Maznah tidak sangka yang dia akan bekerja di kilang papan yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Selama dia berulang alik naik basikal ke sekolah menengah yang tidak jauh dari kilang itu, pemahamannya ialah hanya orang bodoh atau tidak pintar yang sedang dan akan bekerja di kilang itu. Orang seperti dirinya yang cantik dan lawa tidak sesuai menjejakkan kaki di kilang berhabuk seperti itu.
Kini semua telah berubah. Cita-citanya untuk
menjadi guru telah musnah sama sekali. Dia tidak sangka yang dia akan gagal
dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik. Semasa peperiksaan
percubaan pun dia mendapat C6 untuk Bahasa Malaysia dan P7 untuk Matematik.
Dia cuma mendapat kepujian dalam empat mata pelajaran.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggagalkan dirinya untuk memohon ke
Maktab Perguruan. Untuk menjadi guru sandaran pun keputusan itu tidak membantu.
Maznah malas dan malu untuk mengulang semula kelas Tingkatan
Lima. Dia bercadang untuk ambil Kertas Julai ataupun menduduki peperiksaan SPM
pada tahun itu tanpa memasuki kelas. Itu yang difikirkannya. Dia tidak mahu
mendengar nasihat atau bebelan ibunya yang hendakkan Maznah mengulang semula di
sekolah.
Bapanya tidak ambil kisah pun. Bapanya lebih senang
habiskan masa bersama kawan-kawannya di kedai kopi. Dia lebih suka menunaikan
tanggungjawab batin terhadap isterinya hingga dikurniakan lapan orang anak.
Maznah adalah anak ketiga.
“Nak mengulang pun tak mahu. Bagaimana kamu akan
lulus penuh nanti dalam SPM?” Ibu Maznah sudah mula berleter.
“Saya akan belajar dari rumahlah, mak.”
“Belajar dari rumah, kata engkau? Nak jadi cikgu konon. Bahasa sendiri pun tak
lulus.”
“Manalah saya tahu, mak. Biasa saya lulus sahaja. Mungkin
pemeriksa kertas saya tak periksa betul-betul.”
“Yalah tu. Pemeriksa kertas awak tu dah tertidur
masa baca kertas kamu.”
Maznah terasa dengan sindiran ibunya. Malah adik-beradiknya
yang lain pun sangat hairan dan ada juga yang menyindir akan kegagalannya.
“Jadi awak nak duduk di rumah goyang kaki sehingga
SPM tahun ini?” Ibunya menyoal.
Maznah tidak tahu apa yang perlu dijawab untuk
soalan itu.
“Wei, Maznah! Saya sedang tanya engkaulah ini. Yang
kamu mengelamun tak tentu pasal, kenapa?”
“Ya saya akan ulang kaji pelajaran dari rumahlah,
mak. Berapa bulan sahaja lagi.”
“Saya tak percaya kamu boleh belajar begitu.”
“Lepas tu, mak suruh saya belajar cara mana pulak?”
“Daripada kamu tak buat apa-apa, baik kamu pergi
kerja di kilang papan tu. Ada juga faedahnya.”
“Tak mahulah mak. Malu saya.”
“Apa yang nak dimalukan? Bukankah Pak Usu kamu pun
kerja di situ.”
“Tak mahulah, mak. Pak Usu tu sekolah darjah enam
pun tak lepas. Dia takpalah kerja di situ.”
“Oh, kamu ingat SPM kamu tu bagus sangat hingga
boleh hina Pak Usu kamu, ya?”
“Bukan begitu, mak!”
“Dahlah masa tunggu keputusan pun kamu lepak di
rumah baca buku cerita saja. Baik kamu pergi kerja kali ini. Jangan jadi macam
bapa kamu. Sekejap kerja itu, sekejap kerja ini, lepas tu tak kerja apa-apa.
Baik kamu pergi kerja, boleh juga beli barang dapur.”
Maznah tidak sangka apa yang dipandang rendah
selama ini, itu juga yang akan jadi sebahagian dari hidupnya.
Di kilang papan itu majoriti pekerja India, baik perempuan
atau lelaki berhempas pulas siang dan malam. Pekerja Melayu ada empat orang.
Orang Cina cuma tiga orang, itu pun di pejabat dua orang dan seorang lagi bawa
forklift.
Pada permulaannya Maznah agak segan dan kekok lagi
rasa susah untuk adaptasikan dirinya dengan alam pekerjaan yang agak payah itu.
Lama kelamaan dia sudah menjadi biasa. Walaupun gajinya cuma dua ratus dua
puluh ringgit sebulan, Maznah tetap gembira.
Pergaulan dengan kaum India setiap hari dirasakan
sungguh menyenangkan dirinya. Banyak perkara yang dipelajari baik dari segi
bahasa mereka hinggalah tentang budaya dan adat resam. Ini dia tidak pelajari
di sekolah.
Selepas balik dari kerja, Maznah tidak lupa
menunaikan tanggungjawab sebagai calon SPM. Ibunya juga kagum dengan anaknya
yang bersungguh-sungguh bekerja, sambil itu pelajarannya pun tidak
ditinggalkan. Ibunya menyuruh adik-beradiknya yang lain termasuk bapanya
mencontohi Maznah.
Maznah pun meraih keputusan cemerlang dalam
peperiksaan tahun itu dan mendapat tempat di Maktab Perguruan berdekatan. Dia
masih menemui rakan-rakan yang bekerja kilang semasa cuti semester.
Maznah pun ditempatkan di sebuah sekolah Tamil di
ladang getah semasa melakukan praktikal perguruannya. Dia mengajar Bahasa
Malaysia untuk kelas Tahun Enam. Dia tidak sangka kini akan mengajar mata pelajaran
yang dia pernah sekali gagal dahulu.
“Selamat pagi, cikgu!”
“Selamat pagi, murid-murid.”
Maznah mengajak murid-murid perkenalkan diri dan
menceritakan latar belakang masing-masing.
Semasa sesi ini berlangsung, dua murid lelaki yang
duduk di bahagian belakang berbisik sesuatu dalam bahasa Tamil. Cikgu Maznah
menyuruh mereka berdua bangun.
“Apa kamu berdua berbisik di belakang sana?”
“Takda apa, cikgu.”
“Takda apa, cikgu.”
Murid-murid yang lain ketawa.
“Kamu cakap cikgu ini sangat cantik, bukan? Enakku
Tamil teriyum, teriyuma?”
sambung Cikgu Maznah lalu tersenyum.
Terbeliak biji mata kesemua murid di dalam kelas
itu.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil
sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan
cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021)
kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan
(Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih
memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]