Ya, cita-cita saya semasa di sekolah adalah
ingin menjadi pelakon. Pengaruh menonton filem sejak
kecil di pawagam membenihkan cita-cita itu dengan sedar
atau tidak sedar.
Dari umur 5 hingga 10 tahun, M.G.R ialah idola
saya, kemudian Rajinikanth mengambil tempat itu hingga sekarang di samping P. Ramlee,
Rahim Razali, Sylvester Stallone, Roger Moore dan Harrison Ford.
Sering saya melakonkan semula stail-stail dan
dialog-dialog Rajinikanth di rumah setelah menonton filem-filem terbaharu
beliau. Dan biasanya akan dimarahi oleh ibu
kerana tidak menumpukan perhatian pada pelajaran. Ya, saya menyesal sekarang.
Untuk melepaskan ketagihan berlakon itu, saya
mula-mula naik pentas pada umur sembilan tahun di dewan Kuil Sri Maha
Mariamman, Chammang, Bentong, Pahang semasa acara tahunan anjuran Kelab Belia
Hindu. Saya cuma menjadi pengawal yang memegang tombak (kayu) di sebelah watak raja.
Sebenarnya, saya dan abang sudah pun berlatih untuk
sebuah komedi pendek bertajuk “Munumunusami”. Malagnya, oleh kerana masa tidak
mengizinkan, komedi itu terpaksa dibatalkan. Memang sangat sedih, sebab kami berdua
membuat latihan hampir dua minggu untuk persembahan itu.
Walaupun saya naik pentas setiap tahun untuk
acara koir dan pancaragam dari Darjah 5 hingga 6 di sekolah, saya tidak puas
sebab kebolehan saya tidak menonjol. Cuma boleh bangga kerana dapat naik pentas
sahaja.
Saya sentiasa melakonkan gaya-gaya Rajinikanth
di depan cermin dan akan menyanyikan lagu-lagu filem Tamil yang dinyanyikan
oleh S.P. Balasubramaniam, Malaysia Vasudevan, K.J. Yesudass dan Ilayaraja. Ibu
sering memarahi kerana bimbang saya akan tercicir dalam pelajaran. Memang itu
yang berlaku.
Semasa di Tingkatan 3, saya pernah menari disko
secara berkumpulan untuk lagu “The Eye Of The Tiger”. Selepas persembahan, kata bapa, sayalah yang
paling teruk melakukan gerakan. Mungkin gaya Mr. Bean agaknya. Selepas itu,
saya tidak menari lagi.
Bakat nyanyian saya mula terserlah selepas saya
menyertai Persatuan Bahasa Tamil di sekolah ketika berumur 16 tahun. Kami akan
adakan gabungan persatuan antara sekolah-sekolah lain dan akan mengadakan acara
pentas. Saya menyanyi dan berlakon. Tidak ada sesiapa untuk menghalang.
Pada tahun 1985, saya terbaca sebuah iklan di
akhbar Tamil, menyatakan sebuah syarikat penerbitan drama swasta inginkan pelakon
tambahan dan akan mengadakan temuduga pada tarikh tertentu di Bentong. Diminta
bawa bersama gambar penuh ukuran 4R. Saya berbuat demikian. Tetapi penemuduga
tidak datang seperti yang dijanjikan. Kecewa melanda diri saya.
Saya sering juga menunjuk bakat nyanyian dan
lakonan semasa acara Kelab Belia Hindu pada pertengahan tahun 1980-an. Setelah
mula bekerja dan berpindah ke Temerloh, aktiviti seni sudah berkurangan. Hanya
bernyanyi di dalam bilik sahaja.
Kemudian apabila saya memiliki kamera
video pada tahun 1998, saya kembali aktif membuat klip video
bersama-sama rakan seasrama.
Jika saya rajin mencari peluang dalam bidang
ini di Kuala Lumpur, mungkin saya sudah terkenal sebagai bintang artis. Saya
tidak lakukan seperti itu sebab takut akan hilang kerja yang sedia ada dan
bidang seni di tanah air tidak menjanjikan pendapatan tetap ketika itu.
Walaupun saya tidak menceburi bidang perfileman,
bidang penulisan
telah menggantikan tempat itu tanpa disedari.
____________________
Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.