Musnah habis tempat tinggal kami. Ke mana lagi akan kami pergi? Kebanyakan sanak saudara aku sudah mati. Rusa, kera, seladang, kerbau dan babi hutan pun banyak yang sudah mati dalam kebakaran yang melanda hutan ini dua hari yang lepas. Tak tahu berapa ramai antara kami yang sempat lari ke tempat lain.
Aku tercedera. Aku tidak berdaya dan bermaya untuk
bergerak lebih jauh lagi. Biar aku tinggal di sini. Dengan harapan, selagi aku
bernyawa, aku akan tinggal di sini. Air sungai boleh mengalas perut aku.
Mungkin aku boleh cuba makan bangkai babi hutan yang terbakar. Kalau berselera.
Cuaca memang panas, tetapi itu bukan punca kebakaran.
Kami semua tahu ini adalah angkara manusia. Kami nampak dari jauh hari itu.
Sebelum membakar, mereka menebang keseluruhan pokok-pokok kempas yang
tinggi-tinggi dengan jentolak dan jentera pemotong.
Aku tidak tahu mengapa mereka mahu membakar tempat
tinggal kami. Kalau ada hujan lebat turun pada hari itu, mungkin juga dapat
diselamatkan sebahagian kawasan. Hampa.
Anak-anak aku yang empat ekor sudah berlari jauh dari
sini agaknya semasa kebakaran berlaku. Ketika itu aku dan isteri sahaja yang
tinggal. Mungkin mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.
Menyelamatkan diri sendiri adalah penting. Itu hak mereka, lagi pun mereka
sudah besar panjang.
Yang paling menyedihkan adalah kematian isteriku.
Memang pada masa itu anak-anak aku dan saudara-mara yang lain meneriak
memanggil aku dan isteri lari dari sini. Kami mana daya? Isteri aku mati sesak
nafas. Aku terkena percikan bara api di beberapa tempat di badan. Tidak
parah.
Kenapa aku tidak mati bersamanya? Kini aku tinggal
sebatang kara. Biar aku mati sahaja di sini. Kaki aku tidak sekuat dahulu.
Badan lagi luka.
Bagaimana aku
boleh mengejar kerbau atau babi hutan jauh-jauh. Kalau silap sedikit pasti babi
hutan akan menyondol aku terlebih dahulu sebelum aku dapat baham mereka.
Sebelum kebakaran ini pun, aku banyak bergantung kepada anak-anak serta sanak
saudara aku.
Tiada pokok; tiada rumput; tiada belukar dan tiada
tempat untuk berteduh. Semua telah ranap; hancur, hangus dan musnah. Tiada lagi
warna hijau menyejukkan mata dan diri. Tinggal warna hitam, berbara dan berasap
mengganggu rongga dan hidung.
Aku terbatuk-batuk. Tekak rasa sungguh kering. Aku
tidak dapat bergerak banyak. Badanku masih sakit dan lemah. Tanah masih berapi;
panas. Aku cuma berselindung di sebalik batu besar di kawasan air terjun. Ini
untuk memudahkan aku mengalas perut.
Biasanya terdengar juga bunyi kicauan burung di atas
kepala dan bunyi cengkerik. Kini semua telah lenyap. Pasti mereka pun telah
mati atau pun berhijrah. Sunyi sepi.
Terdampar mayat
isteri dan bangkai rakan-rakan aku yang lain di sana-sini. Cuma beberapa bangkai
babi hutan kelihatan tidak jauh dari sini. Mungkin ia cukup untuk aku sementara
waktu. Aku tidak pernah makan daging terbakar sebelum ini. Tidak tahu sedap,
boleh telan atau tidak.
Aku perlu turun
dapatkan air terlebih dahulu. Walaupun perut terasa lapar, aku tidak berselera
untuk makan. Badan aku sungguh lemah. Aku keluar dari tempat perteduhan. Lereng
bukit nampak agak curam. Dahulu memang tidak boleh turun begini. Harus melepasi
pokok-pokok buluh dan pokok-pokok kempas, baru dapat sampai ke kawasan air
terjun. Kini tidak perlu begitu. Semua tinggal tunggul-tunggul arang sahaja.
Aku menuruni lereng bukit dengan sedikit
menggelongsor. Badan serta kesemua kakiku sudah menjadi hitam. Belang dan warna
oren badanku kelihatan pudar. Mungkin tidak lama lagi aku akan menyamai harimau
kumbang.
