Oh, Jantung Hati 2018


Saya menghidupkan enjin. Masih sangat lancar seperti dahulu.

“Adakah ini kereta baharu?” tanya kawan yang mengiringi saya.

“Oh, tidak. Ini kereta lama saya. Saya berhenti memandunya kerana terlalu besar. Tinggi penggunaan petrol dan mahal juga. Sebab-sebab biasa,” saya menjawab sambil tersenyum.

”Mengapakah kamu memandunya hari ini?” Kawan saya bertanya dengan perasaan hairan.

Parti menelefon saya, menyatakan dia kurang sihat. Saya tidak dapat keluar dengan segera kerana saya masih di kelas. Saya pergi kemudian,” saya cuba menerangkan kepadanya.

“Dan …,” dia menarik panjang.

“Dia di unit kecemasan IJN. Dia menunggu untuk dihantar ke Unit Penjagaan Jantung (CCU),” saya menjelaskan lagi.

“Oh! Apakah yang telah berlaku?” Perasaan ingin tahunya masih membuak.

“Saya kurang pasti. Gaya hidup sedentari, banyak merokok dan makanan tidak terkawal. Doktor kata serangan jantung. Tidak begitu serius kerana dia cepat datang ke hospital,” saya memberitahunya dengan lebih lanjut.

“Oh, bagaimanakah keadaannya sekarang?” tanyanya.

“Dia berasa pening dan badannya dipasang pelbagai wayar dan ubat titisan melalui tiub. IJN yang terunggul di negara ini. Pasti dia diberi penjagaan yang baik.”

Dalam menerangkan situasi kepadanya, saya terfikir mengapakah saya berada di sini. Perlukah saya pergi membantunya setiap kali? Membayangkan isu-isu yang kami hadapi?

Hm … Saya masih perlu menandatangani dokumen pembedahan kerana saya sebagai kakitangan kerajaan menjadi penjaminnya di hospital ini.

Dan, rasanya saya juga perlu berperikemanusiaan kerana kita memang perlu bantu-membantu walaupun tidak dapat bergaul mesra kerana terlalu banyak percanggahan pendapat.

“Berjayakah anda memandu kereta besar itu? Cerminnya pula gelap sangat!” Itu soalan seterusnya.

“Oh, ya! Saya dapat menyesuaikan diri dengan serta merta. Saya masih ingat cara memandunya dan kami masih mesra,” saya menjawab sambil ketawa.

“Jururawat telah memberikan barang-barangnya kepada saya. Dia cuma melihat saya pergi. Kelihatan air mata bergelinangan dari tepi mata kanannya. Mungkin dia takut. Mungkin dia bimbang akan prosedur-prosedur yang sedang dilakukan,” katanya lagi.

“Saya rasa tidak, dia lebih suka berdikari, malah benci sekiranya persekitaran riuh-rendah dan banyak orang. Bukan itu sahaja, sesiapapun tidak dibenarkan di dalam CCU,” saya menjelaskan.

“Mungkinkah dia bimbang akan barang-barangnya? Dompetnya padat dengan wang. Atau bimbang sesuatu akan terjadi,” kata kawan saya lagi.

“Saya rasa dia sedar wang yang banyak tiada kegunaannya di sini. Ketiga-tiga telefonnya tidak boleh digunakan juga di CCU.” Saya tersenyum sinis tanpa menyedarinya dan membetulkan senyuman saya dengan cepat.

“Er, saya kurang pasti. Tetapi saya rasa sesiapapun akan rasa tergugat dan bimbang apabila berlaku ancaman kepada nyawa. Saya harap semuanya dipermudahkan untuknya. Dia bukan musuh ataupun rakan yang akrab. Kadang kala boleh menjadi kawan tetapi amat jarang sekali kerana dia seorang yang antisosial dan tiada kemahiran berkomunikasi yang menjadikannya seorang yang duduk menjeling dari sudut bilik. Dia juga mudah salah faham akan bahasa badan kita dan sering marah tanpa sebab. Walau bagaimanapun, saya harap dia pulih dan dapat hidup yang lebih bermakna!” Saya memberitahu sambil mengeluh.

Rakan saya membalas dengan berkata, “Saya juga akan mendoakannya.”
Saya mengucapkan terima kasih kepadanya.

Ini serangan jantung kedua bagi suami selepas sembilan tahun. Apabila saya memikirkan punca berlakunya serangan jantung, berbalik juga kepada gizi pemakanan dan gaya hidupnya.

Tabiat merokok tidak dapat dilepaskan. Makan dan tidur juga tidak teratur. Memang terang lagi bersuluh inilah punca-punca serangan jantung namun manusia sukar mengubah amalan yang sudah menjadi nafsu yang tidak dapat dikikis. Moga-moga selepas ini dia mengubah cara hidupnya.

VK Ezhilarasi seorang pesara guru berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik hasil daripada pengalaman membantu ibu dan bapa tunggal untuk menjaga anak-anak mereka. Antara karya Ezhilarasi ialah rencana dan cerpen yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Siswa. Hasil karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020). Baca lebih banyak karya Ezhilarasi di sini.