M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara
(1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih
(2003), Busana
Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan
terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis
veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung
Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil.
Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi
pada tahun 2023.
1. Bagaimana perkembangan penulisan karya Bahasa Malaysia oleh anda pada tahun ini?
Setakat bulan Ogos 2023, saya telah menghasilkan tiga
buah cerpen dan telah dikirimkan ke akhbar mingguan utama dan ke Eksentrika. Cuma cerpen bertajuk “Raasammah Paatti” tersiar di portal Eksentrika pada bulan Febuari.
2. Bagaimana pula perkembangan penulisan anda dalam bahasa-bahasa lain pada tahun ini?
Sama seperti penulisan dalam Bahasa Malaysia, agak
kurang juga. Dua cerpen bahasa Tamil disiarkan di majalah mingguan Thendral dan Vanampaadi iaitu cerpen “Innoru Cup Tea” dan “Ah Kaw Kadai”. Apa
yang saya hasilkan dalam Bahasa Malaysia, saya akan tulis semula dengan sedikit
perubahan dalam bahasa Tamil. Begitu juga sebaliknya.
3. Adakah anda menganggap penulisan sebagai “hobi” sahaja atau sebagai satu “tanggungjawab” atau sebagai “kerjaya”?
Walaupun dalam hati ada keinginan untuk meneruskan
hidup ini dengan berkarya sebagai kerjaya atau sebagai tanggungjawab harian, namun
saya hanya dapat menulis sebagai hobi sahaja. Oleh kerana saya bekerja sepenuh
masa dalam bidang lain, saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk
berkarya. Mungkin dalam masa setahun nanti saya akan bersara dan boleh tumpukan
sepenuh perhatian dalam bidang penulisan dan aktiviti berkaitan penulisan.
4. Mana satukah karya anda (Bahasa Malaysia) yang anda anggap paling berjaya atau paling istimewa?
Ada beberapa karya yang dihasilkan adalah istimewa bagi
saya, namun cerpen bertajuk “Karupaya” adalah paling dekat dengan saya. “Karupaya”
adalah cerpen sulung saya yang dihasilkan pada tahun 1987 dan memenangi saguhati
dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP. “Karupaya” adalah sebuah kisah universal.
Kisah warga emas ditinggalkan oleh anak-anak di Rumah Orang Tua. Saya
menampilkan tiga watak berbilang kaum dalam cerpen ini. Cerpen itu ditulis 36
tahun yang lampau (1987), namun masih relevan dengan situasi sekarang. Mungkin
giliran anak-anak Karupaya pula untuk tinggal di Rumah Orang Tua jika ada
bahagian kedua nanti!
5. Penulisan karya Bahasa Malaysia oleh kaum India nampaknya kembali lesu sejak dua tahun lalu. Setuju atau tidak?
Sejak adanya hiburan dan pautan lain di dalam
genggaman tangan seperti telefon pintar, bidang penulisan tidak menarik minat kalangan
kaum India. Bukan tidak ada tempat untuk mereka berkarya, cuma mereka tidak berminat
untuk berkarya. Tidak ada pendedahan dan dorongan untuk menulis dan mereka fikirkan
berkarya itu tidak bermanfaat.
6. Kavyan yang diasaskan pada 1999 masih gagal dalam usaha melahirkan lebih ramai Sasterawan Kavyan. Apa pandangan anda?
Kurang membaca karya-karya dalam Bahasa Malaysia dan
bahasa-bahasa lain dalam kalangan kaum India punca kepada kemerosotan ini.
Mungkin juga anak-anak muda masa sekarang tidak tahu yang mereka boleh menulis.
Mereka tidak sedar akan adanya bakat terpendam dalam diri mereka. Mungkin
Kavyan perlu fikirkan cara-cara lain yang lebih terkini untuk menarik minat mereka.
Mentaliti masyarakat sudah berubah.
7. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat membaca karya Bahasa Malaysia, termasuk karya Sasterawan Negara?
Mereka masih merasakan Bahasa Malaysia bukan milik
mereka, ia milik sesuatu kaum sahaja. Ini sungguh menghairankan sebab kita
sudah lama Merdeka. Promosi untuk bacaan masih lemah di negara ini. Pada
pandangan saya, para penulis sendiri perlu mengambil langkah positif untuk
membendung masalah ini daripada terus menular. Hiburan-hiburan lain sudah
menguasai dunia ini dan pembacaan sudah dipinggirkan.
8. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat menulis karya Bahasa Malaysia?
Kita perlu menggalakkan mereka menulis sejak di bangku
sekolah. Guru-guru boleh memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah ini.
Kita perlu yakinkan mereka dan melancarkan kempen kepentingan membaca dan
menulis dalam Bahasa Malaysia. Di samping mementingkan bahasa ibunda, kita
jangan abaikan bahasa kebangsaan.
9. Karya Sasterawan Kavyan masih gagal menarik minat pembaca pelbagai kaum. Setuju atau tidak?
Bukan 100%. Kurangnya kelompok Sasterawan Kavyan berkarya
juga adalah punca masyarakat pelbagai kaum tidak mengenali dan membaca karya-karya mereka. Bakat Sasterawan Kavyan
juga perlu digilap mengikut peredaran zaman untuk menarik minat pembaca, termasuk
saya sebagai salah seorang Sasterawan Kavyan.
10. Nama-nama Sasterawan Kavyan sudah semakin tidak kelihatan dalam senarai pemenang pertandingan peringkat kebangsaan. Pada pandangan anda, mengapa hal ini berlaku?
Mungkin mereka tidak berani untuk menghantar karya kerana
kurang keyakinan diri dan yakin pada mutu karya mereka sendiri. Sedangkan kelompok
Sasterawan Kavyan kini kurang menulis untuk portal Sastera Kavyan, blog, akhbar dan majalah,
inikan pula untuk pertandingan.
(Wawancara ini dilakukan menerusi e-mel oleh Uthaya Sankar SB pada 23 Ogos 2023.)