Saya mula mengenali dan membaca tulisan Uthaya Sankar SB sejak 2014, iaitu sedekad lalu. Pada masa itu, saya hanya membaca tulisan beliau melalui paparan di Facebook dan blog peribadi.
Setiap kali membaca cerpen Uthaya, pasti ada
sesuatu yang tidak dapat dijangka. Cerpen beliau penuh dengan saspens. Pembaca
pasti menunggu untuk sesuatu yang tidak diduga dan mungkin akan diberi kejutan
(shock) di akhir pembacaan. Saya
sebagai pembaca pernah “tertipu” beberapa kali melalui cerpen beliau. Saya rasa,
pengalaman pembacaan seperti inilah yang dinantikan oleh pembaca berfikiran di
luar kotak.
Cerpen “Surat dari Madras” dimuatkan dalam buku Surat dari Madras (1999) bersama 15
cerpen lain. Apabila melihat tajuk cerpen, saya beranggap akan membaca satu
surat biasa daripada seorang kekasih, ibu, bapa, atau rakan kepada seseorang.
Namun, apa yang disajikan menerusi cerpen ini tidak seperti yang dijangkakan.
Permulaan cerpen dengan beberapa dialog serta penuh
dengan adegan saspens membuatkan saya berminat untuk meneruskan pembacaan.
Dialog akan berakhir dan pembaca dibawa ke satu situasi lain. Ada beberapa plot
seperti ini di dalam cerpen ini. Beberapa watak seperti posmen, cikgu, dan
inspektor memainkan peranan penting dalam cerpen ini. Setiap watak diberi
keutamaan.
Watak Ramani menantikan surat daripada rakannya,
Syahrul, dari Madras. Syahrul sudah berjanji akan mengirim surat sebelum datang
ke kampung Ramani.
Ramani pula seorang yang buta huruf.
Bagaimanakah Ramani membaca dan membalas surat Syahrul? Siapakah yang membantu
Ramani? Persoalan yang menarik, sekali gus menarik minat pembaca.
Syahrul sudah sampai di kampung Ramani, namun
surat yang dikirim olehnya tidak pula diterima oleh Ramani. Apakah yang
berlaku? Di manakah surat yang dikirim oleh Syahrul?
Cerpen “Surat dari Madras” mula-mula dimuatkan
dalam antologi Tidak Selamanya Indah
(1993) selenggaraan Othman Puteh. Karya ini yang ditulis
pada awal tahun 1990-an — iaitu lebih 30 tahun lalu — pasti memberikan plot twist kepada pembaca yang sentiasa
inginkan kelainan dalam pembacaan cereka.
[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau
mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan
pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran
Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau
termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan).
Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan
boleh dibaca di sini.]