Rumah
kami kini dihuni warga asing. Pekerjaan kami diambil alih tanpa izin.
Tangan-tangan kami yang dahulu menghiris halus kulit pokok getah baka para dianggap tidak berguna lagi.
“Nasib
kita serupa sahaja.”
Demikian
rintih ibu yang belajar menoreh pada usia lima tahun. Ibu duduk di bawah pokok
getah tua yang menunggu untuk mati. Pokok itu pernah ibu toreh sedikit demi
sedikit.
“Engkau
dan aku — dan anak-anak kita — tidak dihargai. Beza kita hanya satu: Darah
engkau putih dan darah kami merah.”
Ibu
menangis tersedu-sedu sebelum memeluk pokok getah dan terkenang akan saat
bercinta penuh harapan pada usia remaja.
Ayah
juga hampir tiga puluh tahun bekerja di ladang getah sebelum nyawa diragut sang
belang. Seekor Harimau Malaya yang lari dari hutan yang dibersihkan atas nama Dasar
Ekonomi Baharu.
“Nasib
kita serupa sahaja.”
Demikian
kata sang harimau yang duduk tidak jauh dari ibu. Setelah ayah dibunuh, ia kami
buru siang dan malam. Harimau Malaya hilang tanpa jejak. Khabarnya, dilindungi
kuasa istimewa.
Dan
kini, sang harimau yang tidak bertaring dan tidak berkuasa, duduk bersama-sama
kami di atas bukit. Sama-sama menanti untuk mati di celah-celah pokok getah yang
semakin kering.
Di
bawah sana, rancangan sedang diatur oleh kuasawan dan usahawan untuk meluaskan
tanaman kelapa sawit di atas bukit.
____________________