Nombor aku dipanggil.
Aku pergi ke kaunter.
“Selamat pagi, Encik
Ravi. Ini adalah bayaran ansuran bulanan yang encik perlu bayar selepas kami
buat perkiraan semula. Ini yang terbaik dapat kami lakukan.”
“Macam masih di luar
kemampuan saya,” jawab Ravi, mengeluh panjang.
“Encik cuba dulu. Kalau
ada masalah lagi, boleh datang berbincang dengan kami,” kata wanita berbaju
kebaya di kaunter sambil senyum.
Selesai urusan, Ravi
berjalan keluar dan terus menuju ke kereta.
Hon kereta
mengejutkannya daripada lamunan. Dia hampir dilanggar semasa melintas jalan.
Sejak belakangan ini, fikirannya sangat bercelaru.
Di dalam kereta, dia
mengaktifkan aplikasi Grab dan menunggu panggilan masuk. Macam-macam hal
terbayang dalam kepala. Macam-macam perlu diuruskan olehnya. Bukan sahaja
isteri dan anak-anak, malah haiwan peliharaan juga perlukan perhatian.
Kalau sebelum ini,
sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum Covid-19 muncul di dunia, dia tidak pernah atau jarang sekali
berada dalam negara; apatah lagi di rumah. Sentiasa bersama krew penerbangan;
ke sana dan ke sini.
Dengan gaji RM80,000
sebulan, dia mampu menguruskan keluarga dengan mudah. Segala permintaaan anak
isteri dilayan dengan senyuman lebar. Dia langsung tidak keberatan untuk
membelikan apa sahaja yang diminta oleh lima orang anak. Isterinya yang tidak
bekerja juga dilayan dengan baik; siap diberi ilham untuk memulakan kerjaya
sebagai pengusaha kek.
Anak-anak pula tidak
ketinggalan mengikuti pelbagai kelas yang dapat meningkatkan daya ketahanan dan
kecerdasan minda. Kelas seni mempertahankan diri dan muzik. Kelas robotik dan
saintis muda. Semuanya untuk membantu anak-anak bersedia menghadapi cabaran
dunia apabila dewasa.
Malah, haiwan peliharaan juga dijaga dengan baik. Dua ekor German Shepherd dan dua ekor Labrador Retriever. Makanan dan kesihatan mereka dijaga dengan sempurna. Setiap bulan, hampir RM6,000 dihabiskan untuk haiwan peliharaan sahaja.
“Beep, beep.”
Ada panggilan masuk.
Dia memulakan enjin kereta. Dia akan ke Jalan Kelang Lama dan kemudian ke
Damansara Utama. Kalau dulu, dia seorang juruterbang, tapi kini dia menjadi
pemandu Grab. Keadaan telah memaksanya berbuat demikian. Dia terpaksa
mencari alternatif untuk menyara hidup dan keluarga.
Dia masih tidak dapat
berterus terang dengan anak-anak yang sentiasa bertanya tentang kelas-kelas
yang mereka ikuti. Nasib baik, sekolah ditutup. Jadi, anak-anak tahu mereka
tidak dapat keluar ke mana-mana.
Kadang-kadang, dia
seperti hilang ingatan. Pernah sekali, dia tertelan beberapa pil paracetamol dan terlantar di dalam
bilik. Nasib baik, isterinya sempat membawanya ke klinik berdekatan.
Isteri yang menjadi tunjang
kepada dia. Jika tidak, sudah pasti dia mengambil langkah yang sudah menamatkan
riwayatnya.
“Di dunia ini, masih
banyak kerja yang boleh dibuat. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian.
Tidak kira kerja itu bergaji banyak atau tidak, asalkan kita dapat hidup dengan
sihat dan selamat, sudah cukup. Saya pasti attan
boleh berusaha.”
Kata-kata isterinya sentiasa
memberi semangat. Malah, isterimya juga sudah mula membuat perniagaan kecil-kecilan
secara dalam talian untuk menyara hidup.
Dulu, sewaktu gajinya
berjumlah RM80,000, dia jarang bersama keluarga. Hari lahir anak-anak dan
isteri, langsung tidak pernah bersama. Tapi tahun ini, dia bersama anak-anak
dan isteri. Setiap hari, dia dapat meluangkan masa mendengar celoteh
anak-anaknya.
Dia menjemput penumpang
Grab masuk ke dalam kereta dengan
senyuman dan meneruskan perjalanan ke destinasi. Setiap yang berlaku pasti ada
kebaikan, detus hatinya.
____________________