Aral


Begitu banyak idea dalam kepala. Hari ini pasti dia akan menghasilkan cerpen yang sudah lama tidak dapat ditulis. Semasa mandi selepas berjoging pagi tadi, dia begitu seronok. Kepalanya penuh dengan isu, plot dan konflik cerpen yang sudah dirancang dengan teliti. Dia merancang untuk menaip selepas bersarapan.

‘Hari ini aku pasti akan menyiapkan cerpen ini,’ fikirnya. Sudah tertangguh beberapa hari. Cerpen yang penuh saspens. Cerpen ini akan menjadi pilihan editor dan disiar dalam edisi akan datang Majalah RXZ.

Secawan kopi panas disediakan. Kopi dapat mencetuskan idea baginya. Itu tanggapan dia. Memang sejak dulu dia suka menulis sambil minum kopi. Kadang-kadang lima hingga enam cawan kopi dihabiskan dalam masa empat jam.

Komputer riba sudah dibuka. Skrin kosong Microsoft Word menantikan susunan perkataan dan luahan idea daripadanya. Sebuah buku nota dan sebatang pen diletak bersebelahan komputer riba untuk membuat catatan.

Dia mula menaip, ‘Aku…’ dan terus terhenti. Dia meneruskan, ‘Aku bergegas dan…’. Terhenti. Semuanya hilang. Dia menekan kekunci Delete dan memadam semua perkataan yang ditaip tadi. Skrin kosong di hadapan mata ditatap.

Hampir dua jam dia duduk di hadapan komputer riba di meja kerja. Kopi panas tadi sudah menjadi sejuk. Haruman kopi Arabica yang disediakan juga tidak dapat memberikan sebarang inspirasi pada kali ini.

Dia memandang ke luar melalui pintu gelangsar dan melihat tumbuh-tumbuhan hijau di halaman rumah. Pokok betik sudah mula membuahkan hasil tetapi pokok pisang masih tidak membesar. Kedua-duanya ditanam pada masa yang sama. Pokok mangga pula penuh dengan buah tetapi tidak dapat dipetik kerana pokoknya terlalu tinggi.

Ada bunga raya berwarna merah, putih dan jingga. Mekar dan cantik. Semuanya menyejukkan mata tetapi tidak memberi sebarang idea untuk menulis. Dia meletakkan tangan di atas kepala dan menghela nafas panjang.

Kicauan burung pula kedengaran. Dia menutup mata dan menghayati kicauan tersebut sambil meletakkan kepala pada bahagian atas kerusi. Selepas beberapa minit, dibeleknya antologi Landasan Hidup yang juga memuatkan cerpen yang ditulis olehnya. Beberapa muka surat dibaca secara rawak. Dia ingin mendapatkan idea. Kemudian, ditutup dan diletakkan di atas meja.

Dia mengalihkan komputer riba dan meletakkan kepala di atas meja kerja. Kepalanya terasa berat memikirkan cerpen yang akan ditulis. Sesekali kedengaran bunyi pengisar makanan dari rumah jiran dan bunyi kenderaan yang lalu-lalang di tepi rumah.

Tiba-tiba, dia mencelikkan mata. Dia mendekatkan komputer riba dan mula menaip semula, ‘Aku…’ Itu sahaja yang dapat ditaip dan terus terhenti. Dia menyambung, ‘Aku bergegas keluar dengan membawa …’

Badannya ditegakkan. Kerusi didekatkan dengan meja. Dia mula menekan kekunci pada komputer riba. Sekali-sekala dia berhenti dan membaca apa yang ditaip. Dia meneruskan. Begitu pantas. Segala kesilapan akan dibaca dan dibetulkan kemudian. Dia tidak mahu sebarang halangan pada kali ini.

Akhirnya, dia menaip perkataan ‘TAMAT’ pada hujung cerpen. Siap juga cerpen yang diilhamkan olehnya sejak beberapa hari yang lalu. Enam jam di hadapan komputer telah membuahkan hasil. Petang nanti selepas membaca dan mengedit, dia akan mengirim cerpen tersebut kepada editor.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.