Raman dan Kultus Guruji

“Keadilan perlu ditegakkan,” tegas Guruji dengan tenang.

Selama sepuluh minit sebelum itu, ketua kultus berkenaan mendengar dengan teliti kes yang diketengahkan oleh sekumpulan ibu bapa. Beliau memberi peluang kepada setiap orang untuk bercakap.

Pertemuan tertutup ini diatur di pejabat Guruji. Raman sengaja tidak diundang kerana menurut Guruji, beliau mahu memberi peluang kepada ibu bapa terbabit mengemukakan aduan secara bebas.

“Mengapa kita perlu memberi ruang dan peluang kepada sesiapa melemparkan tohmahan tentang ahli kultus kita? Tambahan pula, Raman salah satu orang penting dalam kultus ini.”

Demikian pandangan beberapa orang kanan apabila isu mula-mula dibawa kepada perhatian jawatankuasa pengurusan kultus ini yang meneruskan legasi ajaran Guruji Prashamsaneeji (1870-1932).

“Kalaulah ada apa-apa masalah sekalipun, mengapa kita mahu membuka pekung di dada? Nanti orang luar akan seronok mengutuk kultus kita,” kata beberapa lagi pengikut tegar.

Namun begitu, Guruji selaku penerus legasi Prashamsaneeji di negara ini tetap meminta kes disiasat sepenuhnya. Aduan, maklumat, dan hasil siasatan sejak sebulan lalu kini dibawa ke mesyuarat tertutup dengan harapan dapat mencari penyelesaian terbaik.

Biarlah seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

Raman menghadapi sepuluh tuduhan berkaitan kesalahan seksual melibatkan sepuluh remaja lelaki berumur antara 15 dan 18 tahun. Dia yang merupakan salah seorang pendakwah dan penceramah motivasi dalam kultus ini berumur 30 tahun dan masih bujang.

“Apakah hasil siasatan?” tanya Guruji kepada Fedrus yang mengendalikan sesi wawancara bersama remaja terbabit dan ibu bapa mereka.

Fedrus yang juga pendakwah dan pakar motivasi dalam kultus Prashamsaneeji memandang beberapa ibu bapa yang hadir sebelum membuka fail.

“Pada Februari dan Julai lalu, Raman dikatakan melakukan gangguan seksual ke atas tiga remaja lelaki berumur lima belas, enam belas, dan tujuh belas tahun. Kejadian dikatakan berlaku apabila Raman membawa ketiga-tiga peserta kem motivasi anjuran kultus pulang ke rumahnya selepas program tamat,” Fedrus melaporkan secara ringkas kerana berasa kurang selesa untuk memperincikan segala butir di hadapan ibu bapa yang hadir sama.

“Hm,” balas Guruji selepas terdiam seketika dan wajahnya jelas merah padam. “Apa kata Raman?”

“Dia bertegas mengatakan semuanya tidak benar. Tapi …,” Fedrus memandang para ibu bapa sebelum meneruskan. “Ketiga-tiga remaja terbabit menceritakan secara terperinci apa yang dilakukan oleh Raman.”

Guruji menghela nafas sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Sesungguhnya, Raman merupakan antara pengikut kultus kegemaran beliau sejak dia berumur 15 tahun. (bersambung

[Cerpen penuh boleh dibaca dalam buku Sebelas Amanat Swamiji]

Reaksi pembaca beta untuk cerpen ini: [Baca di sini]

Reaksi pembaca beta untuk cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta]

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]