Saspens, Twist, dan Emosi dalam Maharaja (Bahagian 2)

Sila jangan membaca ulasan ini jika anda belum menonton filem Maharaja (2024). Esei ini bertujuan meneliti bagaimana teknik saspens, twist, dan emosi berjaya ditangani dengan penuh jaya. [Bahagian satu - di sini]

Filem berkenaan diteruskan dengan babak Selvam, Kokila, dan Ammu ke kedai emas untuk menempah rantai dan loket khas sempena hari jadi Ammu. Selvam mengatakan bahawa dia sanggup berbuat apa sahaja untuk puteri kesayangannya.

Sementara itu, Kuzhandhaivelu dan Nallasivam berjaya mencari orang yang boleh membuat tong sampah besi seperti yang diperlukan.

Selvam pergi mengambil loket yang ditempah di kedai emas. Dalam perjalanan pulang, dia singgah untuk mencukur janggut di Ramki Saloon.

Pada saat itu, kita (penonton) sedar bahawa Maharaja kini mengendalikan Jothi Saloon. Ramki Saloon ialah tempat dia bekerja, 14 tahun dahulu!

Maka, kita sedar bahawa kisah Selvam membeli loket untuk anaknya berlaku 14 tahun dahulu. Dua cerita non-linear yang berlaku pada dua waktu (tahun) yang berbeza (2009 dan 2023) disampaikan seolah-olah berlaku pada waktu (tahun) yang sama.

Babak Selvam pergi ke kedai gunting rambut sebenarnya berlaku sebagai sambungan kepada babak awal pada bahagian epilog, dan sebelum babak Maharaja membeli anak patung. Kita (penonton) perlu menyusun plot secara kronologi untuk memahami apa yang berlaku.

Semasa berada di Ramki Saloon, Selvam menerima panggilan telefon daripada Sabari. Mereka bercakap tentang jenayah yang mereka lakukan. Selvam risau kerana Maharaja mungkin telah mendengar perbualan itu.

* * *

Kotak berisi loket khas yang dibeli oleh Selvam untuk Ammu tercicir di kedai gunting rambut. Maharaja pergi untuk memulangkannya. Tetapi, pada masa sama, polis menyerbu rumah Selvam. Sabari mati ditembak polis. Selvam yang ditangkap polis menyangka Maharaja yang melaporkan serta membawa polis ke rumahnya.

* * *

Jothi pulang dari kem sukan pada 19 Februari 2023 – tarikh ini terpapar pada skrin telefon semasa Maharaja melihat mesej yang dikirim Jothi untuk meminta bapanya membelikan sepasang kasut sukan baharu.

Kita (penonton) sudah tahu bahawa kisah Selvam-Maharaja berlaku pada dua tahun berbeza iaitu 2009 dan 2023. Kita membayangkan bahawa Jothi sedang dalam perjalanan pulang dan Maharaja masih belum berjaya menemui semula Lakshmi (tong sampah) yang dicuri.

Sementara itu, Kuzhandhaivelu dan Nallasivam membawa tong sampah baharu yang ditempah khas. Kemudian, mereka cuba menjadikan rupa fizikal tong sampah itu menyerupai Lakshmi yang kotor dan kemek.

Nallasivam menawarkan diri untuk berlakon sebagai orang yang mencuri tong sampah itu dari rumah Maharaja kerana polis menawarkan bayaran lumayan kepada orang yang mengaku bersalah.

Varadharajan menelefon Maharaja dan memintanya mengulangi kejadian pada malam rompakan berlaku. Hal ini supaya Nallasivam boleh mendengar kisah itu dan perpura-pura membuat pengakuan bagaimana dia mencuri tong sampah itu dahulu.

Apabila Maharaja mengulangi cerita yang sama bagi kesekian kali, ditunjukkan visual tentang apa yang sebenarnya berlaku. Cerita (narrative) adalah sama tetapi makna (meaning) sudah berubah.

Kita (penonton) dikejutkan dengan pendedahan bahawa bukannya Maharaja yang diserang tiga perompak pada malam kejadian!

Rupa-rupanya, Jothi yang pulang selepas kem sukan pada malam itu (19 Februari 2023). Kita (penonton) sedar bahawa Jothi bukannya baru selesai menyertai kem sukan dan sedang dalam perjalanan pulang. Sebenarnya, dia pulang pada tarikh insiden kehilangan Lakshmi dikatakan berlaku.

Apa yang sebenarnya terjadi? Apa yang diceritakan (narrate) oleh Maharaja memang betul. Tetapi bukan dia yang pulang ke rumah pada malam itu. Sebaliknya, Jothi yang pulang selepas tamat kem sukan!

