Rameshwaram, 31.05.2024
Dari Ramanathapuram, kami menuju ke Rameshwaram.
Untuk menuju ke setiap desitinasi, ia memakan masa dua hingga tiga jam. Itu pun,
jurupandu kami Raaji membawa keretanya dengan laju. Jika tidak, pasti akan
mengambil masa yang lebih. Setiap kereta, bas, lori dan auto rikshaw dipotong
dengan penuh yakin. Mereka akur dan memberi laluan apabila hon dibunyikan.
Mereka bersefahaman dan tidak marah.
Setiap kali kami ke sesuatu destinasi, Raaji akan
tanya kami, “Ok, polaanggalaa?” (Boleh mulakan perjalanan?) Ini adalah
kata-kata memberi semangat. Saya memang sudah keletihan. Cuaca pun panas sama
seperti di Malaysia. Lagipun, kami masih belum berehat sejak jam 3 pagi waktu
Malaysia.
Kami berhenti di pertengahan jalan untuk menimati
teh di sebuah Tea Stall yang kecil. Walaupun teh yang diberi dalam gelas
tidak penuh, rasanya sungguh sedap dan menyelerakan. Di India, 100% mereka
menggunakan susu lembu/kerbau untuk membancuh teh dan kopi.
Kami tiba di mainland India, Rameshwaram selepas sejam lebih.
Waktu pun sudah hampir jam lima petang. Kami
menerusi ‘Pamban Paalam’ (Jambatan Pamban) menyeberangi laut ke pulau
Rameshwaram/Pamban.
Di bawah jambatan jalan raya sebelah kanan,
kelihatan laluan keretapi di atas jambatan. Kami tidak nampak keretapi ketika
itu. Raaji kata, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan pada trek jambatan
tersebut. Jambatan keretapi itu dikatakan siap dibina oleh British pada tahun
1914. Jambatan itu akan terbuka dua belah pada bahagian tengah, apabila kapal
melalui jambatan tersebut.
Selepas menyusuri 2.2km di atas jambatan, kami pun
tiba di pulau Rameshwaram. Di sebelah menyebelah jalan raya pulau itu, kelihatan
laut berwarna hijau. Suatu pemandangan yang amat asing dan baru bagi saya.
Raaji menurunkan kami di suatu kawasan pantai. Kelihatan bot-bot nelayan, nun
jauh di sana.
Jauh antara Rameshwaram dan Sri Lanka adalah lebih
kurang 50 km. Tidak ada jalan/jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara ini.
Di pantai tersebut, kelihatan sebuah gereja lama
yang tinggal bahagian-bahagian dinding sahaja. Kebanyakan pengunjung sedang
bergambar di situ. Ramai juga penjaja menjual barang-barang perhiasan dan
kenangan seperti sanggu (keong) dan rantai. Saya tidak menaruh minat
untuk membeli barang-barang seperti itu kerana tidak minat. Lagipun, ia akan
menyemakkan tempat dalam bagasi, bila pulang nanti.
Suasana pantai yang berangin, melegakan sedikit
badan kami yang sudah pun melekit-lekit. Badan saya mengajak untuk dimandikan
segera.
Selama sejam menghabiskan masa di pantai tersebut,
kami kembali semula ke mainland Rameshwaram. Sebelum kami pergi ke
hotel, kami singgah di kuil Rajakaaliamman. Sebuah kuil lama yang tidak berapa
besar. Terdapat berhala Kaali yang besar di kuil tersebut dan juga boleh
melihat keajiaban batu terapung di sebuah telaga kecil di situ.
Selepas bersembahyang sebentar di situ, saya dan
Raymond kembali ke kereta. Sebelum memasuki kuil, Raymond memakaikan veshti kerana
semasa menaiki pesawat dari Kuala Lumpur Raymond berseluar pendek sahaja. Saya
berseluar panjang. Tanpa veshti atau seluar panjang, pengunjung tidak
dibenarkan masuk ke dalam kuil.
Raaji membawa kami terus ke Hotel Arjunaa di
pekan Rameshwaram. Hotel itu tersergam indah jauh sedikit daripada kawasan
bandar. Raaji beredar untuk berehat.
Kami dapat bilik di tingkat bawah. Keadaan dalam
bilik memang menarik. Terdapat single bed yang besar.
Setelah mandi dan berehat sebentar. Kami ke
restoran di hotel tersebut. Saya dan Raymond memilih untuk makan makanan nabati
sahaja. Makanan seperti tose dan capati memang menyelerakan dimakan bersama
kuah kacang dal dan kuah-kuah yang lain.
Selesai makan malam, kami berdua keluar dari hotel
dan bersiar-siar di luar. Oleh kerana tidak ada kedai-kedai di kawasan situ,
kami pun berpatah balik dan duduk di ruang lobi hotel dan berborak-borak,
mengimbas semua kejadian sejak dari pagi.
Kemudian, kami kembali ke dalam bilik, menonton
siaran tv. Mata sudah mengantuk. Kami menetapkan pukul 4 pagi pada penggera di
telefon bimbit masing-masing.
Esok kami ada ‘kerja besar’ untuk dilaksanakan. (bersambung)
(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]