Appoi

“Oi budak, bangun! Buat apa tidur di sini? Ini bukan rumah kamu. Bangun!”

Dia terkejut dan terjaga. Badannya terasa amat penat dan sakit. Hari masih belum cerah lagi. Sejuk pagi membuatnya menggigil.

Nampaknya mereka hendak membuka warung makan itu. Dia tidak boleh tidur lagi. Perutnya pula amat lapar. Dia cuma ingat, malam tadi dia merapatkan dua meja makan dan berbaring di atasnya. Selepas itu, dia terus terlena. Dia terlena dalam kelaparan. Lapar yang teramat.

Dia tidak bangun tergesa-gesa dan melarikan diri. Dia bangun dari meja itu dan menggeliat. Ada keangkuhan dalam geliat itu. Tuan punya warung, Pak Karim memandang tajam ke arahnya.

“Kamu tak ada rumah nak tidur? Kedai aku, apa kamu ingat, hotel?” Pak Karim mendengus.

 Isteri Pak Karim, Mak Rohani melihat budak itu tetapi bergegas ke belakang untuk memulakan kerja memasak. Dia tidak ada masa untuk melayan mereka berdua.

“Kamu tak ada rumah?” tanya Pak Karim lagi.

Budak itu bangun dan duduk di kerusi plastik sambil mengenyeh-ngenyeh mata.

“Ada.”

Dia masih mengantuk. Di wajahnya langsung tidak ada tanda-tanda takut atau rasa bersalah. Pak Karim dapat rasa ada yang tidak kena dengan budak itu.

“Kamu dihalau keluar dari rumahkah?”

Budak itu tidak menjawab. Dia hanya duduk menggaru-garu kaki. Dia mencari selipar di lantai lalu memakainya. Dia masih duduk.

Mak Rohani sedang memasak nasi lemak. Kemudian dia akan masak kuetiau dan mihun goreng. Kuih-muih akan ada orang hantar nanti. Dia harus percepatkan kerjanya. Pak Karim hanya tahu bancuh minuman dan basuh pinggan mangkuk sahaja.

“Tak ada sesiapa pun yang halau saya,” budak itu menjawab dengan acuh tak acuh.

“Apa nama kamu?” Pak Karim bertanya dengan geram.

“A … Appoi,” jawabnya sambil duduk menegak di kerusi.

 Pak Karim beredar dari situ lalu melihat air yang sedang mendidih. Pak Karim rasa hendak melempang sahaja budak itu, namun dia bersabar. Dia kemudian membetulkan kerusi dan meja sambil meletakkan bekas berisi sudu dan garpu di setiap meja.

“Kenapa nama kamu macam nama orang Cina? Memang itu nama kamu?”

“Nama sebenar saya Saravanan. Orang panggil saya Appoi.”

“Hmm … berapa umur kamu?”

“Lima belas.”

Bau enak nasi lemak membuatkan perut Appoi menjadi bertambah lapar. Dia harus menjamah sesuatu. Apa-apa pun boleh.

“Tak pergi sekolah?”

“Tahun lepas saya dah berhenti.”

“Mengapa berhenti?”

“Tak suka,” Appoi menjawab tanpa memandang Pak Karim. Dia seperti memikirkan sesuatu.

Ada tiga orang pelanggan datang menarik kerusi untuk duduk sambil memandang pada Appoi dan Pak Karim. Pak Karim pergi sebentar melayan mereka, namun matanya tetap melirik ke arah Appoi. (Cerpen penuh dalam antologi Seruling Malam)

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Sila klik di sini untuk lebih banyak karya Mahendran.]