Selvam yang sudah keluar dari penjara (selepas 14 tahun) telah berpakat dengan dua rakan untuk membunuh Maharaja. Mereka bertiga pecah masuk ke dalam rumah lebih awal. Akan tetapi, Maharaja sedang berada di kedai kerana mahu membeli kasut sukan yang dipesan oleh Jothi.

Sebenarnya, Jothi yang pulang ke rumah. Dialah yang dipukul dan dirogol bergilir-gilir oleh dua sekutu Selvam—Dhana dan Nallasivam! Kita (penonton) mula sedar mengapa Maharaja amat emosional apabila menceritakan tentang “Lakshmi” yang “hilang”..

Apabila Nallasivam mendengar cerita itu menerusi telefon, dia pun sedar bahawa kes sebenar bukan tentang tong sampah tetapi tentang kes rogol di mana dia terlibat sama.

* * *

Pada malam kejadian (19 Februari 2023), Maharaja pulang ke rumah bersama kasut sukan yang diminta oleh Jothi. Dia menemui Jothi dan terus membawanya ke hospital.

Kemudian, Maharaja pulang ke rumah dan memecahkan segala barangan kerana terlalu marah, kecewa, dan sedih dengan malapetaka yang menimpa Jothi. Maharaja pengsan dan apabila sedar diri, dia terpandang tiket bayaran tol.

Varadharajan dan Kuzhandhaivelu membawa Nallasivam dan tong sampah (menyerupai Lakshmi) ke rumah Maharaja. Maharaja tidak mempertikai bahawa tong sampah itu bukan miliknya. Hal ini kerana Lakshmi tidak pernah hilang.

Nallasivam diminta melakonkan semula peristiwa dia dan dua rakan memecah masuk ke rumah Maharaja dan mencuri tong sampah itu. Sewaktu Nallasivam “berlakon”, Maharaja sedar bahawa lelaki itulah salah seorang perogol anaknya.

Kita (penonton) mendapat tahu bahawa semasa membuat siasatan kes kehilangan Lakshmi dan kematian Dhana, Varadharajan dan Kuzhandhaivelu sudah tahu bahawa Nallasivam terlibat dalam kes sebenar iaitu kejadian Jothi dirogol. Sebab itulah mereka sengaja membawa Nallasivam ke rumah Maharaja. Malah, mereka bersetuju dan mengizinkan Maharaja membunuh Nallasivam.

* * *

Seterusnya, Maharaja pergi ke tapak pembinaan bangunan di mana Selvam menjadi ketua kontraktor. Walaupun dipukul sehingga patah kaki, Selvam masih ketawa. Katanya, Maharaja yang akan menderita sepanjang hayat mengenangkan peristiwa anaknya (Jothi) dirogol.

Jothi pula datang untuk bersemuka dengan Selvam. Jothi memberi sebungkus barang kemas kerana dia fikir itulah barangan yang mahu Selvam dan rakan-rakannya rompak pada malam kejadian.

Selepas Jothi pergi, Selvam ternampak loket khas yang dibelinya 14 tahun dahulu untuk anaknya, Ammu.

Didedahkan apa yang sebenarnya berlaku, 14 tahun lalu. Maharaja telah membawa isterinya dan Jothi (bayi) untuk bertemu Kokila dan Ammu (bayi). Maharaja menceritakan bahawa dia sebenarnya pergi ke majlis hari jadi Ammu untuk menyerahkan loket yang tercicir di kedai gunting rambut.

Maharaja pergi ke kedai di seberang jalan untuk membeli anak patung. Pada waktu itulah sebuah lori yang hilang kawalan merempuh rumah Kokila. Kokila (isteri Selvam) terbunuh. Begitu juga dengan isteri Maharaja dan anak mereka (Jothi).

Ammu (anak Selvam) terselamat kerana tong sampah besi jatuh tertelangkup dan melindunginya. Tong sampah itulah kemudian diberi nama Lakshmi.

Sebenarnya, pada pertengahan filem, saya sudah dapat mengagak twist berbentuk pendedahan di akhir iaitu bahawa Jothi sebenarnya Ammu (anak Selvam).

Tamparan paling hebat bukan kepada kita (penonton) tetapi kepada Selvam. Dia baru sedar bahawa Ammu, si bayi yang amat dicintainya, kini menjadi Jothi (anak yang dipelihara Maharaja).

Selvam sedar bahawa remaja perempuan yang dipukulnya dengan teruk tempoh hari ialah anak kandungnya. Selvam sedar bahawa remaja perempuan yang dibenarkannya dirogol bergilir-gilir oleh Nallasivam dan Dhana ialah anak kandungnya!

Selvam meraung dan meminta ampun sambil menyembah kaki Maharaja.

“Tolonglah panggil anak saya. Saya mahu memohon keampunannya,” Selvam merayu.

Sebuah filem penuh saspens, beberapa plot twist, serta menyentuh emosi dan intelek kita (penonton).

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]