Saya memang tertarik dengan kisah Guluji. Kisah-kisah yang cuba disampaikan seperti biasa berlaku dalam kalangan segelintir masyarakat yang menjadi pengikut ajaran individu tertentu. Perenggan awal cereka “Menghadiri Ceramah Khas Datuk Guluji” telah menarik minat saya kerana situasi yang disampaikan seakan-akan situasi sebenar yang biasa berlaku dalam perjumpaan sebegini. Saya rasa Uthaya Sankar SB cuba menarik minat pembaca dengan memprovokasi soalan kepada Guluji. Ini membuatkan saya berminat untuk terus membaca cerpen ini dengan penuh minat.
Saya tiada masalah dengan kosa kata yang digunakan malah berasa kagum dengan cara penulisan penulis yang mampu menyampaikan isu-isu sebegini dengan jelas dalam Bahasa Malaysia. Saya suka cara penulisan cerpen ini dan terus membaca dari awal hingga akhir. Penyampaian secara santai tetapi membuatkan pembaca berfikir secara logik sekiranya diberi penelitian.
Watak Guluji mungkin rekaan semata-mata tetapi apa yang dilakukan oleh Guluji adalah seperti perlakuan segelintir ketua-ketua persatuan, unit, atau cabang institusi agama yang wujud di dunia ini. Cerpen ini membuatkan saya sebagai pembaca berfikir tentang ketelusan individu-individu yang menerajui institusi sebegini.
Saya memang kerap membaca kisah-kisah sebegini. Sememangnya, setiap pembaca wajar berfikir dan mencari serta mengkaji sejarah individu yang menerajui institusi sebegini sebelum menjadi “pengikut” mereka. Janganlah menerima sebulat-bulatnya apa yang disampaikan oleh watak seperti Guluji. Pendedahan oleh watak Asharani seharusnya menjadi pengajaran kepada pembaca yang menjadi mengikut golongan guluji tanpa sebarang pegangan hidup.
Sebenarnya, cerpen ini menarik bagi saya kerana membuatkan saya berfikir. Saya rasa pembaca yang membaca cerpen ini akan berasa was-was terhadap individu-individu yang menjadi ketua institusi dan cuba menyampaikan kata-kata hikmat kononnya daripada Tuhan atau para dewa. Pembaca harus lebih peka dengan keadaan semasa di mana ramai individu sebegini muncul dengan mendadak seperti cendawan selepas hujan. Ada beberapa bahagian dalam cereka ini yang disampaikan dengan “jijik” atau “kurang senonoh” untuk memberi pengajaran kepada para pembaca dengan bahasa yang lembut.
[Anuradha Chelliah, seorang guru dari Banting, Selangor, pernah menjadi pembaca beta bagi cerpen “Guruji dari Jaisalmer”, “Anak Bunian”, dan “Scammer”. Beliau giat menulis puisi dan cerpen Bahasa Malaysia dan Inggeris, serta meminati cerpen dan novel Tamil yang diterjemah kepada bahasa Inggeris. Tulisan Anuradha di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]
Reaksi pembaca beta bagi “Guruji dari Jaisalmer” – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]