(Sambungan daripada Bahagian Satu) Cara bagaimana Haji Salim berjaya
mempengaruhi Mutusamy sehingga bertukar menjadi Kamarudin lebih nyata menerusi
petikan berikut:
“Apa maksud kata-kata Pak Haji? Saya tak faham!”
Mutusamy bertanya dengan telor Indianya.
“Begini Mutu. Aku perhatikan kau tak tenang
dalam hidup kau. Aku hendak tolong kau. Aku fikir, aku fikir alangkah baiknya
kalau kau memeluk agama Islam. …”
Sebagai individu
yang “berjaya tinggalkan islam” – baca di sini – saya membaca dengan
penuh debar bagaimana watak Haji Salim bakal berdak*ah, memperdaya, mempengaruhi,
dan memanipulasi situasi hidup Mutusamy untuk memaksa watak itu meninggalkan
agama asal.
“Ha? Masuk Islam? Menukar agama saya sekarang?”
“Ya, masuk Islam!” jawab Pak Haji Salim. “Janganlah
bimbang Mutusamy, kalau kau masuk Islam, kau akan senang tau? Agama Islam agama
mulia, kalau masuk Islam semua orang sukakan engkau,
semua orang muliakan engkau! Percayalah Mutu! Orang-orang Islam sendiri amat
sukakan kepada bangsa lain yang memeluk agamanya! Pendeknya, kalau kau jadi
Islam kau akan dapat kebahagiaan, kau dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat!”
Walaupun
cerpen ini ditulis dan tersiar pada Disember 1960, taktik dak*ah yang digunakan
watak Haji Salim ternyata masih diguna pakai sehingga kini; dan ternyata masih
amat berkesan mempengaruhi umat Bukan Islam yang kurang pegangan agama asal dan
lemah iman.
Dalam
cerpen “Jalan Lain ke Mana”, watak Mutusamy ternyata termakan hasutan,
manipulasi, dan dak*ah Haji Salim, lalu meninggalkan agama asal kerana “dia
mahu hidup bahagia di dunia dan akhirat.” Namanya bertukar menjadi Kamarudin
bin Abdullah.
Benarkah
hidup Mutusamy @ Kamaruddin dipenuhi kebahagiaan seperti dijanjikan selepas
masuk Islam? Dia berkahwin dengan seorang janda iaitu bekas isteri seorang
peminta sedekah. Wanita yang berjalan tempang itu sudah ada seorang anak dengan
bekas suami. Hasil pernikahan dengan Kamarudin, dapat pula seorang lagi anak.
Apa yang
berlaku selepas itu sudah pun diceritakan lebih awal dalam cerpen ini. Janda yang
dinikahi itulah isterinya, Esah, yang bersama-sama ibunya (mentua Kamarudin) menghina
dia seperti anjing kurap kerana dia seorang mualaf (meninggalkan agama asal).
Saya
membaca semula cerpen “Jalan Lain ke Mana” untuk mengetahui rasional watak
Mutusamy meninggalkan agama asal. Anehnya, tidak ada apa-apa maklumat tentang
keluarga (ibu bapa dan adik-beradik) diberikan. Kita hanya diberitahu bahawa
dia rapat dengan Haji Salim dan lelaki itu dengan mudah berjaya mempengaruhi
minda Mutusamy dengan janji muluk supaya meninggalkan agama asal.
Perlu juga
ditekankan bahawa Mutusamy bukan seorang ateis atau individu tidak beragama.
Hal ini jelas kerana semasa Haji Salim memujuknya masuk Islam, Mutusamy bertanya:
“Ha? Masuk Islam? Menukar agama saya sekarang?”
Dialog ini
membuktikan Mutusamy memang ada pegangan agama; sebelum berjaya dimanipulasi
dan dipengaruhi secara penuh licik oleh Haji Salim yang kononnya “Aku
perhatikan kau [Mutusamy] tak tenang dalam hidup kau”.
Apa-apa
pun, berjayakah Mutusamy @ Kamarudin mengecap nikmat dan kebahagiaan yang
dijanjikan oleh Haji Salim: “Pendeknya, kalau kau jadi Islam kau akan dapat
kebahagiaan, kau dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat!”
Bahagian
akhir cerpen memberikan jawapan yang tentu sahaja merupakan mesej, nasihat, serta
amaran yang cuba disampaikan oleh Isma Mesra secara langsung (tidak
berlapik) kepada para pembaca.
“Ah! Di manakah kebahagiaan yang dijanjikan oleh
Pak Haji Salim dulu?” keluh Kamarudin dalam gelap malam itu sambil membetulkan
songkok yang dibuat bantal tidur. “Di manakah kebahagiaan itu?”
Dia berpaling memandang bumbung dalam
gelap-gelap itu. Hatinya begitu gelisah—begitu tidak aman.
“Pak Haji,” katanya perlahan-lahan. “Kau kata
aku Islam, mereka kata aku mualaf! Kau kata aku akan bahagia, tapi di mana
kebahagiaan itu?”
Watak Haji
Salim yang kononnya melihat Mutusamy sebagai “anak buahku sendiri” serta “bertambah
rapat kepadanya” selepas masuk
Islam, ternyata sebenarnya tidak lagi ambil tahu apa-apa selepas berjaya memujuk
Mutusamy meninggalkan agama asal.
Penulis
berjaya menggambarkan realiti hidup Kamarudin yang merana seorang diri, tidak
dihiraukan orang Melayu-Islam yang konon “amat sukakan kepada bangsa lain yang
memeluk agamanya”, kini “hatinya begitu gelisah—begitu tidak aman”, dan terpaksa
pula menumpang di sebuah surau susulan sudah tidak ada tempat bergantung.
Semua
kebahagiaan “di dunia dan akhirat” yang dijanjikan Haji Salim terbukti tidak
kunjung tiba. Golongan “orang-orang tua kampung” yang dulu rajin memberi
nasihat juga sudah hilang entah ke mana. Sebaliknya, Mutusamy hanya menderita dan
dihina seperti anjing kurap selepas memeluk Islam.
Nasib dan
realiti hidup watak Mutusamy dalam cerpen “Jalan Lain ke Mana” mengingatkan
saya kepada nasib watak utama dalam cerpen “Jalan Sehala Menuju Svarga”.
Nasib yang
bakal menimpa seorang mualaf (meninggalkan agama asal) digambarkan dan dibayangkan
oleh Isma Mesra pada dua perenggan penutup cerpen:
Dalam gelap-gelap itu dia menjadi begitu sedih.
Air mata memenuhi matanya. Dia tersedu-sedu seorang.
“Ke manakah mesti aku pergi dari sini?” tanya
hatinya.
Semoga
cerpen “Jalan Lain ke Mana” (Berita
Minggu, 4 Disember 1960) tulisan Isma Mesra menyedarkan dan menginsafkan
para pembaca, khususnya kaum India beragama Hindu.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar
SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM
King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana
sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa
Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

