaku.
Harap
maklum bahawa unsur saspens bukan hanya sesuai dalam penulisan cerita jenayah
dan pembunuhan. Sebuah cerita bertema keluarga juga boleh memanfaatkan unsur
saspens untuk menarik minat pembaca.
Jika anda mahu menulis cerpen yang mengetengahkan unsur saspens, ada tiga petua yang boleh saya kongsi berdasarkan pengalaman menulis cerpen “Nayagi”. Harap maklum bahawa ia antara cerpen awal yang saya tulis pada usia 19 tahun. Cerpen ini menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992). Versi bahasa Inggeris boleh dibaca dalam buku The Painted Cat (2023).
Memanglah ada semacam unsur twist pada hujung cerpen tetapi unsur yang sebenarnya saya terapkan ialan saspens. Apabila watak Madhavi berdepan dilema dan terpaksa membuat pilihan, pembaca sebenarnya sudah boleh mengagak—atau mengharapkan—keputusan yang bakal diambil.
Di sinilah saya menerapkan tiga petua bagi memastikan unsur saspens berjaya untuk terus menarik minat pembaca. (Sama ada berjaya atau tidak, saya nantikan komen dan maklum balas ikhlas daripada anda.)
Pertama, perkara-perkara yang terpaksa digadai atau dilepaskan apabila watak Madhavi membuat pilihan (atau akur kepada pilihan orang tua). Jika dia memilih A, apakah perkara-perkara yang terpaksa dilepaskan atau dilupakan olehnya? Dan jika B menjadi pilihan (atau paksaan), apakah pula perkara-perkara yang akan hilang daripada hidupnya?
Pembaca
yang mengikuti kisah gadis berumur 16 tahun ini diharap sama-sama memikirkan
persoalan itu semasa membaca cerpen “Nayagi”. Pembaca juga diharap mampu
mengaitkan dilema Madhavi dengan dilema yang mereka sendiri hadapi dalam hidup.
Sanggupkah Madhavi menggadaikan A semata-mata kerana mahu memiliki B?
Kedua, aspek ketidakpastian yang wujud. Apabila berdepan masalah keluarga, watak Madhavi tidak dapat membuat keputusan segera. Bukan sekadar dilema, malah pelbagai perkara lain perlu difikirkan dan diambil kira. Bagi pembaca pula, apabila mereka mendengar (membaca) hujah si ibu, ada juga lojiknya. Apabila mendengar hujah si nenek, ada juga kebenarannya. Apabila mendengar suara hati dan keinginan Madhavi, ada juga rasionalnya.
Ketidakpastian yang dialami watak Madhavi (sepatutnya atau seharusnya) turut dirasai pembaca. Itulah yang saya harapkan sebagai penulis cerpen “Nayagi”. Pembaca (diharap) tidak sekadar melihat Madhavi sebagai satu watak rekaan dalam sebuah cerita rekaan. Sebaliknya, ketidakpastian dan dilema yang dialami watak itu (diharap) mewakili serta menyentuh emosi dan fikiran pembaca.
Ketiga, saya menggunakan petua melewatkan proses mengambil keputusan; atau penamat cerita. Dilema Madhavi sudah diketahui. Harapan si ibu sudah diketahui. Keinginan beberapa watak lain juga sudah diketahui. Keputusan perlu diambil. Tetapi apakah keputusan yang bakal diambil dan siapa yang ada hak membuat keputusan itu?
Saya
mengambil masa (time) dengan sengaja melengahkan
pengakhiran cerita. Dalam situasi “menunggu” (waiting) itu, dimasukkan beberapa maklumat tambahan yang terus menggerakkan
cerita serta menambah “beban” kepada petua pertama
dan kedua
di atas.
Pengakhiran cerita mungkin memang sudah dijangka. Tidak berlaku apa-apa peristiwa di luar jangkaan. Semasa menulis dan menyunting cerpen “Nayagi”, saya tidak kecewa atau risau memikirkan kemungkinan pembaca sudah boleh mengagak kesudahan cerita.
Sebaliknya, apa yang saya pentingkan dalam cerpen ini ialah muatan idea (content). Saya mahu pembaca mengembara (travel) bersama-sama watak Madhavi—bermula dengan penampilan diri seorang budak keturunan Malayali berumur 16 tahun sehingga di akhir cerpen, Madhavi tampil sebagai seorang wanita berumur 16 tahun!
Perjalanan atau pengembaraan itulah yang penuh saspens. Pembaca sudah tahu apa yang mungkin boleh terjadi. Tidak berlaku apa-apa insiden di luar jangkaan. Kisah yang disajikan adalah hal-hal yang memang (boleh dan lazim) berlaku dalam keluarga kaum India.
Unsur saspens menggerakkan cerpen “Nayagi”. Apabila watak Madhavi mengumumkan keputusan dan pendiriannya pada akhir cerita, tidak ada apa-apa perkara di luar jangkaan pembaca. Pembaca memang sudah tahu Madhavi akan memilih A atau B. Tiada kejutan; tiada twist.
Penjelasan lanjut berserta contoh bagi twist akan dihurai dalam esei lain (di sini).
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya
di portal Sastera Kavyan boleh dibaca
di sini.]