Sindrom M. Night Shyamalan dan Unsur Twist

Filem The Sixth Sense (1999) mencipta fenomena baharu dan masih diperkatakan sehingga kini. Malah, mencipta rekod dari segi kutipan pada tahun itu. Ramai yang memuji twist berupa pendedahan di luar jangkaan pada filem berkenaan. Huraian saya tentang twist dalam cerpen boleh dibaca di sini.

Filem The Sixth Sense dicalonkan bagi lebih daripada 40 anugerah berbeza dalam pelbagai dan menang 17 anugerah, misalnya bagi skrip, lakon layar, pelakon kanak-kanak, pengarah, pelakon pembantu, penyuntingan, dan filem seram.

Akan tetapi, filem-filem seterusnya tulisan dan arahan M. Night Shyamalan kurang mendapat pujian peminat unsur twist dalam karya (filem). Misalnya, Unbreakable (2000), Signs (2002), The Village (2004), Lady in the Water (2006), The Happening (2008), The Visit (20150, Split (2016), Glass (2019), dan Old (2021) gagal memenuhi selera saya.

(Saya belum menonton Trap - spoiler alert - semasa menulis catatan ini.)

Pada penelitian saya, nikmat twist pada filem-filem selepas The Sixth Sense mula berkurangan satu demi satu. Mungkin sahaja M. Night Shyamalan sebenarnya sudah melakukan yang terbaik mengikut kemmapuan.

Namun begitu, pada pandangan saya, khalayak (penonton) meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan mahu menikmati twist yang lebih hebat pada skrip dan filem seterusnya daripada pengarah itu. Tambahan pula, unsur twist sudah menjadi jenama (brand) atau identiti yang mahu “dijual” oleh M. Night Shyamalan.

Sayangnya, akibat harapan yang diletak terlalu tinggi, hasil yang diperoleh kurang memberi nikmat atau keseronokan dan kepuasan mental dan intelektual kepada khalayak. Mungkin kerana mereka (dan saya juga!) ternanti-nanti kehadiran twist, akhirnya kecewa apabila twist pada filem tidak sehebat diimpikan, diharapkan, dan dibayangkan.

Amat nyata – sekurang-kurangnya pada pemerhatian saya sebagai peminat filem thriller, saspens, dan twist – bahawa M. Night Shyamalan terlalu berusaha mengemukakan twist dalam filem sehingga ia menjadi hambar serta kurang berkesan.

Pada pandangan saya, kejayaan The Sixth Sense bukan hanya kerana unsur twist tetapi kerana disekalikan (digabungkan) dengan unsur emosi (perasaan) yang benar-benar menusuk masuk ke dalam jiwa khalayak (penonton).

Kita dapat menjiwai dilema dan emosi watak Cole Sear (Haley Joel Osment) dan Malcolm Crowe (Bruce Willis) sepanjang filem. Dan apabila twist didedahkan, kita benar-benar dapat lebih menjiwai perasaan kedua-dua watak berkenaan.

Maka, sekiranya diamati, perkara yang menjayakan filem The Sixth Sense bukan hanya unsur twist tetapi pembinaan plot – termasuk perwatakan, emosi, jalinan kisah, unsur kemanusiaan – yang akhirnya membawa kepada twist di luar jangkaan.

Oleh kerana M. Night Shyamalan menjanjikan twist dalam filem-filem seterusnya, maka secara logik, khalayak sudah tahu bahawa akan ada twist! Ironinya, memandangkan penonton sudah tahu akan ada twist, maka tentulah tahap kepuasan menonton filem berkenaan akan berkurangan.

Penonton sudah tahu akan ada twist, maka mereka menanti untuk tahu apakah twist itu. Penonton cuba menginterpretasi setiap babak, dialog, latar, dan prop untuk meneka jika ada breadcrumbs tersembunyi di sana. Maka, pengalaman menikmati filem tentu sudah berkurangan.

Saya menamakan situasi ini sebagai “Sindrom M. Night Shyamalan” di mana penulis cuba menampilkan kejutan berupa pendedahan di luar jangkaan dengan twist. Khalayak (penonton/pembaca) pula sudah sedia tahu akan ada twist, maka nikmat twist itu secara automatik sudah kurang.

Penulis pula berusaha lebih keras untuk menyajikan twist dengan cara lain dalam karya seterusnya, tetapi khalayak tetap sudah dapat mengagak. Akibatnya, sindrom itu mengganggu kesihatan mental dan kreativiti penulis. Tahap kepuasan di pihak pembaca pula berkurangan dari satu karya ke karya seterusnya.

Itulah risiko apabila kita (para penulis) hanya mahu menulis cerpen yang ada twist. Apatah lagi jika kita terlalu memaksa diri untuk menghasilkan karya demi karya yang pasti ada unsur twist. Unsur twist yang dipaksa-paksa boleh membunuh sebuah karya yang baik.

Keseluruhan karya yang disajikan kepada pembaca perlukan kelihatan amat spontan; bukan dipaksa-paksa. Kehadiran twist juga perlulah spontan dan bukan dipaksa-paksa. Semua ini bermakna, penulis perlu banyak berusaha dan bekerja keras semasa menghasilkan karya. Tetapi apabila karya siap dan dibaca khalayak, perlulah kelihatan amat spontan.

Pada pandangan saya, kita (penulis) juga perlulah mempelbagaikan gaya penulisan. Jangan terlalu memaksa kehadiran twist. Saya berani katakan demikian berdasarkan pengalaman menulis cerpen sejak awal tahun 1990-an.

Jangan sampai zon selesa (comfort zone) dalam menangani teknik atau gaya penulisan tertentu bertukar menjadi penjara penuh penyeksaan. Atau unsur twist menjadi gimik murahan yang membuatkan pembaca meluat dan menyampah.

Jangan biarkan Sindrom M. Night Shyamalan menjadi halangan kepada anda untuk terus berkarya. Sebaliknya, perhatikan bagaimana Alfred Hitchcock yang digelar “Raja Saspens” tidak terlalu memaksa unsur saspens dalam setiap filem. Baca juga – Petua Menulis Ayat Pertama.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]