Itulah jalan berserabut yang terpaksa diredahnya sejak kecil. Bersimpang-siur. Kompleks. Terlalu sukar dilalui kecuali jika benar-benar yakin.
Sejak kecil, dia sentiasa takut akan tersesat. Bagaimana jika dia tersilap masuk simpang? Bagaimana jika jalan yang diambil membawanya jauh dan semakin jauh dari rumah? Sehingga akhirnya tidak ada jalan pulang!
Kekeliruan, keresahan, dan kebimbangan itu bukan hanya semasa kecil. Pada usia remaja juga dilema dan isu sama masih menghantui.
“Jalan ini terlalu kompleks. Terlalu sukar difahami. Mustahil dapat dikenali dan diikuti dengan betul sehingga akhir hayat.”
Demikian dia sentiasa merungut—kepada diri, adik-beradik, rakan-rakan, dan sesiapa yang turut menggunakan jalan sama dalam kehidupan seharian.
“Bukankah ini jalan yang telah kita gunakan sejak zaman-berzaman? Inilah jalan sebenar yang paling awal digunakan penduduk di sini. Mustahil jalan ini boleh menyesatkan.”
Jawapan yang diberi warga tua tidak membantu meredakan keresahan, kekecewaan, dan kebencian yang semakin menguasai diri.
Memanglah ada pelbagai usaha menghapuskan atau memesongkan laluan jalan itu. Semuanya dilakukan dari semasa ke semasa atas pelbagai alasan dan desakan. Namun begitu, jalan berkenaan tetap teguh tanpa mampu diapa-apakan oleh mana-mana pihak.
“Bukankah awak sudah menggunakan jalan ini sejak kecil? Apakah awak masih belum yakin pada jalan ini? Bukankah itu bermakna awak sebenarnya tidak yakin pada diri sendiri?”
Pertanyaan salah seorang sepupu membuatkannya terdiam seketika.
“Ingatlah segala panduan dan nasihat orang tuan. Patuhi apa yang tercatat dalam buku panduan jalan. Gunakan akal fikiran untuk membimbing awak supaya laluan menjadi terang dan lurus menuju destinasi.”
Sesungguhnya, semasa kecil, ibu dan bapa memimpinnya sepanjang jalan itu dan menerangkan selok-beloknya dengan teliti. Nenek dan datuk juga memainkan peranan. Buku panduan pula diberi untuk dibaca, difahami, dan dijadikan rujukan apabila perlu.
“Jalan ini memang amat kompleks dan mungkin sedikit mengelirukan sesiapa yang menerjah masuk tanpa sebarang panduan dan tunjuk-ajar. Tapi mujurlah kita memang sudah menggunakan jalan ini secara turun-temurun, lalu tahu selok-beloknya secara terperinci. Kita dididik menggunakan akal. Buku panduan komprehansif juga sudah ada untuk membantu jika timbul kemusykilan.”
Demikian kata datuknya yang semacam menyedari dilema yang mula dia alami pada usia remaja.
“Semua benda dalam hidup memang kompleks dan berserabut jika jiwa kita dipenuhi prejudis dan kita tidak bersedia untuk menghayati serta menghargai keindahan yang wujud,” kata nenek pula dengan penuh kasih.
Segala nasihat dan pandangan tetap gagal mengubah persepsi peribadi bahawa jalan yang digunakan keluarga dan keturunannya sejak zaman-berzaman terlalu kompleks—malah mungkin menyesatkan sesiapa yang menggunakannya dalam urusan perjalanan seharian.
Sepupu dan rakan-rakan ketawa mendengar pandangan seumpama itu.
“Menyesatkan? Inilah jalan yang paling awal membuka laluan kepada orang ramai untuk bergerak menuju tamadun. Inilah jalan yang membuka peluang pengangkutan, ekonomi, dan kemakmuran.”
“Kalau jalan ini menyesatkan, tentulah nenek-moyang kita yang arif sudah meninggalkan – malah menutup – jalan ini. Pasti mereka tidak mahu cucu-cicit meneruskan perjalanan hidup menggunakan laluan yang menyesatkan, membawa kemusnahan, atau merugikan.”
Pelbagai pandangan seperti itu tetap tidak berjaya mengubah pendiriannya. Sesungguhnya, dia sudah memutuskan bahawa jalan yang digunakan sejak lahir terlalu kompleks dan menyusahkan.
Dia mahukan sesuatu yang mudah. Sesuatu yang menyenangkan. Suatu jalan yang terang-benderang, lurus, dan tidak kompleks dipenuhi simpang-siur yang sukar difahami.
Tepat pada waktu, dia mendapat tahu mengenai satu jalan baharu yang dianggap memenuhi kesemua keinginannya. Jalan lurus yang bakal membawanya terus ke svarga! (bersambung)
[Karya
ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah Dewi
Pertiwi (2024) dan Cerpen
(2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]