Nasib baik manusia tidak mengapa-apakan air terjun dan
sungai ini. Aku minum air sungai, sejuk segar dan damai.
Deras air yang
laju ketika ini dapat hilangkan tempiasan abu yang terjatuh ke dalam sungai. Aku
membenamkan badan aku beberapa ketika di dalam air yang sejuk. Luka akibat terbakar,
memedihkan. Aku biarkan sahaja. Bunyi air terjun mendamaikan sedikit hati aku
yang sedang bergelojak. Haauummm!
Sungguh segar. Hilang sedikit warna hitam dari badanku. Aku bangun lalu
menggoyang-goyangkan badan aku supaya mudah kering. Aduh! … Pedih.
Aku kembali naik ke tempat perteduhan aku dengan
perlahan. Abu dan arang hitam lagi mudah lekat pada kakiku kerana basah. Hitam
pun hitamlah. Aku duduk terjelupuk. Badanku tidak kering sepenuhnya. Aku
menjilat-jilat bahagian badan setakat yang boleh. Hari sudah hampir malam. Esok
akan keringlah. Aku amat letih, mengantuk.
Sumi, rupanya amat cantik. Memang
terdapat ramai gadis-gadis rimau di belantara ini nampak seakan-akan sama. Tapi
pada firasat aku sahaja yang tahu mana gadis rimau yang cantik dan berkelakuan
baik. Ramai juga jejaka rimau yang meminati Sumi. Dan mereka sudah pandai mengurat
Sumi dan mengajak untuk mengawan. Nasib baik Sumi tidak seperti gadis-gadis
rimau lain. Dia tidak mudah tertawan dengan jejaka rimau yang pandai menggoda.
Boleh dikatakan akulah adalah antara
jejaka rimau yang paling kacak di belantara ini. Air sungai adalah saksi.
Perbuatan rimau-rimau jantan di belantara ini membuatkan aku marah. Namun aku
tidak menunjukkan kemarahan itu dengan begitu mudah. Cuma aku akan mendekati
mereka. Mereka tidak akan berganjak menghampiri Sumi.
Daripada jelingan mata Sumi, aku
tahu Sumi memang cintakan aku. Aku gembira.
Dan tiba juga masanya untuk aku
mengurat Sumi. Aku tidak gelojoh untuk mengawan. Biar bibit-bibit cinta
berputik indah di sanubari kami. Kami cuma bercium dan jilat-menjilat sesama
kami. Memang sungguh indah pengalaman cinta ini. Sungguh indah. Sumi …
Sumi. Sumi … aku cintakanmu,
Sumi.
Aku terkejut. Bangun. Tidak ada
Sumi di sampingku. Aku bangun dari tempat perteduhanku. Terasa ingin melihat
kembali mayat Sumi. Aku naik ke atas mencari semula mayat Sumi. Bau bangkai
saudara mara aku dan haiwan-haiwan lain meloyakan tekak. Sumi. Di mana kamu,
Sumi?
Aku tidak boleh biarkan kamu
terdampar di sini sebagai bangkai hina seperti mereka yang lain. Mayat Sumi
hampir hitam keseluruhan badan. Nasib baik dia tidak mati hangus. Tidak ada
kesan terbakar di badannya.
Air mata aku tiba-tiba turun
perlahan-lahan meleleh dari mataku. Aku menarik Sumi menggunakan gigi hadapan
seperti mengambil anak-anak kami sewaktu mereka kecil. Berat. Biar berat. Demi
Sumi aku sanggup segalanya. Aku menarik bahagian ekornya perlahan-lahan.
Aku tarik dan menjauhkan mayat
Sumi daripada bangkai-bangkai yang lain.
Aku memerhatikan sebentar mayat
Sumi. Entah untuk berapa lama lagi aku boleh melawat tempat ini. Semoga selagi
hidup aku dapat menziarahi “kubur” Sumi. Aku menangis sebentar memerhatikan
Sumi yang tidak bernyawa. Aku baring disampingnya untuk beberapa ketika sebelum
beredar dari situ. Sebak rasa hati. Sedih.
Aku pergi semula ke tempat
perteduhan dan baring di situ. Aku perlu berehat dan tidur untuk beberapa
ketika. Sumi datang bertalu-talu di depan mata. Anak-anak aku yang sudah besar
panjang turut berlegar di depan mata. [Bersambung esok]
____________________